Oleh: Muhammad Hadi
KANGAR : Para ulamak perlu dilibatkan dengan gerak kerja jemaah agar mereka tidak menjadi golongan yang tercicir dalam Harakah Islamiyah, demikian kata Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dr. Haji Nik Muhammad Zawawi Salleh.
Ujarnya sebagai golongan yang memiliki ilmu, adalah tidak wajar para ulamak dibiarkan terpinggir dari arus politik masa kini kerana sejarah membuktikan golongan berkenaan sentiasa berada di barisan hadapan yang mencorak medan perjuangan di seluruh dunia.
Justeru menurutnya sudah tiba masanya para ulamak bangkit dan tampil ke hadapan memimpin perjuangan Islam khususnya di negara ini.
“Sejarah membuktikan bahawa ketika waktu berjuang (dahulu), ulamaklah yang berjuang tetapi apabila menang, ulamak dipinggirkan.
“Oleh itu, Dewan Ulamak PAS mesti bersungguh-sungguh dan bersemangat dalam bekerja supaya menjadi dewan yang kuat lebih-lebih lagi untuk berhadapan dengan realiti politik baharu yang amat mencabar pada hari ini,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Penubuhan Dewan Ulamak PAS Kawasan (DUPK) Negeri Perlis di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) dekat sini baru-baru ini.
Hadir sama dalam majlis berkenaan, Setiausaha Eksekutif DUPP, Ustaz Ibrahim Baharuddin , Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Hj Abd Karim Rejab serta Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Perlis, Hj Baharuddin Ahmad.
Jelasnya lagi, ulamak merupakan golongan yang cukup penting dalam masyarakat dan kegagalan mereka memainkan peranan boleh merosakkan institusi berkenaan.
Ujarnya lagi, pada era Muafakat Nasional ini, masa depan Islam dilihat amat cerah dan golongan ulamak perlu bijak dalam memanfaatkan peluang berkenaan.
“Melihat kepada senario politik hari ini, masa depan untuk Islam menang kelihatan amat cerah, dan harapan yang cukup besar kita letakkan kepada ulamak untuk membentuk suasana sekiranya kita diberikan kemenangan.
“Oleh sebab itulah, kita memutuskan untuk mewujudkan DUPK (Dewan Ulamak PAS Kawasan), agar ruang untuk ulamak bergerak dan berperanan menjadi semakin luas,” ujarnya.