Oleh : Nurul Syakinah Syaning
13 November 2019
LAHAD DATU : Lawatan sambil belajar ke Markas Operasi Marin, Lahad Datu telah memberi pengalaman baru dan berharga kepada murid-murid PASTI Lahad Datu.
Tujuan lawatan ini diadakan adalah sebagai tanda apresiasi kepada murid 6 tahun yang bakal meninggalkan PASTI pada tahun hadapan disamping memberi peluang untuk mereka merasai dan menghayati perjuangan para anggota keselamatan yang banyak berkorban untuk mempertahankan tanah air.
Antara kawasan yang dilawati mereka adalah bangunan pentadbiran operasi, bengkel operasi dan jeti yang menempatkan beberapa buah kapal dan bot yang digunakan semasa operasi.
Menariknya, semua murid diberi peluang untuk menaiki bot dan kapal operasi selain dipertontonkan beberapa tayangan video latihan pasukan keselamatan ini.
Lawatan yang disertai seramai 132 orang murid 6 tahun, 17 orang guru dan 7 orang pengiring dari lima buah PASTI di daerah Lahad Datu itu bermula pada 8.00 pagi sehingga 11.00 pagi.
“Pihak kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada PASTI Lahad Datu kerana sudi mengadakan lawatan ke Markas Operasi kami dan menimba ilmu”, kata Inspektor Khairul yang merupakan salah seorang pegawai di sini.
Sebelum rombongan berangkat pulang, wakil PASTI telah memberi cenderamata kepada Pasukan Marin sebagai tanda terima kasih dan mengambil beberapa gambar kenangan bersama.