Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Negeri Perak
“Jom Sokong Kempen Beli Produk Muslim”
1. Dewan Muslimat Pas Negeri Perak terkilan dengan larangan yang dikeluarkan oleh Exco Agama Negeri Perak yang melarang kempen BMF (Buy Muslim Product First) di masjid-masjid seluruh negeri Perak.
Larangan itu dikeluarkan berikutan Program Kempen BMF yang dianjurkan disebuah masjid di Ulu Kinta pada Jumaat lepas.Kempen mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari pengeluar-pengeluar produk muslim dan orang ramai.
2. Masjid adalah sebuah institusi umat Islam yang sewajarnya diberikan kebebasan atau keizinan untuk melakukan aktiviti yang berkaitan umat Islam termasuklah untuk meningkatkan peluang ekonomi kepada orang Islam.
3. Adalah diingatkan kepada exco agama kerajaan PH Perak supaya janganlah terlampau sempit pemikirannya sehingga melihat aktiviti kempen BMF sebagai tindakan bersifat politik semata-mata.
Sudah tiba masanya semua pemimpin muslim tidak kira latarbelakang parti atau pertubuhan bersama memberikan sokongan kepada kempen BMF yang dilakukan oleh NGO UMMAH dan beberapa NGO lain.
4. Orang-orang Islam Melayu adalah pengguna terbesar di negara ini dan adalah dilihat bahawa kempen BMF ini boleh mempengaruhi harga barangan lain yang berada di pasaran.
Secara tidak langsung kempen ini memberi kesan yang positif kepada pengguna lain kerana dapat menikmati harga barangan lain dengan lebih murah.
Tahniah diucapkan kepada UMMAH atas usaha yang murni ini.
“Islam memimpin,Wanita Sejahtera.”
Dr Najihatussalehah bt Ahmad.
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Perak
19.10.2019