KENYATAAN MEDIA
LAJNAH PENDIDIKAN PAS PUSAT
“TINDAKAN TEGAS DAN SEGERA KEPADA PENERBIT DAN PENGEDAR KOMIK BRI”
1. Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia mesti menyiasat dan mengambil tindakan keras dan segera terhadap dakwaan pengedaran buku komik Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI). Ianya adalah satu dakwaan yang serius dan kalau benar, ia adalah sesuatu yang sangat bahaya dan merupakan ancaman kepada kestabilan dan sistem asas negara kita.
2. Kini tersebar dakwaan bahawa komik berkenaan – yang dikatakan menyebarkan propaganda komunis dan DAP – diedarkan secara percuma di sekolah-sekolah menengah kebangsaan dan sekolah-sekolah menengah jenis kebangsaan dalam negara.
3. PAS menyokong sepenuhnya kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan, YB Dr Mazslee Malik bahawa kementerian tidak pernah memberikan kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menyebarkan komik tersebut dan menegaskan sekolah bukanlah medan untuk menyebarkan fahaman politik kepartian.
4. Sebuah portal berita hari ini melaporkan Kurator Muzium Kebudayaan dan Komik Asia yang berpangkalan di Pulau Pinang, Hew Kuan Yau, yang dikenali sebagai Superman DAP, berkata komik berkenaan diterbitkan secara sah dan didaftarkan dengan ISBN (International Standard Book Number). Ia diterbitkan hasil kerjasama antara Hew dengan artis tempatan Chong Po Ling.
5. Hew turut mengesahkan komik berkenaan dalam versi Bahasa Melayu dihantar ke perpustakaan di sekolah-sekolah menengah dan sekolah jenis kebangsaan secara percuma. Hew juga berkata buku itu telah disampaikan kepada pemimpin-pemimpin tertinggi China seperti Presiden China Xi Jinping oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada bulan April tahun ini.
6. Maka, jelaslah dakwaan bahawa Muzium Kebudayaan Komik Asia yang dibiayai oleh Kerajaan Pulau Pinang menyebarkan propaganda melalui komik berkenaan bukan satu tohmahan. Turut menjadi rahsia umum kini bahawa propaganda dalam komik ini mengagung-agungkan parti DAP, memberi bayangan bahawa kerajaan Malaysia hipokrit dalam layanan kepada komunis, cuba mengubah sejarah dan memburuk-burukkan kerajaan serta pemimpin-pemimpin negara terdahulu.
7. Dakwaan ini sangat serius apatah lagi ia telah diakui sendiri oleh penerbitnya. Sekiranya komik tersebut tidak mengandungi propaganda komunis atau pemikiran DAP sekalipun, sebarang sebaran bertulis tidak boleh dibenarkan atau dibiarkan beredar di sekolah-sekolah tanpa kebenaran Kementerian Pendidikan.
8. Isunya bukan kita mengesahkan dakwaan ini tetapi kita mendesak disiasat kebenarannya. Jika fitnah, sila ambil tindakan kepada yang membuat dakwaan dan jika benar, kerajaan tidak boleh berdiam diri. DAP juga mesti bertanggungjawab dan tidak boleh berlepas tangan dengan alasan Hew bukan lagi ahlinya.
9. Selain itu, jika perkara ini benar, ia adalah gerakan halus yang sangat jahat, subversif, dan cuba mengubah struktur asas pembinaan negara kita. Komunis adalah musuh kepada ideologi negara dan pernah diisytiharkan menjadi musuh nombor satu kepada negara. Rakyat Malaysia tidak akan lupa dengan kerosakan dan keganasan yang telah dilakukan oleh komunis kepada rakyat dan negara kita.
10. Di saat pihak keselamatan sedang bergelut dengan ancaman keganasan LTTE, satu lagi pemikiran ancaman keganasan komunis pula cuba disebarkan. Lebih mendukacitakan lagi apabila pelajar sekolah dijadikan sasaran oleh pihak berkepentingan ini. Golongan ini nampaknya sudah sangat melampau dan melampaui batas.
11. Sekali lagi, tindakan tegas dan segera perlu diambil agar pihak yang berkenaan berhenti menyebarkan dakyah songsang dan propaganda jahat serta tidak terus menanamkan ideologi yang bertentangan dengan citra Rukun Negara.
Sekian, terima kasih.
YB DATO’ DR MOHAMED FADZLI HASSAN
Pengerusi Lajnah Pendidkan PAS Pusat
(Merangkap EXCO Kerajaan Negeri Kelantan).
18 Oktober 2019 | 19 Safar 1441H