SELESAIKAN SEGERA MASALAH PEMILIKKAN RUMAH RAKYAT
Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat melihat cadangan kerajaan untuk menurunkan had pembelian hartanah oleh warga asing kepada RM600,000, sepertimana yang dibentang dalam Bajet 2020 tempoh hari, secara teknikalnya tidak mampu untuk menyelesaikan masalah pemilikkan rumah dikalangan rakyat. Kami berpandangan penyelesaian yang dicadangkan tersebut hanya akan menguntungkan pemaju hartanah dan bukannya rakyat secara keseluruhan.
Pandangan kami ini adalah berdasarkan hujahan berikut:
1. Masalah utama yang dihadapi oleh pasaran hartanah sekarang adalah ketidakmampuan rakyat untuk memiliki rumah disebabkan ketidakpadanan antara penawaran dan permintaan. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Khazanah Research Institute (KRI), hanya 20% rumah yang ada dalam pasaran sekarang dalam kategori mampu milik. Ini seterusnya menyebabkan berlakunya situasi lambakan rumah tidak terjual.
Data terkini hasil kajian KRI juga menunjukan nisbah median harga rumah Malaysia berbanding median pendapatan isirumah Malaysia adalah 5 kali. Ini jauh daripada kayu ukuran yang ditetapkan oleh United Nations Centre for Human Settlement, iaitu 3 kali. Bermakna rumah yang ada dalam pasaran Malaysia sekarang adalah amat tidak mampu milik.
Keadaan ini diburukkan lagi dengan kegagalan pemohon untuk mendapatkan pinjaman bagi membeli rumah. Ini disokong oleh dapatan daripada Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (Rehda), bahawa 70% pemohon gagal mendapatkan pinjaman untuk membeli rumah.
Bagi menyelesaikan masalah hartanah yang tidak terjual ini secara komprehensif dan berkekalan maka kerajaan sepatutnya mencari jalan untuk menyelesaikan persoalan pokok, iaitu bagaimanakah untuk menjadikan pasaran rumah Malaysia lebih mampu milik.
2. Faktor kedua yang akan mengagalkan cadangan menurunkan had harga pemilikkan rumah oleh warga asing kepada RM600,000 dan ke atas, adalah risiko spekulasi. Sekiranya ini dibenarkan apa jaminan tidak akan berlaku spekulasi kepada harga rumah oleh pemaju bagi mempastikan unit-unit rumah mereka terjual kepada warga asing. Sebagai contoh, sekiranya harga sebenar rumah yang ditawarkan adalah RM400,000 tetapi dinaikkan kepada RM600,000 bagi membolehkan ianya dijual kepada warga asing.
Sekiranya berlaku spekulasi ini apakah kawalan yang akan dilakukan oleh kerajaan? Sudah pasti sekiranya fenomena ini berterusan, maka keseluruhan pasaran hartanah akan meningkat kerana rata-rata pemaju akan cuba memanipulasi langkah kerajaan ini bagi menjual rumah mereka pada harga yang lebih tinggi.
Oleh itu kami berpandangan langkah terbaharu yang dicadangkan oleh kerajaan ini tidak mampu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pasaran hartanah negara. Jesteru itu kami mencadangkan langkah-langkah berikut:
1. Perlu ada usaha secara komprehensif dan regresif daripada kerajaan untuk memaksa pemaju-pemaju menurunkan harga rumah. Perbincangan secara terbuka harus dilakukan dengan semua pihak berkepentingan bagi merealisasikan kaedah untuk menurunkan harga rumah ini, terutama dalam menoptimumkan struktur kos. PAS bersedia menawarkan kepakaran kami dalam mencari penyelesaian melalui perkongsian data dan kaedah-kaedah yang praktikal ke arah mencapai objektif ini.
Dalam masa yang sama juga, kerajaan patut menilai semula model PR1MA supaya ianya mampu menjadi model penentu trend (trend setter) kepada pasaran ke arah menjadikan harga rumah lebih rendah. Sekiranya terdapat kelemahan pada model PR1MA maka ianya seharusnya diperkasakan dan bukannya dihapuskan.
2. Pihak bank juga harus menyokong usaha ini dengan memudahkan lagi pemberian pinjaman kepada pembeli-pembeli rumah. Dalam usaha ini, Bank Negara Malaysia (BNM) sepatutnya menjadi pengantara bagi semua pihak yang terlibat dalam pasaran hartanah negara, terutama bank dan pemaju, bagi mencari jalan membolehkan lebih ramai rakyat layak mendapat pinjaman.
Langkah awal BNM dalam menurun kadar asas semalaman (OPR) kepada 3.0% sepatunya disambut secara menyeluruh oleh pihak bank dengan menawarkan kadar pinjaman yang lebih rendah untuk faedah pembeli.
MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi 2
Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan PAS Pusat.
16 Safar 1441H
16 Oktober 2019