Melaka Pembuka Tirai JELAS 2019
Program Jelajah Munaqasyah Ucaptama Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (JELAS) dimulakan dengan negeri Melaka pada Sabtu ini. Program ini dilaksanakan oleh Lajnah Penerangan Media Baru dengan kerjasama Dewan Muslimat PAS negeri-negeri.
Siri Jelajah JELAS ini akan melibatkan semua negeri dan dijangka selesai pada hujung November. JELAS 2019 akan menghuraikan ucaptama yang bertemakan ‘Islam Memimpin, Wanita Sejahtera’.
Objektif JELAS ialah memberi kefahaman kepada pimpinan akar umbi berkenaan teras yang terkandung di dalam ucaptama Ketua Dewan Muslimat pada Muktamar Dewan Muslimat PAS yang berlangsung di Kuantan Jun lalu.
Selain itu,JELAS akan menterjemahkan ucapan dalam bentuk pelan tindakan agar pemimpin muslimat di pelbagai peringkat dapat melaksanakan arahan yang telah dikeluarkan.
Dengan adanya JELAS, adalah diharapkan semua ahli dewan muslimat dapat bergerak secara teratur dan konsisten seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.
Semua negeri hendaklah memastikan kehadiran peserta adalah seperti yang disasarkan. Pada program itu nanti, para peserta juga boleh mendapat pencerahan menerusi sesi soal jawab yang akan dibuka pada hujung program.
Dr Hjh Najihatussalehah bt Ahmad,
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Malaysia.
26 September 2019
26 Muharram 1441