PERUTUSAN HARI MALAYSIA
Hari ini kita menyambut Hari Malaysia bagi memperingati penggabungan bersama Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bagi membentuk Malaysia. Keunikan dan kemajmukan pelbagai etnik dan penduduk Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak adalah tanda kebesaran ciptaan Allah yang memandu hambaNya dengan panduan Al-Quran. Firman-Nya:
﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ١٣﴾
“Wahai manusia sesungguhnya kami telah menjadikan kamu asalnya daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian berbangsa-bangsa dan bersuku kaum supaya kamu berkenalan, berhubung, bertolong-menolong di antara satu sama lain dan yang paling mulia di kalangan kamu ialah yang paling taat kepada Tuhan, yang paling bertaqwa dan Tuhan itu Maha Mengetahui, sangat mengetahui berkenaan diri kamu dan urusan kamu.” (Surah Al-Hujurat: 13)
Islam mengajar sekiranya ada negeri itu punya hasil bumi sendiri, maka hasil itu hendaklah dimanfaatkan dan diselesaikan masalah negeri itu dahulu, namun kita menghadapi di negeri Sarawak, Sabah, Terengganu dan Kelantan yang ada hasil minyak dan gas yang banyak tetapi rakyat miskin. Kita mahu betulkan balik perkara ini.
Kita juga bimbang Sarawak dan Sabah dikuasai oleh DAP yang tinggal di bandar sahaja. Kalau penduduk Bumiputera, Melayu, Iban, Kadazan, Dusun, orang asal Bumiputera berpecah, DAP boleh menguasai negeri dan kekayaan. Oleh sebab itu, orang Bumiputera, orang asal dan orang Melayu mesti bersatu. Bukan bermakna kita hendak menghalau orang Cina, tetapi biar mereka faham supaya memerintah dengan adil dan tidak membolot kekayaan sehingga melupakan orang-orang asal.
Maka saya mengajak kepada penduduk asal Sarawak dan Sabah supaya pertahankan kedudukan kuasa politik orang Islam dan orang asal supaya terus menguasai Sarawak dan Sabah bagi menjamin keadilan dan kesejahteraan negeri dan negara.
Marilah kita memelihara perpaduan yang sedia terjalin dan menolak sebarang pendekatan ekstrem yang boleh memecahkan kesatuan Malaysia Timur dan Malaysia Barat.
Kita beriltizam untuk meningkatkan taraf hidup peribumi Sabah dan Sarawak serta menyeru semua pihak untuk memperkukuhkan komitmen terhadap Perjanjian Malaysia 1963 dengan memperbaiki segala kelemahan sepanjang pelaksanaannya, ke arah menguatkan Persekutuan dan merapatkan jurang perbezaan yang wujud selama ini dengan berpegang kepada semangat Perlembagaan Persekutuan.
“Selamat Hari Malaysia”
“Islam Memimpin Perpaduan”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 16 Muharram 1441 / 16 September 2019