Home Berita PAS Sabah

ISLAM AGAMA SELAMAT DAN MENYELURUH

7246
SHARE

Oleh : Abu Maryam Safiyyah

         3 September 2019

Membincangkan kehebatan agama Islam bukan sekadar berkisar ibadah dan hukum semata, isu yang berkait tentang masjid, nikah kahwin, aqiqah atau ritual yang dicorak dengan amalan-amalan rohani yang khusus sahaja. Namun berbincang tentang Islam adalah persoalan lebih meluas yang mana agama ini mengetengahkan cara hidup yang sempurna dengan segala aspek sama ada aspek kerohanian mahupun sistem kehidupan yang lengkap dan bersepadu. Inilah Keindahan Islam (Mahasinul Islam) yang sebenar. Atas dasar inilah Allah berfirman di dalam Al Quran :

صِبْغَةَ اللَّهِ ۖ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً
ۖ وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُون

Katakanlah wahai orang-orang yang beriman “Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat”.

Sifat holistik (menyeluruh) yang ada pada Islam membezakan agama selainnya yang wujud mengisi kehidupan dan peradaban manusiawo di mana ajaran dan kepercayaan semuanya jelas tidak menyatupadukan kehidupan dunia dan akhirat secara saksama. Menafikan peranan dunia menuju akhirat sehingga wujudnya ketidakstabilan dalam kehidupan peribadi, sosial serta negara umpamanya kewujudan gerakan Sekularisme disebalik kepercayaan Nasrani pasca zaman Nabi Isa. Pemikiran ini satu masa dulu pernah menyerang tamadun barat setelah asalnya pemuka agama mereka mengongkong kehidupan bersistem yang akhirnya hari ini menjadi pegangan sebahagian muslim yang jahil dan tidak kesedaran, mengasingkan diri dari lipatan Islam dalam pelbagai aspek termasuklah politik dan pentasbiran.

Islam juga berbeza dengan ajaran yang mengagungkan materi-materi dunia hingga menjadikan ia sebahagian dari tuhan sehingga tergelincir ke lembah syirik dan tahyul yang memandulkan akal minda. Islam berbeza dengan ajaran yang menafikan kewujudan dunia sehingga memboikot fitrah yang selari dengan peredaran dunia menyebabkan manusia hilang pertimbangan sehingga membina “dunia misteri” menuju akhirat khayalan yang pelik dan ganjil serta meloyakan.

Islam juga bukan agama yang membodohkan manusia dan bahkan jauh sekali memperlekehkan peranan fitrah sedangkan Islamlah agama yang bersifat fitrah. Islam adalah Islam yang dibina Allah yang sesuai untuk kehidupan dunia dan tuntutan fitrah serta akhirat. Firman Allah

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لِإِثْمٍ ۙ فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيم

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

[Al Maaidah : 3]

Syeikh Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah menjelaskan ayat di atas dalam makalah bertajuk “Islam sebagai Al Din dan Kewajipan Menghayatinya” menegaskan Islam yang diwahyukan oleh Allah kepada Rasulullah tidak harus disamakan dengan pengertian agama menurut fahaman umum. Kerana ianya adalah agama fitrah yang merangkumi semua aspek kehidupan manusia, rohani,dan material, individu dan masyarakat, agama dan politik serta segala urusan dunia dan akhirat.

Islam sebagai ‘Way Of Life’ bererti peraturan yang mengatur hidup dan kehidupan manusia. Satu peraturan dan pedoman hidup dalam semua aspek kehidupan manusia. Ubat yang mujarab untuk memperbaiki masyarakat dan negara. Penjelasan Naib Kesatuan Ulamak Dunia ini, terang memaparkan keluasan peranan Islam dalam rangka mempengaruhi perjalanan manusia di dunia menuju kesatuan akhirat.

Ajaran Allah ini tidak pernah ada konsep pengasingan dunia dan akhirat. Demikian juga tidak timbul konsep membahagikan urusan dunia mengikut selera nafsu manusia seperti dunia suku, akhirat suku, Islam suku, politik dan ekonomi suku. Begitulah sifaf asas Islam yang bersifat kesepaduan yang merungkai jurang antara agama dan tamadun manusia. Inilah cara hidup sebenar yang diperjuangkan Rasulullah SAW dan generasi Islam selepasnya. Allah menyeru manusia dalam firman-Nya :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ”

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata

Islam yang sebenar bukan hanya mentauhidkan Allah dalam aspek pengamalan badah yang sempit, tetapi menggunakan sistem dan segala aspek keduniaan sebagai wasilah ke arah penegakkan tauhid. Islam tidak boleh dipecah-pecahkan mengikut kemahuan serakah manusia jika manusia tidak ingin melihat kerosakkan. Sebagai contoh mengamalkan solat dan puasa, dalam masa sama tidak memberi perhatian kepada aspek politik dan pemerintahan yang sepatutnya berasaskan Islam.

Gaya berfikir seperti ini menyebabkan kezaliman berlaku akibat mereka yang jahil menguasai sistem negara dan mendorong kekuatan Islam tidak mekar kerana dalam masa sama musuh Islam turut bernafsu menggunakan kuasa untuk membedal umat Islam dengan kekuasaan politik mereka. Begitulah kesan besar dan memakan masa apabila ajaran ini tidak dihayati dengan lengkap disisi umat Islam. Rasulullah SAW bersabda :

من خرج من الجماعة قيد شبر قفد خلج ربقة الإسلام من عنقحديث رواة أحمد – حسن

Sesiapa yang keluar daripada golongan Islam (syumul) maka sesungguhnya dia telah mencabut ikatan Islam dari tengkoknya”

(Hadith Riwayat Imam Ahmad, hadith Hasan)

Islam sebagai cara hidup lengkap diperkukukan seperta kata yang bermakna dari As Syahid Imam Hasan Al – Banna di dalam kitab ركن الفهم karangan Mantan Syeikhul Azhar Dr. Ali Abdul Halim Mahmud

إنا الإسلام نظام شامل يتناول مظاهر الحياة جميعا, فهو : دولة ووطن أو حكومة وأمة، وهو خلق وقوة أو رحمة وعدالة, وهو ثقافة وقانون او علم وقضاء وهو مادة وثروة أو كسب وغنی, وهو جهاد ودعوة او جيش وفكرة كما هو عقيدة صادقة وعبادة صحيحة سواء

“Islam adalah sistem yang komprehensif yang menyentuh seluruh aspek kehidupan. Islam adalah negara dan tanah air atau pemerintahan dan umat. Islam adalah akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Islam adalah peradaban dan undang-undang atau ilmu pengetahuan dan keadilaan. Islam adalah kebendaan dan kekayaan atau usaha dan kecukupan. Islam adalah jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Islam adalah akidah yan benar dan ibadah yang sahih tidak kurang tidak lebih”
ولله أعلم بالصواب

‘Islam Memimpin Perpaduan’
‘Demi Islam’