Home Kenyataan Media Dewan Ulamak PAS Pusat

Pengertian Kemerdekaan Sebenar

12894
SHARE


Pengertian Kemerdekaan Sebenar

Dr. Ahmad Mouhyideen bin Hasin
Pengarah Institut Kajian Islam dan Strategik (iKIS)
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

Kemerdekaan negara yang disambut saban tahun pada 31 Ogos adalah hari yang penuh bermakna bagi semua warga Malaysia. Setelah dijajah hampir 400 tahun, negara tidak lagi menjadi hamba kepada kuasa asing. Pun begitu, erti kemerdekaan ini tidak difahami dengan baik apabila ia hanya dikaitkan dengan aspek fizikal sahaja. Walaupun negara telah merdeka tetapi minda dan sikap masih lagi terbelenggu dengan menjadi hamba kepada pemikiran dan ideologi yang tidak selari dengan Islam.

Kemerdekaan sebenar dalam Islam adalah kebebasan akal, sikap dan fizikal seseorang daripada anasir-anasir penjajahan yang merosakkan akidah, perbuatan dan tingkah laku insan. Kebebasan yang merungkai belenggu perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah s.w.t. Imam at-Tobari dalam kitab Tarikhnya telah menukilkan kata-kata Rubi’e bin A’mir ketika ditanya oleh Rustum, panglima tentera Parsi tentang tujuan kedatangan tentera Islam ke negaranya. Beliau berkata: “Allah mengutuskan kami untuk memerdekakan sesiapa yang dikehendaki daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan hanya kepada Allah, daripada kesempitan dunia kepada keluasannya dan daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”

Perhambaan kepada Allah ialah perhambaan yang membawa seseorang tunduk dan patuh kepada segala perintahnya dalam semua aspek kehidupan sama ada dalam perkara ekonomi, sosial mahupun politik. Mereka yang tidak tunduk dan patuh kepada Allah dan suruhan agama adalah golongan yang masih belum merdeka dan menjadi hamba kepada sesama manusia.

Mengikut Safar bin Abdul Rahman al-Hiwali (1999) dalam bukunya Zhohirah al-Irja’ fi al-Fikri al-Islami, kemerdekaan dan kebebasan seseorang daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah akan mencapai karamah dan kemuliaan yang hakiki bagi manusia. Kemuliaan ini tidak mungkin akan diperolehi di bawah mana-mana sistem selain daripada sistem Islam.

Hubungan antara Islam dengan kebebasan manusia dan kemuliaannya telah dibuktikan dalam sejarah. Menurut Muhammad Faruq an-Nabhan dalam bukunya al-Madkhal ila U’lum al-Quranil Karim, para nabi adalah lambang kepada kebebasan dan pahlawan-pahlawan kemanusiaan. Perjuangan mereka yang pertama adalah untuk mempertahankan kemuliaan manusia.
Kisah-kisah yang wujud dalam Quran sudah cukup untuk membuktikan tentang perkara ini. Para nabi adalah pembantu kepada golongan yang lemah dan ditindas. Mereka memperjuangkan kebebasan golongan ini dan membangunkan jiwa-jiwa mereka dengan perasaan bangga kepada kemuliaan. Oleh kerana itulah berlaku pertembungan yang hebat antara para nabi dengan golongan yang mempunyai kuasa, pengaruh dan kekuatan. Firaun dalam al-Quran sebagai contohnya adalah lambang kepada keangkuhan dan kesombongan. Nabi Musa a.s. berdepan dengan Firaun untuk memerdekakan perhambaan manusia kepadanya.

Agama yang sebenar adalah agama yang berusaha untuk memberikan kebahagiaan kepada manusia, menyusun kehidupan, menegakkan keadilan dan menentang kezaliman serta kejahatan. Abu Faisol al-Badrani dalam bukunya al-Wala’ wa al-Barra’ menceritakan tentang seorang Qibti yang mengadu kepada Amirul Mukminin Saidina Umar al-Khattab tentang dirinya yang telah dizalimi oleh anak gabenor Mesir, A’mru bin al-A’s. Saidina Umar berkata: “Wahai A’mru, bilakah kamu menjadikan manusia sebagai hamba sedangkan ibu-ibu mereka melahirkan mereka dalam keadaan merdeka.”

Kesimpulannya, kemerdekaan yang sebenarnya adalah kebebasan daripada penghambaan sesama manusia dengan tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t. dalam semua aspek kehidupan. Kemerdekaan ini menghindarkan manusia daripada melakukan kezaliman dan ingkar kepada perintah Allah. Kemerdekaan dengan pengertian yang sebenar inilah yang akan menjamin kemuliaan bagi manusia.