Perutusan Pesuruhjaya PAS Terengganu sempena Hari Kebangsaan & Awal Muharram
Laungkan Azan! Serulah Ummah!
31 Ogos 1957 kita menyambut Hari kebangsaan buat julung kalinya, di percantikkan pula dengan Doa, Azan dan Laungan Merdeka sebanyak 7 kali sebagai tanda kita sudah Merdeka. Tahun ini akan menjadi kali yang ke-62 kita menyambut hari Kebangsaan. Dalam keghairahan kita menyambut hari bersejarah ini jangan pula kita lupa untuk menadah tangan memohon perlindungan dari Allah agar Negara Malaysia yang kita sayangi ini selamat dari ancaman luar serta bersih dalamannya.
PRU14 yang lalu menjadi detik baru bagi semua rakyat Malaysia. Pelbagai reaksi dapat dilihat sama ada di media sosial mahupun di kedai kopi bagi menzahirkan perasaan masing-masing. Hakikat hari ini pula bagaimana? Malahan, dalam semangat kita menyambut hari kemerdekaan ada pula pihak yang cuba bermain api perkauman sama ada dengan kenyataan, perbuatan dan yang pasti semua ini hanyalah permulaan bagi melihat apa tindakan kita terhadap mereka.
Bersatulah Ummah! Renunglah kembali bagaimana hilangnya tanah Andalus dari tangan Umat Islam sehinggakan ke hari ini tiada negara Islam di Eropah. Renunglah bagaimana runtuhnya Kota Melaka sehingga sejarah itu diubah-diubah. Renunglah apa yang kita sedang kerjakan sehingga umur runtuhnya Khilafah Islamiyah kini sudah menghampiri 100 tahun.
Kalendar Hijrah mula digunapakai secara meluas di zaman Khalifah Umar Al-Khattab.1 Muharam pula dipilih sebagai hari pertama setiap tahun baru Islam sesuai dengan tarikh hijrah Rasulullah s.a.w sehingga akhirnya berjaya membentuk kerajaan Islam pertama di Madinah. Melalui Hijrah ini juga Rasulullah mempersaudarakan Aus dan Khazraj serta Muhajirin dan Ansar.
“Dan, sembahlah Allah swt. dan jangan kamu mempersekutukan sesuatu dengan-Nya; dan berbuat baiklah terhadap kedua orang tua, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan tetangga yang sesanak-saudara dan tetangga yang bukan kerabat, dan handai taulan, dan orang musafir, dan yang dimiliki oleh tangan kananmu. Sesungguhnya, Allat swt. tidak menyukai orang sombong, membanggakan diri”. (An-Nisa:36)
Suka untuk diingatkan yang laungan Azan mula diamalkan pada tahun pertama Hijrah untuk mengajak orang ramai solat berjemaah. Oleh itu laungkan azan, serulah ummah. Biarlah lafaz ALLAHU AKBAR (azan) berkumandang tanda kemuliaan yang Allah berikan kepada penduduk di langit dan di bumi. Seterusnya, jadikan teriakan MERDEKA yang dilaungkan itu bukan kerana sambutan perarakan semata-mata. Semailah patriotisme dalam diri Ummah untuk pertahankan agama, bangsa dan negara dari sebarang ancaman.
Perjuangan menuntut kemerdekaan itu bukan kerja perseorangan malah ramai yang tergadai nyawanya agar kita pada hari ini mampu melaungkan azan, menyeru ummah ke arah negara yang penuh Rahmah. Wahai Ummah tiada jalan yang sejahtera melainkan dengan berhijrah dan bersatu dengan Tali Allah yakni Islam. Moga hari Kebangsaan dan Awal Muharram kali ini mampu membuka mata kita semua terutama orang Islam untuk terkejut dari lena dan bangkit membangunkan ummah.
ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN
27 Ogos 2019
26 Zulhijjah 1440H
Yang benar,
YB Senator Dato’ Haji Husain bin Awang
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Negara