Home Berita PAS Perlis

PJ Selangor Rasmi Sidang Terakhir Konvokesyen PASTI

1047
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

SHAH ALAM : Sidang terakhir Majlis Konvokesyen Perguruan PASTI Malaysia Kali Ke-11  yang berlangsung di Hotel De Palma, dekat sini semalam telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Seramai 309 orang graduan telah dianugerahkan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAK) pada sidang berkenaan.

Jumlah tersebut menjadikan jumlah keseluruhan guru PASTI yang menerima diploma sepanjang konvokesyen berlangsung pada kali ini seramai 853 orang.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyeru agar para graduan memberikan penekanan terhadap aspek pendidikan Islam kepada kanak-kanak memandangkan golongan tersebut merupakan generasi yang akan menentukan corak serta masa depan negara pada masa hadapan.

Menurutnya lagi, berbeza dengan pendidikan awal yang diamalkan di barat, pendidikan mengikut acuan Islam adalah bersifat holistik kerana tidak tertumpu kepada soal fizikal dan intelektual semata-mata sebaliknya turut memberikan penekanan terhadap aspek aqidah serta akhlak seiring dengan penerapan Iman di dalam roh dan jiwa.

Justeru ujarnya, apa yang sedang dilakukan oleh PASTI pada hari ini adalah tepat kerana menjadikan Islam sebagai asas dalam menyediakan pendidikan awal kepada kanak-kanak di peringkat prasekolah di negara ini.

“Kita tidak perlu meminjam konsep pendidikan lain untuk dibawa dalam masyarakat tetapi perlu menjadikan Al Quran sebagai sumber kehidupan dan menerapkan sistem Pendidikan berteraskan Al Quran sejak kecil lagi jika kita inginkan kembali kepada masyarakat yang aman sertaa harmoni,” katanya.