Home Pedoman Haraki

Kisah Sahabat – Usaid Bin Hudhair

4572
SHARE

SEDUTAN KISAH SAHABAT (SIRI 3)

USAID BIN HUDHAIR
 Selebriti Langit dan Bumi 

Usaid bin Hudhair merupakan pembesar kabilah Aus. Memeluk Islam di tangan utusan Nabi ke Madinah is’ab bin Umair, beberapa ketika sebelum peristiwa hijrah. Pengislaman beliau telah menyebabkan ramai anggota kabilah Aus lain mengikut jejaknya.

Sejak daripada Mus’ab memperdengarkan al-Quran buat kali pertama kepada beliau, terus hatinya jatuh cinta dengan kitab Allah itu. Beliau senantiasa bersama al-Quran, membacanya dan mentadabburinya.

Suaranya merdu. Bacaannya jelas dan baik.

Beliau juga adalah perwira di medan perang. Menurut para sahabat, kalau beliau tidak keluar berjihad, pasti beliau memenuhi masanya dengan al-Quran. Beliau suka membacanya di tengah malam yang sunyi, disaat orang lain sedang tidur.

Selain itu beliau memiliki tahap pemikiran yang bijak lagi genius. Kerana itu beliau mudah tertarik kepada Islan. Kelebihan dirinya yang begitu banyak sehingga beliau digelar sebagai al-Kaamil, bermakna yang sempurna.

Berkenaan kemerduan suaranya, Para sahabat amat meminati bacaan al-Qurannya. Mereka senantiasa ternanti-nanti masa beliau bertilawah. Para sahabat sering berlumba-lumba untuk mendengar alunan wahyu dari pembesar Aus itu.

Pernah suatu malam yang tenang, nyaman dan indah, Usaid keluar duduk di halaman rumahnya. Kuda perangnya diikat tidak jauh dari tempat duduknya itu.

Maka terdetik dalam hatinya untuk memperindahkan lagi malam itu dengan ayat-ayat al-Quran. Lalu dengan suara merdunya itu beliau membacakan:

Tiba-tiba dia mendengar bunyi kudanya meronta dan melompat, seolah-olah takutkan sesuatu. Kuda itu meronta sangat kuat sehingga hampir ikatannya tercabut. Kemudian ia kembali senyap, dan bertenang.

Usaid menyambung bacaannya:

Kuda itu meronta lagi. Kali ini lebih kuat dan cemas. Tetapi selepas itu kembali senyap dan tenang.

Perkara itu berulang beberapa kali. Setiap kali beliau membaca, kudanya itu akan meronta.

Usaid bimbang takut kuda itu terlepas dan terpijak anaknya, Yahya yang sedang tidur di sisinya. Lalu beliau bangun untuk mengejutkan Yahya.

Pada ketika itulah, beliau mendongak ke langit, terlihat awan besar memayungi langit. Di hujung-hujungnya terdapat gugusan cahaya umpama pelita. Cahaya itu bersinar memenuhi kaki langit. Cahaya itu bergerak secara menaik, semakin lama semakin tinggi, hingga lama-kelamaan hilang dari padangan.

Peristiwa itu menakjubkan Usaib. Tidak pernah dilihat perkara yang seindah dan sehebat itu.

Keesokan hari Usaid menceritakan perkara itu kepada baginda Nabi SAW. Sabda baginda kepada beliau:
“Itulah dia malaikat wahai Usaid. Mereka datang untuk mendengar bacaanmu. Seandainya engkau meneruskan bacaanmu semalam, nescaya semua manusia yang ada akan dapat melihat malaikat tersebut. Malaikat itu tidak akan menyembunyikan diri.”

Beruntung sahabat bernama Usaid bin Hudhair ini. Bacaannya bukan sahaja digemari penghuni bumi, tetapi juga penduduk di langit. Seindah-indah makhluk bernama malaikat, masih menagihkan keindahan bacaan al-Quran beliau.

Tidak mustahil qari dan muqri dalam umat akhir zaman ini mendapat kelebihan seperti sahabat itu, seandainya hak al-Quran ditunaikan sebaiknya laksana Usaid. Usaid bukan sahaja menyibukkan diri membaca al-Quran, bahkan beliau juga sibuk dengan dakwah sehingga mampu Islamkan sebilangan besar kaumnya Aus, menjadi golongan Ansar yang amat dikasihi Nabi dan mereka kasihkan Nabi.

Beliau juga sibuk dengan jihad sehingga itulah kerja paling utamanya. Beliaulah antara yang menadah tubuh membentengi Rasulullah, pada saat cemas dalam perang Uhud, sehingga meninggalkan tujuh kesan tikaman pedang yang sangat ngeri pada tubuhnya.

Qari yang sebenar adalah qari yang tidak berbangga dengan indah suaranya. Tetapi sejauh mana dia menjadikan al-Quran pedoman dalam kehidupan sehariannya.

3 Ramadhan 1438
29 Mei 2017

(Alang Ibn Shukrimun)

{jathumbnail off}