PONGSU SERIBU: Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang telah menganjurkan Bengkel Sistematik Penulisan dan Kewartawanan di Pejabat Perhubungan PAS Pulau Pinang, Pongsu Seribu, di sini hari ini.
Bengkel dihadiri 25 peserta seluruh negeri ini diadakan bertujuan melatih anggota jentera Penerangan PAS Pulau Pinang untuk menggerakkan pelaporan aktiviti parti di Kawasan-kawasan.
Pengisian bengkel meliputi pembentangan modul dan praktikal telah disampaikan dan dikendalikan Pengarang Harakahdaily, Ustaz Izwan Abdul Halim yang juga merupakan Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Sepanjang bengkel selama 5 jam ini, para peserta didedahkan asas penulisan berita dengan teknik mudah dan cepat, selain sesi latih tubi ‘personal coaching’ melibatkan penghasilan berita individu oleh peserta.
Bengkel asas ini juga sebagai latihan awal dan persiapan peserta sebelum lanjutan pada siri lain terutamanya dalam menyediakan petugas dan pasukan wartawan untuk calon-calon PAS pada PRU15 nanti.