Home Kenyataan Media Presiden PAS

Akta Hasutan: Kekal dan Jangan Disalahguna

100 views
SHARE

Kenyataan Media Presiden PAS

AKTA HASUTAN: KEKAL DAN JANGAN DISALAHGUNA


Kehebatan sesebuah negara sangat bergantung dengan kehebatan undang-undang bagi merealisasikan dasar-dasar dalam perlembagaan.

Maka peranan undang-undang adalah memelihara kehidupan bermasyarakat yang seimbang dan menjaga segala kepentingan bagi semua pihak tanpa menjejaskan pihak lain. Bukan sekadar menjaga kepentingan pemimpin, kumpulan atau puaknya sahaja, bahkan dipanjangkan lagi peranannya sehingga menjaga semua makhluk dan alam sekitar.

Kini ada negara yang dianggap maju dan menjadi kebanggaan sesetengah pihak, apabila kononnya terlalu berundang-undang sehingga melaksanakan undang-undang yang meletakkan kepentingan binatang dengan meninggalkan kemuliaan manusia yang ditinggikan oleh Allah.

Bukan sekadar itu sahaja, ada juga yang menggubal undang-undang bagi menjaga pihak tertentu sehingga melupakan rakyat umum yang wajib dibela dan dijaga. Bukanlah bermakna ada perkara tertentu itu tidak memerlukan undang-undang. Apa yang penting adalah kesaksamaan yang dinamakan keadilan untuk semua.

Kita pernah mengalami perjuangan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sehingga seolah-olah ke tahap tidak perlu adanya undang-undang menyelamatkan negeri dan negara. Adakah kita boleh hanyut berfikir sampai ke tahap itu?

Adakah seruan dan janji menghapuskan Akta Hasutan yang kedengaran terkini sehingga ke peringkat boleh menghasut apa-apa sahaja? Kadang-kadang suaranya nampak sebegitu.

Puncanya apabila dijadikan perjuangan politik bagi diri dan puaknya sahaja tanpa mengira negara secara keseluruhan dan menyedari bahawa semuanya itu adalah rukun bagi tegaknya sesebuah negara.

Tidak ada negara boleh terbentuk melainkan adanya syarat rakyat, tanah air, pemimpin, undang-undang dasar (perlembagaan) dan kedaulatan negaranya. Maka undang-undang dan penguatkuasaannya hendaklah menjamin semua perkara tersebut.

PAS dahulu pernah menyokong ISA demi negara menghadapi ancaman Komunis, walaupun PAS pernah menjadi mangsa penyalahgunaannya, ia adalah satu perkara yang lain.

Kini kita mendengar desakan menghapuskan Akta Hasutan, maka janganlah sampai ke tahap semua hasutan dibenarkan. Tidakkah sepatutnya dibincangkan takrif hasutan dan apakah perkara-perkara yang dinamakan hasutan itu, bukan menghapuskan undang-undangnya.

Apa yang paling menarik ialah apabila muncul kalangan yang membuat kenyataan kerana ada isu yang berkait secara khusus dengan peribadi mereka, tiba-tiba masing-masing mencabut topeng memperkenalkan diri siapa mereka sebenarnya.

“Islam Memimpin Perpaduan”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 10 Zulkaedah 1440 / 13 Julai 2019