Home Minda Presiden

Islam Realisasi Perpaduan Umat

856
SHARE

Minda Presiden PAS
ISLAM REALISASI PERPADUAN UMAT


Semua pihak menguar-uarkan ucapan perpaduan sehingga menjadi slogan perjuangan masing-masing yang hanya berpandukan akal dan selera perasaan. Semuanya berniat baik tetapi tidak mencapai tujuannya yang sebenar.

Ada yang fanatik bangsa dan baka atau ideologi dan agama, ada yang bercelaru kemajmukannya sehingga bercita-cita menghapuskan bangsa dan bahasa sendiri tanpa pendekatan yang menyelesaikan pertelingkahan, dan ada yang berkisar dalam kawasan sempadan wilayah dan kepentingan politik dan ekonomi sahaja.

Kita menyaksikan di negara kita ini, perjuangan parti politik dan NGO yang menaja cara perpaduan mengikut acuan masing-masing, sama ada berteraskan kebangsaan fanatik tanpa peduli masyarakat majmuk, atau berteori menghapuskan kebangsaan masing-masing ala ‘Malaysian Malaysia’. Ada yang telah menubuhkan parti dan berkubur dalam lipatan sejarah dan ada yang menunjukkan tanda kelemahan menunggu gilirannya berkubur.

Walaupun teorinya pernah menegakkan negara besar, namun berkecai dan terserlah tanda merudum, meskipun penajanya bergelar ahli falsafah, tokoh akademik dan ahli politik yang dianggap tersohor. Puncanya adalah penyelesaian yang tidak menepati fitrah kejadian manusia.

Kesemuanya itu berakhir tidak mampu merealisasikan perjuangan ke alam nyata, atau tidak berdaya menjadikan teorinya suatu kenyataan yang berpijak di bumi kenyataan.

Kesemuanya berprinsipkan ideologi sekularisme yang meninggalkan peranan  agama, atau agama yang  tidak melengkapi  petunjuk dalam seluruh cara kehidupan manusia ciptaan Allah ini, atau agama ciptaan yang telah diselewengkan daripada hidayah Allah Tuhan Pencipta alam semesta.

Bagi penganut Islam yang menghayati solat mampu memahaminya kalau mengkaji secara mendalam ucapan yang dilafazkan setiap rakaat solat:

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (2)

“Segala puji bagi Allah, Rabb (Pencipta, Pemilik dan Pentadbir) alam semesta”. (Surah Al-Fatihah: 2)

Perkataan Allah yang bermaksud Dia sahaja Tuhan yang Maha Esa dan hanya kepada-Nya beribadah (diperhambakan diri dalam ibadah dan hukum syariat cara hidup). Rabb juga bermaksud Tuhan Yang Maha Esa Pencipta, yang memiliki dan Pengurus Alam Semesta. Dalam pengajian akidah Islam, pertama itu disebut dengan Tauhid Uluhiyyah dan kedua disebut dengan Tauhid Rububiyyah.

Kepercayaan kepada adanya Tuhan Pencipta Alam menjadi fitrah manusia sejagat. Kita menyaksikan kehancuran teori menolak adanya Tuhan dan merudumnya teori percaya kepada Tuhan tetapi mahu membebaskan dirinya daripada Tuhan dalam urusan dunia.

Setiap makhluk itu ada peraturan dan undang-undangnya sendiri secara tabii atau fitrah, dan mengikut kemampuan kejadiannya. Maka Allah Yang Maha Rahmat itu tidak membiarkan begitu sahaja tanpa petunjuk dalam perkara di luar kemampuan jasad, roh dan akal. Oleh itu, ditetapkan sempadan halal dan haram, di samping adanya pilihan supaya tidak melampaui batas fitrahnya.

Bagi makhluk manusia juga ada petunjuk dan peraturannya yang tersendiri, termasuk bagi melaksanakan tujuan hidup bermasyarakat yang mewajibkan perpaduan yang sebenar.

Allah meletakkan batas dengan mewajibkan perpaduan dalam perkara kebaikan kepada semua.  Allah juga mengharamkan perpaduan yang bertujuan merosakkan manusia dan alam sekelilingnya, dan diharuskan berbeza pendapat dalam perkara berbeza tanpa merosakkan kehidupan dengan sempadan supaya tidak melampau. Inilah dinamakan Rahmatan Lil Alamin, bukannya boleh melakukan apa sahaja yang merosakkan diri sendiri, masyarakat dan alam sekeliling.

Firman Allah:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ (2)

“Bertolong menolonglah kamu dalam perkara kebajikan serta takwa dan jangan bertolong menolong dalam perkara dosa serta permusuhan, dan bertakwa kepada Allah, sesungguhnya Allah itu sangat keras balasannya”. (Surah al-Maa’idah: 2)

Makhluk manusia ini adalah satu daripada alam makhluk ciptaan Allah yang ditadbir dan diurus dengan petunjuk-Nya, serta kemampuan akal dan pengalaman mengikut sempadan kemampuannya. Setiap makhluk itu ditetapkan fitrah yang tetap dan sifatnya yang berubah.

Dalam diri makhluk manusia, ada perkara yang sama dan ada pula yang berbeza atau berlainan sesama mereka. Apatah lagi dengan makhluk lain dari segi fitrah dan sifatnya. Maka menyatukan manusia itu berbeza dengan menyatukan makhluk lain, walaupun sifatnya bermasyarakat yang mewajibkan adanya perpaduan kemanusiaan sejagat, namun terdapat perbezaan dalam banyak perkara yang tidak mungkin dihapuskan dan perlu adanya penyelesaian.

Peranan manusia dan hikmah kejadiannya juga berbeza dengan makhluk yang lain. Maka perpaduan makhluk manusia ini tidak boleh disamakan dengan mengumpulkan sekawan binatang  yang sama jenisnya dalam satu kandang atau padang ragut sekadar mengagih makanan dan minuman yang mencukupi dan mengadakan pasangannya sekadar memuaskan nafsu. Perpaduan manusia juga tidak seperti menyatukan batu bata dan kayu kayan yang tidak bergerak bagi membina satu bangunan.

Dalam beberapa tulisan saya telah ditegaskan bahawa makhluk manusia bercirikan jasad, akal, roh, hidup bersendirian dan bermasyarakat yang mewajibkan berkumpulan dan  perpaduan tanpa dinafikan sesekali.

Manusia yang bersifat kedirian dan bermasyarakat ini boleh disatukan dalam tugas memakmurkan bumi yang mewajibkan mereka berhubungan di antara satu sama lain dalam kehidupan duniawi.

Bagi menghasilkan keperluannya, maka Al-Quran menegaskan konsep yang dinamakan taaruf. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (13)

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu bertaaruf (berkenal-kenalan, beramah mesra, bertolong menolong  antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)”. (Surah al-Hujuraat: 13)

Para ulama’ mentafsirkan perkataan taaruf itu dengan kerjasama memakmurkan bumi, kerana kepelbagaian kebolehan, kemampuan, hasil dan segala keperluan kehidupan manusia yang wajib dilaksanakan secara kolektif yang bersifat kemasyarakatan sejagat.

Tegasnya Islam mewajibkan perpaduan manusia bersifat sejagat kerana ciri fitrahnya bermasyarakat. Maka Islam menegaskan ciri kemasyarakatan masyarakat madani yang lebih mencakupi maknanya daripada istilah ‘civil society’.

Pengertian masyarakat madani mengikut istilah Barat, adalah suatu masyarakat yang beradab dan menjunjung tinggi nilai-nilai kemanusiaan, masyarakat demokratis, maju dan menguasai ilmu pengetahuan, dan teknologi.

Ibnu Khaldun ialah tokoh paling ulung memperkenalkan huraian masyarakat madani dalam Bahasa Arab yang menjadi perkataan asalnya dengan takrif yang lebih luas merangkumi segala aspek yang disebut jami’ dan mani’ dalam ilmu mantik.

Masyarakat madani bermaksud seluruh manusia itu wajib berhubungan dan bertolongan di antara satu sama lain bagi memenuhi segala keperluan kehidupan mereka dalam segala aspek.

Rasulullah S.A.W. telah mempraktikkannya mengikut petunjuk Al-Quran, apabila menubuhkan negara yang dinamakan Madinah, diterjemahkan kemudiannya dengan bandar, tempat berkumpulnya masyarakat sekitar yang beribadat kepada Allah dengan mendirikan masjid dan mengadakan pasar bagi dikumpulkan pelbagai hasil kerja dan kemahiran yang diperniagakan di Pasar Madinah, melibatkan rakyat pelbagai kaum dan agama, diuruskan dalam sistem politik, ekonomi, pendidikan dan sosial, bercirikan sebuah negara masyarakat majmuk yang dipimpin oleh Islam yang dikawal oleh ciri-ciri akidah iman, undang-undang, akhlak, serta amar makruf dan nahi mungkar.

Maka diwujudkan perpaduan umat manusia yang satu dari segi kemanusiaannya, serta ditangani ciri perbezaan agama dan bangsa, semuanya disimpulkan dalam Piagam Madinah yang terkenal bagi membentuk sebuah negara bermasyarakat majmuk yang berpijak di bumi kenyataan, bukannya seperti teori republik yang diimpikan oleh Plato dan murid-muridnya dahulu dan sekarang yang tidak pernah terbukti di alam nyata.

Rasulullah S.A.W. memulakan asasnya dengan perpaduan umat Islam dalam kalangan Muhajirin dan Ansar, Arab dan bukan Arab, daripada kalangan individu yang mendukung akidah negara dengan prinsip beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, serta konsep bertakwa dan adil terhadap semua. Mereka ini dipersaudarakan dengan ikatan iman dan takwa bagi melaksanakan keadilan kepada seluruh manusia, berpandukan firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ (8) وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ عَظِيمٌ (9)

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sesekali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.(8); Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh keampunan dan pahala yang besar”. (9) (Surah al-Maa’idah: 8-9)

Seterusnya diwajibkan hubungan kemanusiaan, walaupun berbeza agama dengan konsep keadilan untuk semua yang diwajibkan oleh iman yang ada perhitungan dosa dan pahala serta hukuman di dunia sehingga selepas kematian dan hidup semula pada Hari Akhirat. Bukan sekadar kawalan undang-undang manusia yang paling banyak kelemahannya dan pendek wawasannya.

Konsep Islam ini mampu mengatasi penyakit yang merosakkan perpaduan masyarakat yang tidak mungkin dihapuskan cabarannya. Keadilan Islam secara mutlak juga merangkumi segala aspek kehidupan manusia dalam semua haknya bukan sahaja aspek kehakiman seperti disalahfahamkan.

Seterusnya diwajibkan hubungan silaturahim kekeluargaan walaupun berbeza agama, berpandukan firman Allah:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا (1)

“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu”. (Surah an-Nisa’: 1)

Firman Allah:

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ (14) وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ (15)

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan. Demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya adalah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (14); Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku (Allah) sesuatu yang engkau jahil (lain daripada Allah) – tidak mengetahui sungguh ada-Nya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka dalam urusan  dunia (kehidupan) dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepada-Ku (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan”. (15) (Surah Luqman: 14-15)

Ayat ini menunjukkan kewajipan memelihara hubungan keluarga (silaturahim) termasuk hubungan dengan keluarga bukan Islam, dengan ketegasannya terus beristiqamah bersama Islam dan ajarannya.

Keluarga itu ditafsirkan oleh Rasulullah S.A.W. sehingga asal usul yang bersejarah, apabila mengarahkan berwasiat kepada para sahabatnya supaya berlaku baik terhadap penduduk Mesir, sekiranya mereka masuk memerintahnya secara khusus, kerana neneknya bernama Hajar, ibu Nabi Ismail berasal daripada Mesir yang telah berlalu beberapa abad dan melahirkan bangsa-bangsa yang berlainan. Ini menunjukkan hubungan rumpun pelbagai bangsa juga perlu diambil kira.

Maka untuk merealisasikan perpaduan berkonsepkan Islam mengikut situasi dan realiti Malaysia terkini, hendaklah menegaskan konsep Islam memimpin berteraskan Melayu Islam yang beriman dan budiman, bukannya Melayu sembarangan. Seterusnya hubungan masyarakat majmuk pelbagai kaum dan agama berteraskan Islam menjadi akidah dan konsep kemanusiaan sejagat, adil terhadap semua dan hubungan silaturahim kemanusiaan yang bermasyarakat madani.

Inilah kunci kejayaan yang menjadikan masyarakat Melayu beragama Islam tidak bermasalah terhadap kaum lain, maka sepatutnya pelbagai kaum dalam negara ini juga tidak khuatir dan bimbang terhadap konsep Islam memimpin.

“Islam Memimpin Perpaduan”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 10 Zulkaedah 1440 / 13 Julai 2019