Home Kenyataan Media PAS Selangor

“Hakikat Anugerah Kemenangan” Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor

861
SHARE

KHUTBAH PERTAMA

EIDUL FITRI 1440H

“Hakikat Anugerah Kemenangan”

Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor

اللَّهُ أَكبَرُ، اللَّهُ أَكبَرُ، اللَّهُ أَكبَرُ،

اللَّهُ أَكبرُ، اللَّهُ أَكبَرُ، اللَّهُ أَكبَرُ،

اللَّهُ أَكبَرُ، اللَّهُ أَكبرُ، اللَّهُ أَكبرُ،

اللَّهُ أَكبرُ كَبِيرًا، وَالحَمدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبحَانَ اللَّهِ بُكرَةً وَأَصِيلًا.

نَحْمَدُهُ سُبحَانَهُ وَتَعَالَى حَمْدًا يُوَافِي نِعَمَهُ وَيُكَافِئُ مَزِيدَهُ. يَا رَبَّنَا لَكَ الحَمدُ كَمَا يَنبَغِي لِجَلَالِ وَجْهِكَ وَعَظِيمِ سُلطَانِكَ. أَشهَدُ أَن لَّا إِلَـهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحدَهُۥ لَا شَرِيكَ لَهُۥ، لَهُ المُلكُ وَلَهُ الحَمدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيءٍ قَدِيرٌ. وَأَشهَدُ أَنَّ سيدنا مُحَمَّدًا عَبدُهُۥ وَرَسُولُهُۥ، البدرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا وَحَبِيبِنَا مُحَمَّدٍ، الرَحْمَةِ الْمُهْدَاةِ وَالنِّعمةِ الْمُسدَاةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهۥ وَنَصَرَهۥ وَوَالَاهۥ.

أَمَّا بَعْدُ،

فَيَا أَيُّهَا الْمُسْلِمُون، اتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ لِقَوْلِهِ تعالى :

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا ٱتَّقُوا ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ

Sidang jemaah Eidul Fitri yang berbahagia,

Marilah kita meneruskan ketaqwaan kita pada hari ini selepas kita melalui pentarbiyahan Ramadhan selama sebulan dengan menjunjung segala titah perintah Allah dalam melaksanakan arahan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sesungguhnya ibadah dan ketaqwaan kita tidak terhenti dengan berakhirnya Ramadhan.

Marilah kita menghayati khutbah Eidul Fitri pada tahun ini yang bertajuk : Hakikat Anugerah Kemenangan.

اللَّهُ أَكبَرُ، اللَّهُ أَكبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، وللهِ الْحَمْدُ

Sidang jemaah yang dikasihi sekalian.

Pada pagi 1 Syawal ini, adalah merupakan hari kegembiraan bagi seluruh umat Islam. 1 Syawal juga disebutkan sebagai anugerah kemenangan yang diberikan oleh Allah kepada hamba-hamba yang telah selesai menyempurnakan ibadah puasa dan pentarbiyahan sepanjang Ramadhan selama sebulan. 1 Syawal merupakan Hari Kebesaran bagi umat Islam yang diangkat oleh Islam sebagai mercu keizzahan ummah dengan syiar laungan takbir membesarkan Allah bermula di malam raya.

Kemenangan dan kegembiraan pada 1 Syawal ini diajarkan oleh Allah adalah hasil istiqamah menyempurnakan ketaatan, menzahirkan kebesaran Allah dan menunjukkan rasa syukur. Ia adalah berteraskan firman Allah dalam Surah al-Baqarah pada ayat 185 :

وَلِتُكۡمِلُوا۟ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ

Maksudnya : “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”

Kemenangan ini merupakan nikmat yang besar. Kegembiraan yang disambut bukan kerana menurut nafsu tetapi kerana telah menundukkan nafsu sepanjang bulan Ramadhan. Inilah hakikat kemenangan apabila diri menjadi hamba kepada Allah bukan kepada nafsu.

Kemenangan tidak akan dicapai melainkan dengan sabar dalam berjihad serta istiqamah dalam amal. Mereka yang tidak mampu bersabar dan tidak beristiqamah, adalah mereka yang kalah. Sebab itu, bulan Ramadhan yang kita lalui baru-baru ini adalah bulan tarbiyah dalam mendidik diri menjadi hamba yang sabar.

Tarbiyah ini bukanlah tarbiyah luaran anggota tetapi ia merupakan tarbiyah ke atas kekuatan dalaman iaitu keimanan. Sebab itu, perintah-perintah Allah hanya mampu dilaksanakan dengan kekuatan iman. Kemenangan juga diberikan oleh Allah kepada hamba-Nya yang beriman.

اللَّهُ أَكبَرُ، اللَّهُ أَكبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، وللهِ الْحَمْدُ

Dalam keghairahan menyambut anugerah kemenangan pada 1 Syawal, jangan dilalaikan dengan perkara yang merosakkan pahala amal ibadah yang telah dikerjakan sepanjang Ramadhan. Kemenangan yang dikecapi jangan pula sehingga melupai batasan agama dalam kehidupan. Ini kerana, kita hidup bersyariat. Segala tindak tanduk dan kelakuan kita mestilah atas pertimbangan asas dosa dan pahala. Inilah nilai hidup yang berteraskan aqidah. Mengutamakan pandangan Allah bagi meraih redha-Nya.

Cabaran masa kini apabila hidup berkiblatkan kehendak pemuas nafsu dan berpaksikan ideologi Barat iaitu sudut pandang kehidupan tanpa paksi Tuhan. Akhirnya mengakibatkan apa sahaja yang dikehendaki untuk memuaskan nafsu akan dikerjakan tanpa kira dosa dan pahala. Malah berlapikkan hak manusia dengan mengenepikan kebenaran agama dari Allah. Jika ini tidak dibendung dan dikawal, maka anugerah kemenangan pada 1 Syawal akan dicemari dengan maksiat, kemungkaran dan perkara yang melalaikan. Tarbiyah yang dilalui sepanjang Ramadhan bagaikan debu-debu yang berterbangan sahaja.

Kemenangan ini bukanlah bermaksud manusia bebas dari keterikatan agama sehingga boleh melakukan apa sahaja tanpa sempadan. Sebab itu pentingnya istiqamah dalam amal. Sama ada di saat ujian atau saat kemenangan.

Walaupun telah berlalunya Ramadhan, namun ibadah solat berjamaah mesti diteruskan. Ibadah membaca al-Quran mesti dilangsungkan. Ibadah sedekah mesti disambung. Menutupi aurat mesti konsisten pemakaian patuh syariahnya. Begitu juga ibadah malam mesti diusahakan. Amat rugilah kemenangan yang disambut namun tidak menjadi wasilah untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah malah lebih menjauhkan diri dari-Nya. Justeru, Allah mendidik hamba-Nya menerusi teladan Baginda SAW dan para sahabat tatkala diberikan kemenangan dalam pembukaan Kota Mekah agar bertasbih, bertahmid dan memohon keampunan dari Allah. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nasr pada ayat 3 :

فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُۚ إِنَّهُۥ كَانَ تَوَّابَۢا

Maksudnya : “Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.”

Inilah sikap orang beriman apabila dianugerahkan kemenangan oleh Allah SWT. Kemenangan menjadi pemangkin untuk terus mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan perlaksanaan syariat sama ada dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara.

اللَّهُ أَكبَرُ، اللَّهُ أَكبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، وللهِ الْحَمْدُ

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Kita berada di zaman fitnah di mana manusia terkeliru antara kebenaran dan kebatilan. Kemenangan yang diiktiraf oleh Islam atau kemenangan yang dijulang oleh nafsu. Akhirnya manusia tersilap memilih. Sebab itu, fungsi al-Quran yang diturunkan di dalam bulan Ramadhan salah satunya ialah pembeza antara kebenaran dan kebatilan.

Al-Quran menjadi penentu dalam menentukan sesuatu tersebut benar atau tidak. Apa sahaja yang bercanggah dengan al-Quran maka ia adalah kebatilan sekalipun perkara tersebut dipuji dan disokong oleh sekalian manusia. Dengan panduan al-Quran, kehidupan manusia ada keterikatan. Pembebasan dari keterikatan panduan wahyu merupakan agenda liberalisme. Agenda ini melonjakkan slogan hak asasi manusia demi merungkai keterikatan hidup berpandukan wahyu.

Hati-hati dengan agenda liberalisme ini. Ia bukan sahaja merungkai keterikatan manusia dari panduan wahyu tetapi ia secara halus menyelewengkan pemikiran dari keyakinan bahawa hanya Agama Islam sahaja yang benar dan diterima oleh Allah. Begitu juga agenda Pluralisme yang menjadikan semua agama dilihat sama dan semuanya membawa kepada jalan kebenaran. Maka tiada lagi eksklusif agama Islam dengan semua agama dihukum secara sama rata.

Bahayanya kedua-dua agenda ini jika meresap ke dalam pemikiran umat Islam. Akhirnya kita boleh lihat bibit bibit yang menjadi polemik seperti berbuka puasa di rumah ibadah agama lain seperti di kuil, penyampaian agihan zakat oleh kalangan non muslim, model wanita yang tidak menutup aurat dalam iklan program membaca al-Quran, dakwaan bahawa orang kafir juga layak berada di dalam syurga serta beberapa polemik yang membawa kepada kekeliruan dan fitnah.

Malah mereka memanipulasi kalimah-kalimah yang ada dalam agama bagi membolehkan tindakan mereka sedang ia tersasar dari kebenaran. Al-Quran bukan menjadi panduan pada mereka. Al-Quran dipaksa menjadi alat menyokong tindakan mereka. Hakikatnya mereka adalah kalangan yang terkeliru antara kebenaran dengan kebatilan. Mereka terus dalam tindakan yang batil kerana merasa benar.

Sabda Nabi Muhammad SAW :

يَخْرُجُ قَوْمٌ مِنْ أُمَّتِي يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ لَيْسَ قِرَاءَتُكُمْ إلَى قِرَاءَتِهِمْ بِشَيْءٍ، وَلَا صَلَاتُكُمْ إِلَى صَلَاتِهِمْ بشيء، يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ يَحْسَبُونَ أَنَّهُ لَهُمْ وَهُوَ عَلَيْهِمْ، لَا تُجَاوِزُ قِرَاءَتُهُمْ تَرَاقِيَهُمْ، يَمْرُقُونَ مِنْ الْإِسْلَامِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِن الرَّمِيَّةِ

Maksudnya : “Muncul di kalangan umatku kumpulan yang membaca al-Quran yang tidak seperti bacaan kamu, begitu juga solat mereka tidak seperti solat kamu. Mereka membaca al-Quran dengan anggapan petunjuk kepada mereka, sebenarnya menimpa bencana ke atas mereka. Di mana bacaan mereka hanya sekadar kerongkong (tidak ke dalam hati sanubari menjadikannya petunjuk). Sebenarnya mereka tersasar daripada Islam, laksana tersasarnya panah kepada sasarannya” – riwayat Muslim

Disebabkan itu, kemenangan mesti berpandukan al-Quran dan diisi dengan intipati al-Quran sepenuhnya. Pembacaan al-Quran mesti bersama penghayatan dan kefahaman yang sahih. Amalan tadarus dan tadabbur al-Quran yang dilaksanakan dalam bulan Ramadhan mesti diteruskan lagi. Jangan terhenti disebabkan telah berlalu Ramadhan. Berada di zaman mencabar ini, sepatutnya manusia menganggap al-Quran bagaikan oksigen bagi meneruskan kehidupan. Tanpa oksigen manusia boleh mati. Maka tanpa al-Quran, hati manusia mati!

Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 49 :

وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ

Maksudnya : “Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan Sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.”

اللَّهُ أَكبَرُ، اللَّهُ أَكبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، وللهِ الْحَمْدُ

Sidang jemaah Eidul Fitri yang dirahmati,

Terdapat banyak ayat al-Quran yang menegaskan larangan memberikan kesetiaan kepada orang bukan Islam. Larangan ini bukan bermaksud tidak boleh berkawan dengan mereka tetapi berkawanlah dengan mereka dengan syarat tidak mengabaikan hukum dan tuntutan agama.

Jangan disebabkan mahu berniaga, berkerjaya, berpolitik dan berusaha meraih undi, prinsip dan hukum agama diabaikan dan ditinggalkan. Ini menggadaikan agama. Perbuatan ini haram kerana khianat dan curang kepada agama. Dia sanggup menggadaikan agama untuk kepentingan dunia yang tiada nilainya di sisi Allah.

Orang Islam perlu memberikan kesetiaan kepada Allah, rasul dan sesama orang Islam atas dasar iman. Kesetiaan ini menggambarkan erti kesatuan, kecintaan, kasih sayang, kebersamaan yang terbina dalam hati seorang Muslim dengan Allah, rasul dan sesama orang Islam.

Seorang Muslim yang baik, akan mengutamakan kepentingan agamanya melebihi kepentingan yang lain. Seorang yang sayangkan sesuatu akan mengutamakan barang kesayangannya dalam segala hal.

Kesetiaan berbeza dengan taat walaupun keduanya ada kaitan. Kesetiaan lebih mendasar lagi dari ketaatan kerana seorang yang setia tidak akan sama sekali melakukan perbuatan curang dan khianat. Kesetiaan terletak pada hati manakala ketaatan dapat dilihat dari zahirnya. Seorang isteri yang setia tidak akan sama sekali curang terhadap suaminya. Walaupun mungkin dalam kehidupan seharian ada yang dia kurang patuh terhadap suaminya.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah pada ayat 55 – 56 :

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ*وَمَنْ يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْغَالِبُونَ

Maksudnya : “Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). Dan barangsiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang.”

اللَّهُ أَكبَرُ، اللَّهُ أَكبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، وللهِ الْحَمْدُ

Sidang Muslimin dan Muslimat yang berbahagia,

Dalam kegembiraan kita menyambut anugerah kemenangan pada 1 Syawal ini, jangan kita melupakan nasib saudara-saudara keakidah kita di Palestin, Syria, Etnik Uighyur di China dan di tempat-tempat umat Islam ditindas dan dizalimi. Luangkan masa untuk mendoakan kesejahteraan mereka pada setiap kali selepas solat serta hulurkan bantuan infaq yang boleh disalurkan kepada mereka. Jadikan kegembiraan atas kemenangan ini adalah kemenangan bagi ummah.

Umat Islam mesti bangkit bersatu padu mengecam kezaliman yang dilakukan oleh musuh ke atas saudara kita di luar sana. Di kala waktu menyambut kehadiran Ramadhan, umat Islam di Palestin dihujani dengan peluru-peluru dan bom sehingga kalangan mereka yang menjadi yatim, janda dan rumah mereka roboh. Penderitaan mereka sudah memasuki tahun ke 71 semenjak 15 Mei 1948 tertubuhnya negara haram Israel di Palestin.

Berjayanya musuh merobek dunia Islam apabila umat Islam hilang kuasa tertinggi pemerintahan iaitu Khilafah Uthmaniyyah yang diranapkan pada 3 Mac 1924. Malah berjayanya musuh meruntuhkan khilafah ekoran umat Islam ketika itu berpecah dengan berlakunya Revolusi Tanah Arab pada 1916 yang menyaksikan negara-negara Arab tidak mahu berada di bawah pusat pemerintahan di Turki. Perpecahan ini menjadikan umat Islam lemah. Lantas diintai oleh musuh kesempatan tersebut dengan tercetus Deklarasi Balfour pada 1917. Pengajaran yang cukup besar apabila umat Islam tidak bersatu dan berpecah.

Marilah kita menjadikan hasil tarbiyah Ramadhan dan anugerah kemenangan pada 1 Syawal ini sebagai medan perpaduan ummah. Umat Islam mesti bersama dalam menangani isu di dalam tanah air serta luar negara. Hasil perpaduan ummah inilah yang menjadi tonggak kekuatan negara Islam di Madinah dengan tertautnya ukhuwwah Islamiyyah antara Muhajirin dan Ansar serta kaum Aus dan Khazraj. Hasil perpaduan ummah juga antara Muhajirin dan Ansar dalam peperangan Badar al-Kubra diberikan kemenangan oleh Allah SWT sekalipun kekuatan tentera Islam amat sedikit berbanding musuh ditambah pula dengan kekurangan senjata.

اللَّهُ أَكبَرُ، اللَّهُ أَكبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، وللهِ الْحَمْدُ

Mengakhiri khutbah Eidul Fitri kali ini, marilah kita menghayati pengajaran dari khutbah yang disampaikan tadi seperti berikut :

  1. Kemenangan yang hakiki ialah apabila kita terus beristiqamah dalam beramal sehingga ke akhirnya.

  2. Kemenangan itu hakikatnya kita semakin dekat hubungan dengan Allah SWT.

  3. Kemenangan yang sebenar apabila al-Quran menjadi panduan dalam kehidupan.

  4. Kemenangan akan dianugerahkan oleh Allah jika umat Islam bersatu dan mengelak persengkatan sesama sendiri.

أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Maksudnya : Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” [al-Anfal : 46]

بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُم بِالْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُم بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيم، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلَاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيم

أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،

لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ. اللهُ أَكْبَرُ، وَللهِ الْحَمْدُ