Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Waqi’ah : Siri 16

851
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Waqi’ah: Siri 16
Ayat: 51-56 : Makanan dan Minuman buat Ashab Al-Syimal

? Firman Allah serta terjemahannya:

ثُمَّ إِنَّكُمْ أَيُّهَا الضَّالُّونَ الْمُكَذِّبُونَ – ٥١
kemudian sesungguhnya kamu, hai orang-orang yang sesat lagi mendustakan.

لآكِلُونَ مِنْ شَجَرٍ مِنْ زَقُّومٍ – ٥٢
benar-benar akan memakan pohon zaqqum.

فَمَالِئُونَ مِنْهَا الْبُطُونَ – ٥٣
dan akan memenuhi perutmu dengannya.

فَشَارِبُونَ عَلَيْهِ مِنَ الْحَمِيمِ – ٥٤
sesudah itu kamu akan meminum air yang sangat panas.

فَشَارِبُونَ شُرْبَ الْهِيمِ -٥٥
Maka kamu minum seperti unta yang sangat haus minum.

هَذَا نزلُهُمْ يَوْمَ الدِّينِ – ٥٦
Itulah hidangan untuk mereka pada hari Pembalasan.

? Tafsir ringkas:

1. Di dalam ayat ini Allah SWT menegaskan bahawa golongan kiri ini orang yang sesat lagi mendustakan. Mereka sesat kerana mereka mendustakan kebenaran iaitu mendustakan al-Quran, menolak al-Qur’an dan juga hadis. Mereka juga mendustakan orang yang datang bawa kebenaran dari kalangan para rasul, anbiya’ dan pendakwah yang benar.

2. Akibat kesesatan dan pendustaan tersebut, mereka akan diseret ke dalam neraka dan dihidangkan dengan sajian khas untuk golongan kiri dan dipaksa untuk memakan buah zaqqum.

3. Zaqqum adalah sejenis buah yang berduri yang hanya hidup dalam api neraka. Ia adalah pohon yang dilaknat, yang tidak enak dilihat dan dimakan. Golongan ini akan memakannya sampai memenuhi perut-perut mereka.

4. Kemudian mereka akan minum air yang mendidih dengan sebab bersangatan haus, akan tetapi minuman itu tidak menghilangkan dahaga. Mereka minum akan tetapi tidak menghilangkan haus, sebagaimana unta yang sangat haus yang tidak menemui sebarang air untuk diminum. Ibnu Abbas mengatakan bahawa al-him ( الْهِيمِ ) adalah suatu penyakit yang dialami unta, yang mana ia selalu akan merasa kehausan sehingga ia mati, begitu juga keadaan ahli neraka Jahanam, mereka tidak pernah merasa kenyang dari minum air yang panas mendidih.

5. Inilah dia balasan kepada mereka pada Hari Pembalasan. Kalimah نزل itu sebenarnya bermaksud makanan sambutan kepada musafir yang baru sampai. Ia adalah isyarat bahawa ahli neraka pun akan disambut kedatangan mereka dengan sajian tapi sangat mengerikan.

? Pengajaran:

1. Tidak pelik jika pendustaan agama ini datangnya daripada orang-orang kafir. Namun, sebagai muslim kita juga perlu berhati-hati kerana sikap tersebut juga boleh dilakukan oleh mereka yang mengaku Muslim. Bahkan ramai sekali. Ada yang mendustakan dengan lisan dan ada mendustakannya dengan amal. Mengaku Muslim, tetapi ucapan, gerak-geri, tingkah laku, dan amal perbuatannya jauh daripada nilai-nilai Islam.

2. Zaqqum dan air mendidih adalah sajian bagi ahli neraka yang disiapkan di hari akhirat. Jika ada getar di hati ketika bertemu dengan ayat-ayat tentang dahsyatnya isi neraka, bersyukurlah kerana kita masih punya iman. Maka pertahankan dan perteguhkan. Sentiasalah memohon petunjuk di jalan yang benar dan diredhai agar Allah menjauhkan kita daripada azab dan siksaNya

3. Kewajiban kita setelah membaca ayat-ayat tentang neraka dan isinya ialah mempelajari bentuk-bentuk ketaatan untuk diamalkan serta mempelajari bentuk-bentuk kemaksiatan untuk ditinggalkan. Dengan ini kita dapat menjaga menjaga diri daripada neraka.

3. Para wali samada pemerintah atau ketua keluarga juga berkewajipan memberikan perhatian kepada orang di bawahnya samada rakyat, keluarga, isteri, anak-anak, dan orang-orang yang ditanggung, mendidik mereka, dan memerintahkan mereka untuk taat kepada Allah dan Rasul-Nya, serta melarang mereka dari kemaksiatan. Ini bererti menjaga mereka semua daripada siksa neraka.

4. Sebagai seorang muslim kita harus ingat bahawa tujuan hidup kita adalah syurga negeri yang abadi bukannya dunia. Janganlah kerana tertipu dengan dunia kita terjerumus bersama-sama dengan orang yang mendustakan agama, bersekongkol dengan orang yang mempersendakan agama serta hidup dalam kesesatan. Sudah pasti jika kita tidak bertaubat maka makanan nerakalah yang akan dijamah kelak. Nauzubillah min zalik.

? Rujukan: 
Tafsir Ibnu Katsir
Tafsir Al-Wajiz, Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
21 Mei 2019 / 16 Ramadhan 1440