PERUTUSAN RAMADHAN 1440H DMPM:PELUANG MEMPERBAIKI AMALAN
Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak tahun 1440H kepada semua umat Islam di seluruh dunia khususnya di Malaysia.
Alhamdulillah kita masih diizinkan oleh Allah untuk bertemu dan bakal menikmati bulan Ramadhan yang mulia dan penuh dengan beribu kurniaan daripada Allah SWT.
Bulan Ramadhan bukan sahaja bulan untuk kita merayakan pesta ibadah, tetapi ia turut menjadi medan untuk kita melatih diri menjadi hamba yang bertaqwa.
Firman Allah S.W.T:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ.
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa”. (Surah Al-Baqarah: 183)
Bulan Ramadhan bukan bulan untuk kita mencari alasan berlesuan dan tidak bersemangat dalam kerja seharian masing-masing.
Sejarah telah membuktikan bahawa umat Islam pernah memenangi peperangan pada bulan Ramadhan iaitu kisah Perang Badar. Ini menunjukkan umat Islam sentiasa bersemangat berjuang untuk mendapatkan redha Allah walaupun dalam bulan Ramadhan.
Oleh yang demikian, marilah kita merebut peluang yang ada pada bulan Ramadhan ini untuk melakukan ibadah kepada Allah SWT. Semoga ibadah yang dilaksanakan membuahkan rasa ikhlas dan mendapat nilaian di sisi Allah. Tempuhilah bulan Ramadhan dengan penuh rasa kehambaan.
Akhir kata, beruntunglah mereka yang hari ini lebih baik daripada semalam. Semoga Ramadhan ini merupakan titik tolak kepada kita semua untuk berubah kepada lebih baik dari sebelumnya.
(اللَّهُمَّ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ) – “Ya Allah, Ya Rabb kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa api neraka.”
Riwayat al-Bukhari (6389) dan Muslim (7016)
“Ramadhan Kareem”
“Muslimat Istiqamah Memacu Kemenangan”
SENATOR YB USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
29 Syaaban 1440H bersamaan 5 Mei 2019