Home Berita PAS Perlis

Kukuhkan Taqwa dan Perpaduan Demi Kegemilangan Islam

1079
SHARE

Oleh : Nur ‘Iffah

ARAU : Umat Islam digesa agar memelihara taqwa kepada Allah S.W.T. dengan menjadikan Islam sebagai pegangan hidup serta bersungguh-sungguh memartabatkannya (agama Islam).

Menurut Ketua Pemuda PAS Kawasan Arau, Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim, perintah supaya bertaqwa adalah bagi melahirkan insan yang memahami matlamat kehidupannya di dunia serta terselamat daripada azab di akhirat nanti.

Memetik ayat ke 102 Surah Al-Imran, beliau menjelaskan manusia yang bertaqwa akan bersungguh-sungguh mengerjakan perintah Allah S.W.T. dalam setiap masa dan keadaan di samping berusaha meninggalkan segala laranganNya serta memastikan setiap keputusan dan perbuatannya selari dengan tuntutan agama serta memberi manfaat untuk Islam.

“Kita seharusnya memahami dengan lebih mendalam maksud ayat ini supaya hati kita berasa lapang dan lebih terbuka untuk menyokong tindakan atau keputusan yang telah dibuat oleh pimpinan (syura) bersandarkan Al-Quran,” ujarnya ketika berucap dalam Ceramah Penyatuan Ummah di Dataran Behor Mentalon, dekat sini pada 2 April yang lalu.

Turut sama berucap dalam program berkenaan, Setiausaha Politik Presiden PAS, Saudara Syahir Sulaiman dan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Perlis, Azizan Sulaiman.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji turut menghuraikan ayat yang menjelaskan larangan kepada umat Islam berpecah belah yang menurutnya bukan ditujukan pada zaman nabi semata-mata, sebaliknya merentasi masa dan zaman.

“Antara punca utama kejatuhan zaman Uthmaniyyah dan Andalusia adalah kerana goyahnya kesatuan antara umat Islam di zaman itu.

“Perpecahan yang berlaku telah berjaya membuka ruang kepada musuh Islam untuk menyuntik jarum permusuhan, lalu (akibatnya) melumpuhkan kesatuan umat Islam dari dalam.

“Sejarah perlu dijadikan iktibar, oleh itu tujuan kita berkumpul pada malam ini adalah untuk menyuntik kembali kesedaran kepada segenap lapisan masyarakat agar kembali bersatu dan bekerjasama atas nama Islam, bukan atas kepentingan duniawi yang lain,” tambah beliau.