Home Berita PAS Perlis

Pemuda PAS Perlis Ziarah Murid PASTI Hidap Kanser Tahap 4

1681
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR: Prihatin dengan nasib yang menimpa adik Fathimah Azzahra Mohd Bukhori, Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis, PASTI Negeri Perlis dan ARC Perlis telah mengadakan Ziarah Mahabbah ke Hospital Tuanku Fauziah dekat sini pada 27 Mac yang lalu.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Perlis, Dr. Saifizi Saidon mengetuai program ziarah berkenaan.

Murid PASTI Ar-Rahmah, Kangar yang berusia 6 tahun itu kini diletakkan di bawah pengawasan doktor setelah disahkan menghidap kanser leukemia tahap 4.

Anak kelima dari 7 adik beradik itu menghidap kanser berkenaan sejak berusia 2 tahun dan kini hanya mampu terbaring di katil hospital sambil ditemani oleh ahli keluarganya.

Lebih menyedihkan lagi, bapa Fathimah, Mohd Bukhairi Md. Yatim pula terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti kerja demi menjaga dan memantau keadaan anaknya.

Pengarah PASTI Perlis, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil yang turut sama dalam program berkenaan berkata, penderitaan yang ditanggung oleh keluarga berkenaan mendapat perhatian daripada pihaknya yang turut menyampaikan sedikit sumbangan pada program ziarah tersebut.

“Kita merayu kepada para dermawan serta orang ramai agar dapat sama-sama membantu meringankan penderitaan yang ditanggungi adik Fathimah dan keluarganya, menerusi sumbangan berbentuk kewangan.

Sebarang sumbangan bolehlah dimasukkan terus ke akaun Maybank milik bapanya bernombor 114075797339 (Mohd Bukhori Md Yatim),” katanya.

Semoga Allah memberi kesembuhan buat Adik Fathimah dan diangkat segala penyakit serta dikurniakan kesabaran buat seluruh anggota keluarganya.