Home Berita PAS Pulau Pinang

Gesa Tindakan Tegas Terhadap Premis Buang Sisa Kimia Di Bukit Mertajam

1346
SHARE

Oleh : Wardah Abdul Rahman

BUKIT MERTAJAM 20 Mac – Berikutan penemuan sisa buangan bahan kimia di ladang kelapa sawit, Bukit Teh, Bukit Mertajam yang dipercayai dibuang beberapa minggu lalu, Timbalan Pesuruhjaya Norazman Ishak dan Ketua Penerangan Pemuda PAS negeri, Ahmad Safuan turun ke lokasi kejadian bagi meninjau keadaan sekitar tempat kejadian.

Tinjauan mendapati kawasan yang dijadikan tempat buangan bahan kimia ini masih belum dibersihkan sepenuhnya. Terdapat sisa-sisa bahan kimia yang dibuang tidak dilupuskan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Hasil tinjauan mendapati penduduk melahirkan kebimbangan berikutan penemuan bahan kimia yang dibuang di kawasan berkenaan dan berharap pihak berkuasa segera memantau sistem pembuangan sisa-sisa oleh kilang-kilang yang beroperasi di sekitar dengan meningkatkan kawalan yang lebih ketat.

Berhampiran ladang kelapa sawit di mana sisa bahan kimia ditemui terdapat satu kawasan yang dijadikan tempat pembuangan dan pelupusan plastik haram yang masih giat beroperasi. Selain sisa plastik, terdapat berbagai sampah sarap dan bahan buangan lain juga turut dibuang di kawasan pelupusan tersebut.

Difahamkan pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai mengesahkan tiada permit dikeluarkan untuk tapak pelupusan di kedua-dua lokasi tersebut.

“PAS mendesak siasatan segera dilakukan dan tindakan menutup dan menahan operasi kilang terbabit adalah perlu kerana beroperasi secara haram, mencemarkan alam sekitar dan menjejaskan keselamatan dan kesihatan penduduk”, Katanya lagi.

Majlis Perbandaran Seberang Perai juga wajar memantau dan memastikan kilang-kilang yang beroperasi di Pulau Pinang Malaysia amnya menepati syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan terutamanya pengurusan dan pelupusan sisa kimia.

PAS berharap Kerajaan lebih giat memantau dan memastikan kilang-kilang yang beroperasi di Pulau Pinang Malaysia amnya menepati syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan terutamanya pengurusan dan pelupusan sisa kimia.

Usaha ini perlu bertujuan melindungi alam sekitar daripada pencemaran akibat daripada proses pembakaran sampah dan pelupusan sisa kimia yang tidak mengikut piawaian yang ditetapkan.