Oleh: UMMU AL – FATEH
JURU: Seluruh ahli PAS di semua peringkat yang sama-sama berusaha bersungguh-sungguh mewujudkan rumah tangga haraki pasti akan menyebabkan PAS menjadi semakin kuat.
Naib Ketua DMPM, Ustazah Salamiah Mohd Nor menyatakan demikian semasa menyampaikan pembentangan kertas kerja Rumah Tangga Dakwah Haraki dalam Ijtimak Kubra Muslimat Pulau Pinang sempena Jaulah Tarbiyah DMPM pada 16 Februari 2019 di Majmak Turath Islami, Juru.
Ustazah Salamiah turut menerangkan tentang hubungan yang akrab dengan Allah SWT adalah kunci utama pembentukan rumah tangga haraki sebagaimana yang telah dipraktikkan oleh baginda Rasulullah SAW bersama dengan keluarga baginda.
“Rumah tangga haraki bermaksud rumah tangga yang keseluruhan ahli-ahlinya termasuk suami isteri dan anak-anak mempunyai fikrah perjuangan yang jelas dengan semuanya berusaha melaksanakan kerja-kerja dakwah, tarbiah dan siasah.
“Untuk melibatkan anak-anak, mereka boleh dibawa semasa usrah di cawangan, dilibatkan dalam program Ameerah, Nusaibah dan lain-lain serta boleh dibawa ke Muktamar PAS pada setiap tahun sebagai hari keluarga,” jelas Ustazah Salamiah.
Beliau juga mengingatkan bahawa matlamat pembentukan keluarga hendaklah berpaksikan perjuangan Islam. Justeru muslimat perlu berpesan kepada anak-anak yang bakal berumahtangga agar mencari pasangan yang sefikrah.
“Ini akan menjimatkan masa dan tenaga kerana suami isteri yang telah sama-sama faham akan mempercepatkan pembentukan rumah tangga haraki seterusnya dapat mengelakkan sebarang bantahan pasangan yang tidak faham perjuangan,” terang Ustazah Salamiah.
Mengulas pentarbiyahan anak-anak, Ustazah Salamiah menyeru ahli-ahli PAS membiasakan anak-anak dengan kesusahan hidup, sanggup berkorban perasaan, masa , tenaga dan harta untuk perjuangan Islam.
Justeru beliau amat mengharapkan agar suami dan isteri mencontohi baginda Rasullah SAW dengan mengambil perhatian terhadap pembentukan seluruh ahli keluarga sebagai generasi pelapis perjuangan pada masa yang akan datang.