Home Berita PAS Pulau Pinang

Ijtimak Kubra Muslimat Pulau Pinang Cetuskan Tajdid Perjuangan

1025
SHARE

Oleh: UMMU AL – FATEH

JURU: Kehadiran lebih 300 orang muslimat negeri di Majmak Turath Islami, Juru pada 16 Februari 2019 menyemarakkan Ijtimak Kubra Muslimat Pulau Pinang sebagai membuka tirai program besar DMPN pada tahun ini.

Program yang diisi dengan tiga slot pembentangan serta Pelancaran Kor Munajat AKIFI, turut diserikan dengan sentuhan pengisian daripada Pesuruhjaya PAS Negeri Ustaz Muhamad Fauzi Yusof.

Ustaz Fauzi telah mengajak para peserta ijtimak untuk mendaulatkan Islam kerana ia adalah agama negara, bukan sebagai agama upacara yang cuba ditafsirkan oleh sesetengah pihak.

Oleh itu beliau mengharapkan barisan kepimpinan muslimat negeri, kawasan dan cawangan yang berkesan agar organisasi muslimat dapat digerakkan sebagaimana yang sepatutnya berlaku.

Sementara itu, Ketua DMPN Pulau Pinang, Ustazah Hasanah Idrus dalam ucapan aluannya menyeru muslimat menyebarkan semangat yang diperoleh dalam program ini ke cawangan-cawangan terutamanya melalui usrah dan program Munajat AKIFI seterusnya berkongsi zikir bersanad ini bersama masyarakat.

Dalam pembentangan pertama bagi slot Tarbiah Ruhiyyah, Ustazah Ummu Tasneem Ahmad mengingatkan bahawa untuk meneruskan kerja dakwah, bukanlah satu kerja yang mudah kerana ia melibatkan cabaran dan rintangan yang hebat.

Justeru untuk menguatkan ruhiyyah, Imam Hassan Al Banna pada zaman awal penubuhan Ikhwanul Muslimin menyediakan rumah di bawah tanah untuk mereka turun menghabiskan wirid-wirid harian mereka.

Semasa slot kedua iaitu Rumah Tangga Dakwah Haraki, Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia merangkap Pengerusi Lajnah Tarbiah Dan Perkaderan DMPM Ustazah Salamiah Mohd Nor menekankan peranan suami isteri dengan saling memberi kekuatan kepada pasangan masing-masing untuk istiqamah.

Sekiranya isteri kurang faham perjuangan PAS, maka tanggungjawab suami membimbing dan menggalakkan isteri untuk menyertai program-program anjuran Dewan Muslimat PAS kerana dengan berjamaah, kehidupan kita sekeluarga menjadi berkat.

Melalui slot Pengurusan Tarbiah pula, AJK LTP DMPM Ustazah Salbiah Wahab mengajak muslimat memantapkan pengurusan diri terlebih dahulu kerana bermula dengan diri sendiri yang sistematik barulah kita dapat melaksanakan tugasan lain dengan bertanzim dan terancang.

Beliau turut menekankan elemen 5P dalam pengurusan iaitu perancangan, pelaksanaan, pelaporan, pemantauan dan penilaian serta penambah baikan dalam pengurusan tarbiah di semua peringkat supaya semua kepimpinan dan dan ahli tidak terkecuali dari menerima tarbiah PAS.

Majlis turut dimeriahkan dengan Pelancaran Kor Munajat AKIFI kepada wakil-wakil setiap kawasan sebagai simbol menerima amanah menggerakkan program Munajat AKIFI kepada masyakat luar di kawasan masing-masing.