KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PULAU PINANG
14 Februari 2019 | 9 Jamadilakhir 1440
“KERAJAAN DAP IZIN TAYANGAN TEATER SEKS?”
1. Pemuda PAS Pulau Pinang mengecam tindakan pihak pembuat teater “Love in George Town” atau tajuk asal “Sex In George Town” yang masih berusaha untuk terus membuat tayangan bermula pada hari ini sehingga 17 Februari. Walhal ia mendapat tentangan daripada rakyat termasuk laporan Polis oleh aktivis-aktivis NGO dan parti politik.
2. Pemuda PAS Pulau Pinang memberi amaran kepada pihak terbabit agar membatalkan terus hasrat mereka walaupun mendakwa akan menukar tajuk tayangan. Teater yang berteraskan seks termasuk perbuatan luar tabii secara terang mempromosi aktiviti tidak bermoral dan berakhlak ini mencabar sensitiviti umat Islam di Malaysia.
3. Kerajaan DAP Pulau Pinang sewajarnya mengambil tindakan atas desakan demi desakan oleh rakyat termasuk beberapa siri bantahan sebelum ini antaranya “Penang Nude Sports Game” dan tayangan filem berunsur gay “Lost in Paradise”. Tindakan sikap bisu Kerajaan DAP Pulau Pinang menyuburkan lagi lubuk maksiat yang telah lama bersarang di negeri ini.
4. Pemuda PAS Pulau Pinang bimbang dan khuatir apabila dibenarkan tayangan ini akan mengundang kerosakan akidah dan akhlak remaja, justeru menambah lagi kegiatan tidak bermoral melalui seks bebas, buang bayi, dadah serta pelbagai masalah sosial yang sedia meruncing.
5. Pihak penganjur perlu melihat perkembangan terkini masalah gejala sosial di kalangan remaja, khususnya statistik yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh bahawa dari tahun 2012 hingga 2016, terdapat 79,302 kes remaja perempuan hamil bawah 18 tahun.
6. Pemuda PAS Pulau Pinang mendesak segala promosi serta tayangan tidak bermoral ini dibatalkan serta-merta demi menyelamatkan akhlak anak muda dan mengelakkan kucar-kacir kepada negara termasuk usaha mengekang kegiatan golongan Liberal ini.
“Islam Memimpin”
AHMAD SAFUAN UJAR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang