?? Tadabbur Surah As-Sajdah ??
Siri 5
Ayat: 10-11: Kedegilan Para Musyrikin Menerima Hari Kebangkitan
? Firman Allah serta terjemahannya:
وَقَالُوا أَئِذَا ضَلَلْنَا فِي الْأَرْضِ أَئِنَّا لَفِي خَلْقٍ جَدِيدٍ بَلْ هُم بِلِقَاء رَبِّهِمْ كَافِرُونَ – ١٠
Dan mereka berkata: “Apakah bila kami telah lenyap (hancur) dalam tanah, kami benar-benar akan berada dalam ciptaan yang baru?” Bahkan mereka ingkar akan menemui Tuhannya.
قلْ يَتَوَفَّاكُم مَّلَكُ الْمَوْتِ الَّذِي وُكِّلَ بِكُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ – ١١
Katakanlah: “Malaikat maut yang diserahi untuk (mencabut nyawa)mu akan mematikanmu, kemudian hanya kepada Tuhanmulah kamu akan dikembalikan”.
? Tafsir ringkas:
1. Ayat ini terus menceritakan sikap orang-orang musyrik. Sebelum ini mereka menolak kerasulan Nabi Muhammad, kemudian mereka menolak konsep tauhid dan sekarang disebut tentang penolakan mereka tentang kebangkitan semula. Mereka mengingkari kewujudan hari kiamat iaitu hari semua yang bernyawa dibangkitkan di hadapan Allah untuk diadili.
2. Pelbagai alasan yang orang-orang Musyrik kemukakan. Mereka berpendapat adalah mustahil seseorang dapat hidup kembali setelah tubuhnya hancur menjadi tanah. Demikianlah betapa tertutupnya pemikiran dan hati mereka sehingga mereka tidak dapat menggambarkan kekuasaan Allah SWT dan membandingkan kemampuan Allah dengan kemampuan diri mereka yang lemah. Jika mereka ingin melihat kebenaran, mereka dapat mencari bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran Allah pada kejadian makhluk ini, di mana Allah berkuasa mewujudkan mereka sebelum mereka ada.
3. Sebenarnya jika mereka mahu berfikir tentu mereka dapat simpulkan bahawa segala sesuatu itu adalah sama mudahnya bagi Allah SWT; tidak ada yang sukar bagi-Nya. Mereka sebenarnya bukan hanya menidakkan kehidupan semula tetapi mereka juga hendak menidakkan pertemuan dengan Allah. Kenapa mereka tidak mahu terima? Kerana mereka tak mahu dibicarakan di hadapan Tuhan nanti. Mereka tahu mereka telah banyak melakukan kesalahan. Mereka takut nanti mereka akan dipersoalkan. Maka, mereka tolak pertemuan dengan Tuhan. Bahkan hakikatnya, kekufuran mereka terhadap pertemuan dengan Allah SWT menjadi penghalang dan penyebab utama keraguan mereka terhadap perkara yang jelas ini.
4. Ayat seterusnya memerintahkan nabi Muhammad SAW agar menegaskan bahawa setiap yang bernyawa pasti akan bertemu dengan malaikat maut yang ditugaskan untuk mencabut nyawa. Kemudian, mereka akan dipulangkan kepada Allah SWT untuk dihisab seluruh amal perbuatannya.
? Pengajaran:
1. Janganlah kita mengaku beriman dengan hari kebangkitan tapi pada masa yang sama kita melakukan maksiat dan engkar daripada mengikut lunas-lunas agama. Ini membayangkan seolah-olah kita tidak percaya dengan pertemuan kita dengan Allah.
Apabila kita bermaksiat seolah-olah kita tidak ingat mati dan tidak percaya bahawa perbuatan kita akan dihisab selepas kematian kita. Hakikatnya, semua yang bernyawa pasti akan menemui ajal masing-masing mengikut waktu yang telah ditentukan dan akan dibangkitkan untuk diadili. Orang yang tidak mempercayai kehidupan di akhirat adalah mereka yang ditutupi hati dan akalnya oleh nafsu mereka.
2. Berhati-hatilah dalam berkata-kata ketika berada di hadapan ketentuan dan hukum Allah SWT. Berapa ramai yang bila disampaikan kepadanya ajaran wahyu terutamanya perintah dan hukum Allah mereka menolaknya dengan akal dan lojik mereka dan mencipta pelbagai alasan. Ketika al-Quran mendedahkan kata-kata orang musyrikin Mekah sebenarnya adalah untuk kita fikirkan bahawa sikap seperti ini juga sentiasa timbul di sepanjang zaman. Mereka ini pandai bermain kata-kata; hakikatnya mereka menzahirkan sejauh mana iman mereka terhadap wahyu Allah SWT.
3. Kematian itu akan tiba tepat pada waktunya, tidak tercepat atau terlambat. Justeru itu, kita seharusnya menyediakan bekalan yang baik untuk bertemu dengan Allah SWT kerana itulah penentu pengakhiran hidup kita samada di syurga atau neraka.
4. Didiklah hati kita untuk sentiasa mengingati mati kerana orang yang sentiasa mengingati mati tergolong dalam kalangan orang yang bijak dan bakal memperoleh kehormatan di dunia dan akhirat. Bila sampai masanya, kita tidak boleh meminta penangguhan lagi. Janganlah hendaknya nyawa kita diambil dalam keadaan kita berdosa. Lebih-lebih lagi kalau kita sedang melakukan syirik tapi kita tidak tahu pun kita melakukan perkara syirik. Oleh itu, sebelum tidur, mintalah ampun atas segala dosa yang kita telah lakukan, samada sedar atau tidak.
5. Janganlah kita menjadi seperti orang musyrik dan membiarkan diri kita hanyut dengan keseronokan dunia semata sehingga kita terlupa kepada hari kebangkitan (pengakhiran yang abadi).
6 . Sentiasalah memperhatikan setiap perbuatan kita kerana sesungguhnya setiap amalan meskipun sekecil-kecil zarah pasti akan dihisab.
? Rujukan:
Tafsir Ibnu Katsir
Tafsir Fi Zilalil Quran
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
15 Feb 2019 / 10 Jamadil Akhir 1440