Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Yaasin : Siri 28

1735
SHARE

?? Tadabbur Surah Yaasin ??
Siri 28
? Surah Yaasin: Ayat 82-83: Allah Maha Esa, Maha Suci dan Maha Berkuasa: Cukup hanya “KUN FAYAKUN”

? Firman Allah serta terjemahannya:

إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَنْ يَقُولَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ – ٨٢
Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: “Jadilah!” Maka terjadilah ia

فَسُبْحَانَ الَّذِي بِيَدِهِ مَلَكُوتُ كُلِّ شَيْءٍ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ- ٨٣
Maka Maha suci (Allah) yang di tangan-Nya kekuasaaan atas segala sesuatu dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan.

? Tafsir Ringkas:

1. Penghujung surah Yaasin ini menampilkan ayat yang mempertegaskan lagi penjelasan tentang kekuasaan Allah dalam menciptakan segala perkara. Sesungguhnya urusan Allah SWT dalam mencipta dan menghendaki sesuatu hanya cukup dengan sekali perintah sahaja, dengan titahNya kun (jadilah), maka terjadilah ketika itu juga tanpa bergantung kepada sesuatu yang lain.

2. Berkait dengan titah perintah Allah ini, terdapat satu riwayat dari Abu Zar r.a. mengatakan bahawa sesungguhnya Rasulullah S.A.W pernah bersabda: Sesungguhnya Allah berfirman, “Hai hamba-hamba-Ku, kalian semua berdosa terkecuali orang yang Aku maafkan. Maka mohonlah ampunan kepada-Ku, tentu Aku mengampuni kalian. Dan kalian semua miskin, kecuali orang yang Aku beri kecukupan; sesungguhnya Aku Maha Pemurah, Maha Agung, Maha Kaya, Aku melakukan apa saja yang Aku kehendaki. Pemberian-Ku hanya satu kata, dan azab-Ku hanya satu kata; apabila Aku menghendaki sesuatu, sesungguhnya Aku hanya mengatakan kepadanya, ‘Jadilah!’ Maka jadilah ia.” ( riwayat Imam Ahmad)

3. Oleh yang demikian, ayat terakhir dalam surah ini menyimpulkan bahawa dengan kekuasaanNya yang sempurna itu selayaknya Dia disucikan daripada segala kekurangan. Ungkapan ( …… فسبحان الذي ) , adalah ungkapan memahasucikan Tuhan Yang Hidup, yang terus menerus mengatur kehidupan makhluk-Nya. Di tangan kekuasaan-Nyalah terletak semua urusan di langit dan di bumi, dan hanya kepada-Nyalah dikembalikan semua urusan. Dialah Yang Menciptakan dan Yang Memerintah, dan kepada-Nyalah dikembalikan semua hamba pada hari mereka dibangkitkan, lalu Dia membalas setiap orang sesuai dengan amal perbuatannya. Dia Maha Adil, Pemberi Nikmat dan Pemberi Kurnia.

? Pengajaran:

1. Bertasbihlah sebanyak-banyaknya kerana ia merupakan tanda keyakinan kita bahawa Allah itu Maha berkuasa ke atas segala sesuatu, semudah ucapan “jadi” maka terjadilah sesuatu itu. Maka wajarlah Allah menutup surah Yassin dengan memerintahkan ummat manusia supaya bertasbih kepada-Nya kerana keagungan kekuasaannya dan kepada Dialah kita akan dikembalikan kelak.

2. Didiklah hati dan jiwa dengan rasa tawadhuk dan hina diri di hadapan Allah SWT kerana kita, adalah hamba yang tidak punya iradah melainkan dengan izinNya. Betapa berbezanya iradah makhluq dengan iradah khaliq. Apabila makhluq ingin melakukan sesuatu maka ia perlu memikirkannya terlebih dahulu kemudian melakukannya melalui proses yang panjang, barulah terwujud keinginan tersebut. Sedangkan Allah, firmankan sahaja “jadi’ maka terjadilah sesuatu tersebut. Hakikat ini perlulah diimani dan diyakini oleh ummat manusia keseluruhannya tanpa ada sebarang keraguan.

3. Renungilah hakikat diri kita yang lemah. Sepatutnya kepada Allah sahajalah tempat pergantungan dan tujuan hidup kita kerana di dalam gengamanNya kunci segala sesuatu. KepadaNya jua tempat kembali setelah kita mati untuk dihisab segala amal yang kita lakukan di dunia.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
11 Januari 2019 / 5 Jamadil Awal 1440