Home Berita PAS Terengganu

Ahli Parlimen Kuala Nerus : Mendepani Kecelaruan Kerajaan Pakatan Harapan

1347
SHARE

1. Dunia politik Pakatan Harapan sedang panas dan bergolak. Tidak mudah membina keserasian antara parti yang mempunyai prinsip dan matlamat perjuangan yang tidak sama. Ditambah dengan keegoan dan juga kerancakan masing-masing membina pengaruh dalam kerajaan juga dalam mengagihkan kek kemenangan.

2. Kerakusan sebahagian pimpinan PH mengemukakan pelbagai polisi baru dalam masa enam bulan pertama memerintah yang menyentuh jati diri negara melibatkan Islam, Melayu dan raja-Raja menyatukan majoriti rakyat untuk bangkit menegur dengan keras menerusi himpunan aman ICERD lebih setengah juta rakyat.

3. Kegagalan kerajaan PH menunaikan janji manifesto menimbulkan kemarahan pengundi khususnya anak muda. Kenyataan menteri-menteri yang sentiasa berpusing arah dalam banyak isu menjadi bahan ketawa rakyat. Masih berjiwa pembangkang meskipun telah menjadi kerajaan menjadi bualan rakyat. Imej kerajaan PH yang semakin merudum telah diperakui oleh pimpinan mereka sendiri dalam risalah terbuka.

4. Pertembungan pengaruh antara Tun Mahathir dan Anwar bukan lagi satu rahsia. Pergolakan dalaman PKR juga sudah jelas di media sosial. Serang menyerang antara Menteri sudah bermula. Perbezaan pandangan antara pimpinan PH sudah menjadi bicara terbuka di media sosial. Kemasukan ahli-ahli parlimen UMNO ke PBBM menimbulkan perdebatan. PKR dan DAP sudah jelas menentang. DAP juga mengugut untuk keluar dari kerajaan. Ia bukan sekadar ugutan. Peletakan jawatan Nurul Izzah dan serangan Ahli Parlimen Sg Petani terhadap Tun Mahathir adalah pelan perancangan berstrategi. Adakah retak menanti belah?

5. Namun, bagi rakyat, mereka menuntut hak seperti yang dijanjikan. Mereka mahukan harga petrol yang rendah apatah lagi di saat harga minyak dunia makin turun. Janji menghapuskan tol dituntut. Para petani dan nelayan menuntut hak mereka di musim tengkujuh yang belum tertunai sepenuhnya. Siswazah menuntut janji penghapusan hutang PTPTN. Anak-anak muda masih mencari peluang-peluang pekerjaan dalam persaingan dengan warga asing. Mata wang yang semakin jatuh nilai amat menakutkan. Kejatuhan nilai saham di Bursa Malaysia juga meresahkan. Nilai komoditi seperti sawit di pasaran antarabangsa juga membimbangkan. Masa depan Tabung Haji yang kononnya memerlukan pemulihan sangat meragukan.

6. Tidak pelik rakyat bersedia turun ke jalanan sebagaimana puluhan ribu rakyat Perancis sekarang turun berdemonstrasi di Paris dan bandar-bandar besar yang lain memakai ves kuning sejak november sehingga ke hari ini menuntut peletakan jawatan Presiden ekoran kenaikan kos sara hidup akibat peningkatan cukai minyak. Demonstrasi yang tidak dipimpin oleh mana-mana gerakan tetapi ia kehendak rakyat prihatin.
Rakyat Perancis menuntut penurunan kadar cukai, kenaikan gaji, kos tenaga yang murah, pertambahan faedah persaraan dan peletakan jawatan presiden.

7. Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) menyusut USD102.0 bilion pada 30 November 2018 kepada USD101.4 bilion pada 14 Disember 2018. Penyusutan sebanyak USD600 juta bersama RM2.5 bilion dalam masa 14 hari. http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=bm_press&pg=bm_press&ac=4786&lang=bm
Keadaan ini sangat serius sekiranya berpanjangan. BNM bakal berhadapan laluan sukar untuk menstabilkan atau mempertahankan nilai Ringgit. Apabila Ringgit jatuh, nilai hutang luar akan meningkat. Adakah ini melambangkan kegagalan PH menguruskan ekonomi?

8. Pendedahan hutang negara kononnya RM1 trilion menimbulkan kesangsian antarabangsa khusus pelabur terhadap integriti data dan ketelusan negara. Ia memberi kesan kepada penarafan kredit Malaysia oleh agensi penarafan kredit seperti S&P, Moody’s dan Fitch. Sementelah Kementerian Kewangan memberikan definisi tersendiri bagi hutang negara yang tidak mengikut piawaian antarabangsa dengan menggabungkan hutang dan liabiliti. Ia perkara yang ditegur oleh saya berulang kali di Dewan Rakyat.

9. Kerajaan PH masih terkapai-kapai mencari sumber untuk menambah pendapatan. Pandangan PAS menerusi cukai wajib bermodelkan zakat Islam terhadap pegangan saham dan simpanan korporat tidak diendahkan. Telah berulang kali saya menyuarakan perkara ini di Dewan Rakyat. Cukai GST dihapuskan tetapi diganti dengan SST yang juga memangsakan pengguna akhir iaitu rakyat.

10. Dalam suasana ini pimpinan PAS dalam kerajaan Terengganu dan Kelantan terus membina dan bergerak ke hadapan menguruskan negeri dan rakyat. Manifesto satu demi satu ditunaikan. Pembangunan sedang rancak diusahakan. Hubungan sesama rakyat dilunakkan dan didekatkan menerusi konsep Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) .

11. Pimpinan PAS di seluruh negara perlu menjadi pimpinan untuk semua rakyat membimbing umat ke arah yang lebih baik. Hubungan dengan UMNO yang sedang belajar menjadi pembangkang perlu diperkukuhkan atas semangat barisan pembangkang. Hubungan dengan kerajaan Persekutuan pimpinan Tun Mahathir digerakkan atas semangat BPMS juga iaitu bekerjasama dalam perkara berkepentingan rakyat dan Islam serta mengkritik dan menegur kesilapan dan kelemahan kerajaan secara harmoni dan berhemah.

12. Sudah banyak polisi-polisi kerajaan Persekutuan pimpinan PH ditegur, dikritik dan ditambah nilai olen ahli-ahli parlimen PAS yang rancak beraksi dalam dewan rakyat. Rakaman-rakaman ucapan mereka yang dimediakan boleh menjadi bukti bahawa PAS bersedia menjadi pimpinan rakyat Malaysia. Bukan hanya isu agama menjadi keutamaan PAS malah kepentingan dan keperluan rakyat dengan panduan prinsip Islam menjadi agenda perjuangan PAS.

13. Pimpinan PAS tidak berpolitik mencipta persepsi tapi berbicara berasaskan realiti dengan hujahan ilmiyah dan saranan berilmu.

14. Ketidakstabilan politik tentunya menjadi punca kepada ketidakstabilan ekonomi. Mungkin sudah sampai masanya kestabilan politik negara diselesaikan menerusi wacana seumpama kerajaan perpaduan yang pernah dilontarkan oleh Presiden PAS pada 2008. PAS bersedia membantu!

Sekian

Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahad 23 hb Disember 2018