Home Artikel PAS Wilayah

Program Back To School PAS Wangsa Maju disambut Meriah

67 views
SHARE

Oleh : Zulhilmi Ahmad Kamal

Wangsa Maju, 23 Disember 2018 – PAS Kawasan Wangsa Maju dengan kerjasama sayap Pemuda dan Muslimat PAS Wangsa Maju telah berjaya menganjurkan program “Back to School” iaitu majlis penyerahan sumbangan sempena sesi persekolahan 2019 yang akan bermula tahun hadapan.

Majlis dimulakan dengan sesi tazkirah dan bacaan doa serta ucapan perasmian yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Rani Mohamed Daud yang merupakan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Wangsa Maju.

“Saya melihat keperluan tambahan dana perlu dipertingkatkan kerana golongan ini sentiasa bertambah saban tahun bagi meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan dalam persediaan kelengkapan persekolahan.” ujar beliau semasa ucapan perasmian.

Turut hadir bagi menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan kepada penerima yang terpilih adalah Ustazah Hanisah Mohamad merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Wangsa Maju.

Hasil usaha Lajnah Kebajikan sebelum ini, seramai 135 orang peserta yang melibatkan 60 keluarga yang kurang berkemampuan telah dikenal pasti bagi menerima sumbangan pada majlis ini.

Sumbangan yang berupa wang tunai RM100 dan set alat tulis untuk setiap peserta adalah hasil sumbangan orang ramai melalui PAS Wangsa Maju.

Apa yang menarik pada program kali ini, pihak penganjur menerima penyertaan seorang wakil dari masyarakat india iaitu saudara Devanathan yang turut menerima sumbangan bagi pihak anak beliau.

Hasil respon para peserta, mereka berbesar hati dan berterima kasih kepada mereka yang menyumbang khususnya kepada PAS Kawasan Wangsa Maju yang berjaya menganjurkan program kebajikan seperti ini.