Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Skuad Prihatin Ziarah dan Serah Sumbangan kepada Adik Akif

1050
SHARE

Skuad Prihatin Ziarah dan Serah Sumbangan kepada Adik Akif

Rawang, Selangor : Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Apatah lagi, yang menanggungnya adalah anak syurga yang masih lemah, yang belum mengerti apa-apa, yang belum pandai mengadu kesakitan dan kesusahan. Itulah yang dapat diungkapkan kepada adik Muhammad Akif Darwisy Bin Mohd Izrul Aizad, yang menderita jantung berlubang pada 2 tempat di jantungnya. Kesabaran yang luar biasa juga harus dimiliki oleh kedua ibu bapa adik Akif atas ujian ini. Sesungguhnya setiap ujian yang Allah SWT turunkan kepada kita merupakan tanda kasih sayang-Nya kepada kita sebagaimana dijelaskan dalam hadis daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sungguh, jika Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menimpakan ujian untuk mereka.”
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Bulan yang lepas pihak Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) telah mengeluarkan satu poster bagi melancarkan kutipan sumbangan bagi membantu anak syurga ini dan bagi mengurangkan beban kedua ibu bapanya menanggung perbelanjaan pembedahan dan juga rawatan susulan yang menelan belanja yang amat besar. Alhamdulillah, di atas sokongan dan kedermawan ramai pihak, kutipan ini berjalan dengan lancar dan amat memberangsangkan.

Justeru itu, seawal pagi tadi iaitu pada 22 Disember 2018, rombongan Skuad Prihatin DMPM yang diketuai oleh YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh merangkap ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia telah menziarahi adik Akif di kediamannya di Green Valley Park Bandar Tasik Puteri Rawang, Selangor untuk menyerahkan sumbangan tersebut.

Turut hadir bersama dalam misi ziarah dan serahan sumbangan tersebut ialah Puan Norhafiza Fadzli selaku Penolong Setiausaha 1 DMPM, Puan Norazlin Md Samsudin, Penolong Setiausaha 2 DMPM, Puan Zurina Din selaku Timbalan Pengerusi LKK DMPM, Puan Noor Riha Yusoff, Pengerusi LKK Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor (DMPNS), Puan Mazni Othman selaku Ketua DMP Kawasan Shah Alam serta Puan Hasanah bt Abd Talib dan Puan Nor Amalina bt Ahmad Foat selaku Ahli jawatankuasa (AJK) LKK DMP Kawasan Rawang.

Sebelum berangkat memohon diri, YB Senator Ustazah Nuridah sempat menitipkan doa buat kedua ibu bapa adik Akif agar terus kuat dan tabah dan memberi kata-kata semangat supaya jangan berputus asa memperbanyakkan doa memohon pertolongan daripada Allah SWT demi kesembuhan adik Akif. Selain itu juga, YB Senator Ustazah Nuridah mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penyumbang yang dermawan dan juga kepada orang ramai yang mendoakan adik Akif. Semoga hanya Allah yang dapat membalasnya dengan sebaik-baik dan sebanyak-banyak ganjaran pahala di dunia dan di akhirat.

Sepertimana yang disebutkan dalam satu hadis: Pada suatu hari Rasulullah SAW ditanya oleh sahabat: “Ya Rasulullah, siapakah manusia yang paling dicintai Allah dan apakah perbuatan yang paling dicintai oleh Allah? Rasulullah SAW menjawab : “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah manusia yang paling banyak bermanfaat dan berguna bagi manusia yang lain; sedangkan perbuatan yang paling dicintai Allah adalah memberikan kegembiraan kepada orang lain atau menghapuskan kesusahan orang lain, atau melunasi hutang orang yang tidak mampu untuk membayarnya, atau memberi makan kepada mereka yang sedang kelaparan dan jika seseorang itu berjalan untuk menolong orang yang sedang kesusahan itu lebih aku sukai daripada beri’tikaf di masjidku ini selama satu bulan ” ( Hadis Riwayat Thabrani ).