Oleh : Nur ‘Iffah
KANGAR : Lebih 1200 umat Islam hadir dalam Himpunan Aman Rakyat Perlis Tolak ICERD yang berlangsung di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) dekat sini malam ini.
Himpunan penuh bersejarah ini menyaksikan para pimpinan daripada dua parti terbesar yang mewakili masyarakat Melayu-Islam iaitu PAS dan Umno duduk sepentas untuk menyatakan bantahan terhadap cadangan agar Malaysia meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hj. Hashim Jasin dan Pesuruhjaya PAS Perlis, YB Mohd. Shukri Ramli berucap mewakili PAS manakala Ahli Majlis Tertinggi Umno, YB Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman serta Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Perlis, YB Dato’ Seri Dr Shahidan bin Kassim turut berpidato menyatakan bantahan terhadap isu tersebut.
Turut sama naik ke pentas membawa suara anak muda adalah wakil GAMIS Perlis, Ahmad Syafiq Bin Alias.
Himpunan yang dianjurkan secara bersama oleh Umno dan PAS serta gabungan beberapa NGO ini menjadi simbolik perpaduan umat Islam di negeri Perlis dalam menyatakan komitmen untuk menolak sebarang usaha untuk meratifikasi ICERD di negara ini.
Satu sidang media turut diadakan pada akhir acara himpunan.