Home Artikel PAS Perlis

Polemik ICERD Permulaan Penyatuan Umat Islam

147 views
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR: Polemik ratifikasi ICERD yang telah tercetus telah menjadi titik permulaan penyatuan Islam di negara ini, demikian dinyatakan oleh Pesuruhjaya PAS Perlis, YB. Mohd. Shukri Ramli.

Menurutnya, rakyat Malaysia khasnya masyarakat Melayu-Islam mula sedar bahawa sebarang usaha untuk meratifikasikan ICERD akan mendatangkan kesan buruk kepada negara di samping memberi kesan implikasi undang-undang termasuk risiko pindaan Perlembagaan Persekutuan yang mengancam kedudukan orang Melayu dan agama Islam.

Justeru, beliau menyeru agar umat Islam terus bersatu memberikan tekanan kepada kerajaan Pakatan Harapan agar membatalkan terus hasrat meratifikasi ICERD pada masa hadapan.

“Kita membantah sekeras-kerasnya, kita tidak mahu kerajaan tangguh, kita tidak mahu alasan tidak cukup majoriti 2/3 (maka kerajaan) tidak boleh laksanakan ICERD ini.

“Kita amat berharap perpaduan umat Islam ini akan menjadi kenyataan, barulah kita tidak diperkotak-katikkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan dalam Himpunan Aman Rakyat Perlis Tolak ICERD di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) malam ini.

Beliau turut menyeru agar rakyat negeri ini tanpa mengira fahaman politik dapat menyertai Himpunan Aman Rakyat Bantah ICERD anjuran UMMAH yang akan diadakan pada 8 Disember nanti bagi memberikan isyarat yang jelas kepada kerajaan bahawa rakyat menolak sama sekali sebarang usaha daripada mana-mana pihak untuk meratifikasi ICERD.

“Kalau kita lihat himpunan (Aksi 212) di Jakarta, jutaan umat Islam telah keluar di jalan raya dan kita harap agar jutaan umat manusia di negara kita juga akan hadir di Kuala Lumpur untuk menyatakan bantahan.

“Saya amat berharap seluruh rakyat Perlis akan mencari jalan bagaimana untuk hadir dalam himpunan yang akan diadakan pada 8 haribulan nanti,” katanya.