Minda Presiden PAS
PAS KUKUH DENGAN AKAR UMBI
Penubuhan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah menunaikan kewajipan Islah dan Tajdid, bukan kenegerian dan kebangsaan. PAS menyambung kewajipan dakwah Islam dan politik berqudwahkan Rasulullah S.A.W. yang tidak mati perjuangannya dengan kewafatan Baginda S.A.W.
PAS bukannya cabang yang dipatahkan dan dipotong daripada mana-mana parti, jamaah atau kumpulan, laksana ranting yang dipatah dan dipacakkan ke tanah tanpa akar umbinya.
Akar umbi organisasi PAS berasaskan aqidah perjuangan yang panjang, demi mendapat keredaan Allah, walaupun jauh perjalanannya daripada dunia sehingga akhirat. Berbeza dengan mereka yang hanya berjuang untuk menegakkan teori atau ideologi impian manusia demi mengejar cita-cita yang difikirkan, dan hanya berwawasan dalam kehidupan dunia sementara waktu.
Perjuangan PAS mendaulatkan kalimah Allah Yang Maha Mulia di atas muka bumi, menjadikan Islam itu tertinggi memerintah, bukannya diperintah. Cahayanya tidak boleh dipadamkan, walaupun negaranya dihilangkan dan partinya dikalahkan dan diharamkan, tetap membela umat manusia mengikut tahap kemampuannya sama ada menjadi kerajaan atau pembangkang.
PAS yang berpengalaman kehilangan pemimpin kerana mati, ditahan ISA, melarikan diri, kalah pilihan raya, dan pernah diharamkan slogan Allah Muhammad, diharamkan simbol Bulan Sabit dan Bintang Lambang Khilafah, tetap bertambah ahli dan penyokongnya, serta berkembang cawangannya ke seluruh pelosok tanah air, termasuk menyeberangi laut ke Sabah dan Sarawak sehingga ke luar negara.
PAS hanya belum menang tidak kalah, kerana terus berjuang tidak pernah berhenti mengaku kalah. Hanya ada kalangan manusia yang menyerah kalah atau mengaku kalah kerana tidak beristiqamah bersama PAS, apabila menghadapi cabaran yang tidak tertanggung oleh dirinya, sama ada kerana penyakit gila pangkat atau menyerah kalah, namun mereka yang tetap beristiqamah bersama PAS tidak pernah rebah dalam perjalanannya. Ada yang terus bersama PAS kerana perjuangan Islam sehingga akhir hayat yang wajib mendapat kemenangan, seterusnya tetap ada pelapisnya yang tidak putus meneruskan perjuangan.
Firman Allah S.W.T:
مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا (23) لِّيَجْزِيَ اللَّهُ الصَّادِقِينَ بِصِدْقِهِمْ وَيُعَذِّبَ الْمُنَافِقِينَ إِن شَاءَ أَوْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا (24)
“Di kalangan orang-orang beriman itu ada beberapa orang yang benar janji mereka kepada Allah untuk melangsungkan perjuangan. Ada di kalangan mereka telah mati, ada kalangan mereka yang menunggu giliran untuk mati dan bersedia tidak mengubah janji mereka sekali-kali (23) Supaya nyata Allah membalas orang yang benar dengan kebenarannya dan menyiksa orang-orang yang munafik jika dia menghendaki atau Allah menerima taubatnya, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Surah Al-Ahzab: 23-24)
PAS memilih pendekatan Muwajahah Silmiyyah (pendekatan damai) mengikut konsep demokrasi walaupun ada ketempangan dan kelemahan dalam demokrasi. Kerana ternyata pendekatan yang dilakukan oleh kalangan yang gopoh kononnya tinggi semangat, mencetuskan konflik dalaman sehingga mengundang campur tangan musuh yang sentiasa menunggu peluang daripada setiap penjuru.
Kini menunjukkan PAS teguh dan semakin kuat, bukan hanya mengikut perhitungan PRU, tetapi lebih daripada itu. Inilah hakikat firman Allah:
أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاءِ (24(تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا ۗ وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ (25) وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبِيثَةٍ كَشَجَرَةٍ خَبِيثَةٍ اجْتُثَّتْ مِن فَوْقِ الْأَرْضِ مَا لَهَا مِن قَرَارٍ (26) يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ ۖ وَيُضِلُّ اللَّهُ الظَّالِمِينَ ۚ وَيَفْعَلُ اللَّهُ مَا يَشَاءُ (27) [إِبْرَاهِيمَ: 24-27]
“Tidakkah Engkau melihat (Wahai Muhammad S.A.W) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pokon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. (24) Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran). (25) Dan bandingan kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pokok yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup. (26) Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-Nya). (27)” (Surah Ibrahim: 24-27)
Para ulama tafsir menegaskan bahawa kalimah yang baik itu ialah kalimah Tauhid yang menolak syirik dan segala bentuk rupa dan pendekatannya.
Pokok itu ialah orang yang beriman kepadanya, akar umbinya ialah keimanan atau akidah perjuangan yang ditanam ke dalam hati sanubarinya dan sentiasa berbuah iaitu amal soleh yang diterjemahkan dalam kehidupan dan perjuangannya bersama Islam.
Kita menyaksikan kebenaran mukjizat ilmu Al-Quran, betapa semua kumpulan yang melarikan diri daripada Jamaah Islam yang asal, laksana ranting patah yang dipacak ke bumi, hanya menghijau beberapa hari, selepasnya mati kering, daunnya gugur dan hancur lebur ditelan zaman, hanya menjadi tempat berteduh sementara waktu.
Maka wala’ dan taat kepada kepimpinan parti selagi tidak melakukan maksiat adalah sangat penting. Ketaatan kepada Allah dan Rasul adalah mutlak tidak berbelah bahagi. Adapun ketaatan kepada pemimpin adalah bersyarat kesetiaannya kepada Allah dan Rasul yang dibahasakan dalam hukum tertinggi dalam Perlembagaan PAS yang haram dipinda.
Lafaz Baiah ‘Aqabah yang kedua memberi penekanan politik dan cabarannya sangat penting sehingga membentuk kalangan Muhajirin dan Ansar. Mereka yang disifatkan oleh Allah:
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُوا أُولَٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ (74(
“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.” (Surah Al-Anfal: 74)
Kalangan Muhajirin yang diuji di Makkah dan kalangan Ansar yang setia kepada Bai’ah, isi kandungannya:
- Untuk dengar dan taat ketika dalam keadaan bersemangat ataupun malas.
- Untuk menafkahkan harta ketika susah ataupun senang.
- Untuk menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah daripada yang mungkar.
- Untuk tetap berdiri kerana Allah dan tidak menghiraukan celaan orang yang suka mencela kerana Allah.
- Hendaklah kamu menolongku jika aku datang kepada kamu, melindungiku sebagaimana kamu melindungi diri, isteri dan anak-anak kamu, dan bagi kamu adalah syurga.
Pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS)
Allah berfirman kepada Nabi Musa A.S dan Nabi Harun A.S, apabila menghadapi Firaun manusia paling keras:
اذْهَبْ أَنتَ وَأَخُوكَ بِآيَاتِي وَلَا تَنِيَا فِي ذِكْرِي (42) اذْهَبَا إِلَىٰ فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَىٰ (43) فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ (44) (طه)
“Pergilah, engkau dan saudaramu, membawa mukjizat-mukjizat pengurniaan-Ku dan janganlah kamu berdua lemah dan cuai dalam menyebut serta mengingati daku. (42) Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. (43) Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, Dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut (44)” (Surah Taha: 42-44)
Firman Allah kepada Rasulullah S.A.W:
وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ (34) وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ (35) وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ ۖ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (36)
“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. (34) Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. (35) Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (36)” (Surah Fussilat: 34-36)
Firman Allah:
۞ وَإِن جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (61) وَإِن يُرِيدُوا أَن يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللَّهُ ۚ هُوَ الَّذِي أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ (62) وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ ۚ لَوْ أَنفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَّا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (63)
“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (61) Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman. (62) Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (63)” (Surah Al-Anfal: 61-63)
Pengajaran Peristiwa Hudaibiyyah dalam aspek taat dan wala’ para sahabat tanpa memahami perkara tersirat yang dirahsiakan. Tanpa mengintip apakah rahsiannya atau kerja mengintip jamaah sendiri, biar musuh yang mengintip kita dan gagal kerana menjaga adab.
Akhirnya dapat difahami betapa Hudaibiyyah menarik jumlah yang menerima Islam berlipat kali ganda dan berjaya Fathu Makkah. Di antara yang menarik juga ialah Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), pengampunan beramai-ramai termasuk terhadap mereka yang disenaraikan tanpa kemaafan.
Allah berfirman kepada Rasulullah S.A.W yang geram terhadap musuhnya kerana kematian sahabatnya dalam peristiwa Uhud:
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ (125) وَإِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُوا بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُم بِهِ ۖ وَلَئِن صَبَرْتُمْ لَهُوَ خَيْرٌ لِّلصَّابِرِينَ (126) وَاصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلَّا بِاللَّهِ ۚ وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلَا تَكُ فِي ضَيْقٍ مِّمَّا يَمْكُرُونَ (127) إِنَّ اللَّهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوا وَّالَّذِينَ هُم مُّحْسِنُونَ (128)
“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang Engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (125) Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) Sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar. (126) Dan Bersabarlah (Wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya Yang mereka lakukan. (127) Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (128)” (Surah An-Nahl: 125-128)
Inilah rahsia kejayaan Islam menguasai jalan sutera di Asia Tengah sehingga ke Nusantara di Asia Tengara dan menguasai tiga benua. Sehingga kalangan yang zalim menuduh Islam lebih bahaya daripada Komunis dan Barat boleh bersatu dengan Komunis kerana menentang Islam.
Teori Huntington yang menyanggah Francis Fukuyama menjadi bukti terkini. Kalau Islam terus mara di zaman penjajahan, InsyaAllah terus mara di zaman kemerdekaan yang sebenarnya bersama Islam. Satukan yang sudah menganut Islam supaya kembali kepada Islam dan ajak yang bukan Islam supaya bersama dengan pemerintahan Islam yang adil terhadap semua.
“Islam Memimpin”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 15 Safar 1440 / 25 Oktober 2018