Home Berita PAS Pusat

Jaga Islam Atau Jaga PAS?

8429
SHARE


Terang Rembulan (100)

Jaga Islam Atau Jaga PAS?


Apabila saya membuat seruan dalam artikel saya minggu lepas agar ahli dan penyokong PAS merebut peluang ganjaran pahala menjaga PAS daripada Allah, ada yang tidak berpuas hati.

Mereka berpendapat ia tidak tepat. Sebahagian mencadangkan agar menjaga PAS itu ditukar dengan menjaga Islam. Itu lebih menyenangkan semua lapisan dan segmen pembaca. Sebahagian lain terus menerkam marah. Saya seolah telah mengajak kepada ekstrimisme atau menyamakan Islam dengan PAS!

Menarik sekali untuk saya menulis lagi berkaitan tajuk ini. Rasa tidak senang hati itu bukanlah suatu yang mengejutkan. Ia selalu dilontarkan di mana-mana, samada kerana mereka benar-benar kabur atau pun sengaja ingin mengelirukan. Saya akan menjawab untuk kedua-duanya.

Pertama, artikel saya dengan tajuk ‘Rebut ganjaran jaga PAS‘ itu adalah untuk mengajak pembaca mengenali PAS. Ia bukan artikel untuk memperkenalkan Islam. Jika ianya mengenai Islam, sudah pasti konklusinya saya akan berkata, rebutlah ganjaran jaga Islam. Tetapi jika isi dan tajuknya adalah mengenai PAS, sudah pasti natijahnya adalah jaga PAS. Rebutlah ganjaran pahala kerana menjaga PAS.

Kedua, artikel saya tersebut adalah untuk memandu pembaca secara mudah dan ringkas kepada kefahaman mengenai hubungan di antara Islam dan PAS. Saya berkata PAS adalah sebuah jamaah Islam. Ia menjaga Islam kerana Islam memerlukan penjaganya di kalangan manusia.

Itu kehendak Allah untuk agama-Nya. Allah tuhan maha penjaga. Dia mahu sifat jaga-Nya (al Hafiz) yang mulia itu mengalir kepada para hamba-Nya yang beriman. Dihantar Islam untuk dianuti dan dijaga. Ia seperti sifat Rahmah-Nya (al Rahman) ke atas sekelian makhluk. Dia mahu sifat-Nya yang mulia itu juga mengalir kepada para hamba-Nya yang beriman sehingga mereka saling merahmati sesama mereka.

Justeru PAS bermatlamat menjaga Islam, maka jagalah PAS. Sebagaimana al Rasul bertugas menjaga Islam, maka jagalah juga al Rasul. Sebagaimana ulamak menjaga Islam, maka jagalah juga ulamak. Sebagaimana menjaga al Rasul dan para ulamak yang menjaga Islam itu adalah berpahala, maka begitulah juga menjaga PAS.

Ketiga, artikel itu memang bertujuan menolak hujah penentang PAS bahawa PAS tiada kaitan dengan Islam. PAS bukan agama, kata mereka. Maka menolak PAS bukan menolak agama. Begitulah mereka bermain kata. Kalimah benar yang bertujuan batil. Semua itu adalah tipu daya iblisi yang jahat.

Hujungnya mereka akan lagi berkata, ulamak bukan agama. Maka menolak ulamak bukanlah menolak Islam. Sampai masanya mereka akan berkata, Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam itu bukan Islam dan bukan juga al Quran. Kita terima Islam dan al Quran tetapi tidak Muhammad dan tidak juga para ulamak Islam.

Matlamat mereka adalah untuk memiliki Islam tanpa penjaga. Merekalah yang menjaga Islam dan al Quran. Mereka dengan itu akan menafsirkan Islam dan al Quran mengikut hawa nafsu mereka sendiri. Itulah lembah kesesatan yang nyata.

Justeru haruslah umat Islam diberi peringatan terhadap tipu daya ini. Tanpa jamaah yang benar-benar hidup mati untuk Islam, umat Islam akan roboh dan hancur lebur dimamah peluru musuh yang sentiasa diacu tepat ke dada umat. Hanya kesedaran hasil daripada peringatan dan tazkirah yang berterusan akan menyelamatkan umat ini. Artikel saya tersebut adalah sebuah tazkirah yang begitu jelas tujuan dan maksudnya.

Keempat, Artikel saya itu bermatlamat untuk mengukuhkan kefahaman bahawa PAS dan Islam adalah berkaitan. Ia adalah tuntutan daripada nas al Quran dan al Sunnah. PAS adalah satu jamaah daripada jamaah-jamaah Islam yang ditubuhkan untuk menghimpunkan umatnya agar sama-sama bersatu menjaga Islam daripada gangguan dan serangan musuhnya.

Artikel tersebut menyeru agar umat Islam memahami kewajiban berjamaah. Ia seperti solat lima waktu. Anda boleh solat bersendirian. Ia sah. Tetapi sebuah kampung yang tidak didirikan solat lima waktu berjamaah adalah berdosa. Di sisi agama, ya, anda solat. Tetapi anda tidak mendirikan agama di muka bumi. Apa guna sah solat tetapi berdosa? Anda belum selamat kerana dosanya adalah berterusan sehinggalah didirikan solat itu secara berjamaah.

Begitulah umat Islam mesti hidup dalam jamaah atau hidup berjamaah. Boleh saja anda hidup bersendirian sebagai seorang muslim tanpa terikat dan terarah dengan panduan jamaah. Tetapi itu tidak menegakkan agama di muka bumi. Demikian anda berdosa.

Oleh kerana PAS adalah satu jamaah untuk Islam, maka amatlah jelas menjaga PAS agar kekal sebagai jamaah Islam adalah amat berganjaran.

Kelima, artikel itu adalah bertujuan menolak hujah musuh bahawa PAS menyeru kepada parti, bukan kepada Islam. Tidak sama sekali. Itu adalah tuduhan yang kejam dan bertujuan membutakan umat Islam agar membenci PAS.

Parti adalah sebuah kerangka atau kenderaan. Matlamat dan kerja adalah isinya. Begitulah PAS. Adakah menyeru kepada PAS adalah hanya menyeru kepada kerangka atau kenderaan? Begitukah? Tidak bukan? Justeru ketika kami menyeru kepada PAS, maka ia bermaksud menyeru kepada isi PAS. Isi PAS adalah Islam yang sempurna. Islam yang sempurna adalah Islam al Quran dan al Sunnah. Adakah anda menemui isi selain Islam di dalam PAS?

Keenam, artikel tersebut adalah bertujuan agar PAS dicintai dan didukung sepenuhnya oleh sesiapa yang mencintai perjuangan Islam. Walau siapa pun anda, menyokong, mencintai dan menjaga PAS adalah benar dan betul. Sokongan dan penjagaan itu akan mengukuhkan PAS dan memajukannya. Kukuh dan majunya PAS akan menambahkan kuasa PAS dan cengkamannya ke atas politik tanah air.

PAS telah pun menyumbang begitu banyak kepada kemajuan Islam dalam negara kita. Jika ada kekurangan untuk disebut mengenai PAS dalam usaha ini, maka ia adalah kelewatan dan kekurangan PAS di dalam menggandakan usaha yang lebih gigih dan segera di dalam menyatukan umat Islam di dalam negara ini. Semoga sokongan rakyat yang lebih ramai akan tambah membantu mengatasi kekurangan ini.

Itulah matlamat artikel saya dengan tajuk ‘Rebut ganjaran jaga PAS’. Ia adalah seruan kepada mengukuhkan komponen-komponen yang mengukuhkan agama Islam.

Islam ada penjaganya. Penjaganya adalah mereka yang mencintainya tertegak di muka bumi. Musuh Islam datang untuk menghancurkannya dengan pelbagai cara. Antaranya, mereka mengaku sebagai penjaga dan penasihat untuk Islam. Begitulah Iblis datang menipu dan mengkhianati nabi Adam di syurga dulu. Awasi mereka..