Oleh : Emizarina
7 Oktober 2018 | Ahad |Permatang Pauh
Rancangan asal untuk mengadakan program gotong royong masak bubur Asyura sesama ahli cawangan bertukar menjadi Pertandingan Masak Bubur Asyura 1440 H atas inisiatif ahli jawatankuasa PAS Cawangan Perda.
Sebaik sahaja dibuka pendaftaran pertandingan, mereka menerima 10 kumpulan yang mahu bertanding. Setiap kumpulan dianggotai lima orang ahli dengan membawa bahan sendiri serta mengikut resipi masing-masing.
Maka, pada 7 Oktober 2018, pertandingan ini telah dilangsungkan dengan meriah dan penuh warna warni di perkarangan padang Apartment Perda.
Kumpulan yang bertanding diberi masa dari jam 9.00 pagi sehingga jam 11.35 pagi untuk menyediakan bubur Asyura masing-masing.
Mereka diadili oleh barisan para juri yang terdiri dari Puan Hajah Che Tam Baharom, isteri YDP PAS Kawasan, Pn Rozita Shamsudin, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan , dan Ustazah Rahmah Abdullah, mantan Ketua Muslimat PAS Cawangan Perda.
Setiap kumpulan diadili dari segi rasa, hiasan, kerjasama dan soalan lisan. Kesemua kumpulan memberikan persembahan dan rasa bubur Asyura yang terbaik sehingga menyukarkan para juri untuk membuat keputusan.
Sementara menunggu semua kumpulan menyiapkan bubur Asyura mereka, wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat telah dijemput untuk memberikan taklimat ringkas tentang keselamatan di rumah dan kaedah mencegah dan menghadapi kebakaran kecil. Taklimat telah disampaikan oleh Tuan Azhari , selaku pegawai kanan Jabatan Bomba dan Keselamatan Bandar Perda. Mereka turut menunjukkan demo ringkas cara-cara memadamkan kebakaran kecil di dapur.
PAS Cawangan Perda juga ada menyediakan bubur Asyura untuk edaran penduduk sekitar.
Tn Haji Omar Hassan selaku Yang Dipertua PAS Kawasan turut hadir dan memberikan ucapan dalam majlis tersebut.
Program diakhiri dengan acara kemuncak iaitu pengumuman pemenang oleh Tn Hj Asre Jusoh selaku Ketua PAS Cawangan Perda dan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan.
Hadiah diberi dari tempat pertama hingga keenam. Tempat pertama telah dimenangi oleh kumpulan Bahtera As Syura yang memilih nama sempena mengambil iktibar dari peristiwa bahtera Nuh. Kumpulan-kumpulan yang lain pula menerima hadiah saguhati.
Program sebegini patut diteruskan bagi meneruskan tradisi masyarakat utara yang mengacau bubur Asyura sempena hari Asyura di bulan Muharam. Resipi turun temurun turut dapat dirasai oleh generasi muda, sekaligus dapat mengeratkan silaturrahim sesama masyarakat.
Bubur Asyura versi utara adalah manis dan kental yang bahan asasnya terdiri dari tepung beras, santan, gula putih, gula merah, kekacang, jagung, pisang dan lain-lain bahan mengikut citarasa masing-masing. Ia selalu dikacau secara gotong royong kerana memakan masa yang agak lama untuk dimasak bagi mendapatkan rasa bubur Asyura yang sangat sedap. Setelah dimasak, kebiasaannya bubur itu akan diagih-habiskan kepada jiran yang berdekatan. Kehadiran bubur ini amat dinantikan oleh orang utara apabila tibanya bulan Muharam.