Minda Presiden PAS
KALAU ANAKKU MENCURI
Kisah benar yang berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W apabila seorang wanita bertaraf bangsawan disabitkan kesalahan mencuri. Tanpa apa-apa sebab yang meragukan dia dijatuhkan hukuman Hudud Islam, yakni dipotong tangannya. Tiba-tiba ada dari kalangan bangsawan merayu kepada Rasulullah S.A.W supaya tidak dijatuhkan hukuman Hudud kerana dia seorang bangsawan yang dihormati masyarakat.
Usamah bin Zaid R.A ditugaskan supaya menyampaikan rayuan itu kepada Rasulullah S.A.W. Dia ditugaskannya kerana dia cucu angkat kesayangan dimanjakan oleh Rasulullah S.A.W. Tiba-tiba Baginda S.A.W menunjukkan kemurkaan atau kemarahan kepada Usamah dengan bersabda:
“Adakah kamu meminta syafaat (tolong membebaskan) dalam perkara hukum Hudud yang telah ditetapkan oleh Allah?”.
Kemudian Rasulullah S.A.W terus ke masjid, bangkit berdiri dan bersabda:
“إنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ، وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الحَدَّ، وَأيْمُ اللهِ، لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ
بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا”. أخرجه مسلم والنسائي
“Sesungguhnya telah dibinasakan umat terdahulu daripada kamu, berlakunya apabila seorang bangsawan dari kalangan mereka melakukan kesalahan mencuri mereka bebaskan tanpa hukuman. Dan apabila seorang yang lemah dari kalangan mereka mencuri, lalu mereka jatuhkan hukuman Hudud terhadapnya. Demi Allah, kalaulah Fatimah binti Muhammad (puteri kesayanganku) mencuri, nescaya aku hukumnya dengan dipotong tangan”. (Disebut oleh Muslim dan An-Nasa’ie)
Wanita yang dihukum itu menginsafkan dirinya sehingga menjadi wanita yang solehah berkunjung ke rumah Rasulullah S.A.W dan masyarakat yang menyaksikannya melihat betapa wujudnya keberkatan apabila syariat Allah dilaksanakan.
Cerita benar menunjukkan kedaulatan Islam yang adil terhadap semua dan kehebatan undang-undang Syariat Allah mendidik masyarakat sehingga tiada yang kebal atau dikecualikan. Sesiapa sahaja yang terbukti melakukan kesalahan pasti dihukum. Kalau tiada bukti dibebaskan atau tidak mencukupi buktinya pasti diringankan hukumannya.
Inilah konsep ketelusan undang-undang syariat yang berteraskan aqidah kepercayaan kepada Allah Yang Maha Berkuasa, Maha Adil Lagi Maha Bijaksana, disertakan beriman kepada Hari Akhirat, menjadikan tiada sesiapa mengatasi undang-undang sehingga dikecualikan dan dilangkah sahaja tanpa halangan atau undang-undang laksana sarang labah-labah yang dibolosi oleh makhluk perosak yang besar dan kuat. Hanya memerangkap makhluk perosak serangga kecil. Namun, boleh ditembusi makhluk perosak yang bersaiz besar dan kuat, apatah lagi helang yang besar atau jerung yang ganas.
Itulah contoh konsep zaman keemasan Islam, diwarisi petunjuknya era Khulafa Ar-Rasyidin dan selepasnya juga yang mengikut jejak langkah kepimpinan melalui teladan yang pernah dijadikan slogan pada zaman dahulunya, yang dilupakan oleh Melayu mudah lupa. Namun, Allah berfirman:
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا (سورة الأحزاب: 21[
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah S.A.W itu contoh ikutan yang baik menjadi teladan. Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. (Surah Al-Ahzab: 21)
Inilah Rasulullah S.A.W yang dilantik Allah, mengatasi raja-raja yang ditabalkan oleh manusia, perlantikan Presiden atau Perdana Menteri dan Ketua Menteri yang dipilih rakyat. Bahkan jauh sekali kalau hanya sekadar Peguam Negara.
Zaman mutakhir sejarah Islam memerintah direkodkan peristiwa perundangan Islam dengan contoh yang sangat banyak. Antaranya kisah Khalifah Umar bin Al-Khattab R.A yang mengaku salah apabila ditegur oleh seorang wanita. Khalifah Ali bin Abi Talib R.A yang kalah di mahkamah dalam kisah baju rantainya dicuri oleh seorang bukan Islam. Sultan Muhammad Al-Fateh dijatuhkan hukuman oleh hakim pada zamannya kerana melakukan kekerasan terhadap seorang rakyat bukan Islam.
Saya pernah membaca kisah Sultan Hamengkubuwono, Raja Jogjakarta Indonesia, satu-satunya Sultan yang diiktiraf terus bertakhta di situ dalam Negara Republik kerana akhlaknya yang mulia dan sangat dihormati rakyat.
Ceritanya, Baginda telah melakukan kesalahan trafik, lalu diberi surat saman oleh seorang anggota polis yang baru bertugas yang tidak mengenalinya. Tiba-tiba Baginda datang ke Balai Polis untuk membayar samannya. Ketua Balai terkejut kerana Sultan yang datang membayar dendanya. Tiba-tiba pula Baginda meminta supaya polis yang bertindak menyamannya dipanggil. Maka alangkah takutnya polis yang baru mendapat kerja apabila diketahui orang yang disamannya adalah Sultan. Fikirnya sudah tentu dia akan dipecat. Tiba-tiba Sultan meminta supaya dinaikkan pangkatnya.
Apa yang dilakukan adalah kesan ajaran Islam yang mewujudkan aspek rohani, menjadikannya masih tersemat di dalam dirinya, walaupun ciri kedaulatan negara Islamnya dihapuskan. Tegasnya masih percaya ada dosa dan pahala daripada semua tingkah laku manusia. Mereka yang tidak beriman dan budiman, tiada rasa takut kepada Allah serta tidak percayakan dosa dan pahala, hilang juga rasa malunya sesama manusia.
Bandingkan kisah tersebut dengan berita terkini yang mengejutkan SPRM, Perdana Menteri juga terkejut dan mengejutkan mereka yang bukan SPRM apabila seorang yang kini bertaraf menteri dihentikan proses kehakimannya laksana emergency brake yang ditekan segera sehingga menghantukkan kepala penumpangnya. Kalau sebelumnya dia cepat dihukum kerana tarafnya pembangkang, tetapi kini cepat pula dibebaskan kerana dia bertaraf menteri dalam kerajaan.
Namun, kita tetap berpegang kepada konsep Islam bahawa seseorang yang dituduh tidak boleh dihukum salah selagi tidak dibuktikan. Tetapi tidak harus dilepaskan dengan percuma tanpa proses kehakiman yang diselesaikan dengan adil dan telus.
Bagi penganut Islam, kami diajar oleh Rasulullah S.A.W dengan pesanan yang banyak. Antaranya:
مَنْ وَلِيَ الْقَضَاءَ فَقَدْ ذُبِحَ بِغَيْرِ سِكِّينٍ (رواه أبي داود)
“Sesiapa yang mengendalikan urusan kehakiman, maka dia laksana disembelih tanpa pisau”. (Riwayat Abi Daud)
Walaupun orang itu seorang bukan Islam yang tidak percayakan dosa dan pahala, namun mereka yang Islam telah memilihnya serta mengangkatnya ke jawatan itu sudah tentu percaya adanya dosa dan pahala atau sekurang-kurangnya ada rasa malu kepada manusia. Sekalipun tiada perasaan malu kepada Allah dan para malaikat yang tidak dapat dilihat.
Oleh kerana banyak yang terkejut atau mengejutkan dalam peristiwa kehakiman negara ini, maka saya menyokong cadangan yang menamakan bulan ini Bulan Terkejut.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 25 Zulhijjah 1439 / 6 September 2018