Pelajar PASTI Melaka Johan Bercerita kategori Perempuan bagi program Alam Ria PASTI Peringkat Kebangsaan 2018.
Oleh: Mazuan Hassan
KUIZM, Taman Melewar : 1 September 2018, telah melakar sejarah apabila Pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dari Melaka muncul Johan dua tahun berturut-turut bagi acara Bercerita kategori perempuan Alam Ria PASTI Peringkat Kebangsaan 2018 di Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Taman Melewar, Wilayah Persekutuan.
Menariknya ini penyertaan kali ketiga adik Nur Awadah binti Mohd Adli, 6 tahun yang bersekolah di PASTI Ibnu Sina,Melaka. Adik Awadah telah berkecimpung dalam acara ini semenjak berusia 4 tahun lagi dan mendapat tempat Ketiga peringkat Kebangsaan pada tahun 2016 di Terengganu. Rentetan dari itu, bagi tahun berikutnya iaitu pada tahun 2017 di Kepala Batas, Pulau pinang menyaksikan apabila adik Nur Awadah telah dinobatkan sebagai Johan Bercerita kategori Perempuan Alam Ria PASTI Malaysia 2017.
Awadah membangkitkan fenomena apabila dapat manambat hati juri dan seluruh warga dewan sekali lagi dengan persembahan yang penuh keyakinan, mantap dan memberi kesan yang mendalam dihati penonton. Dewan menjadi senyap sunyi atas kepetahan dan kelantangan Awadah. Ada yang menangis dan rasa sebak serta kagum melihat Awadah menyampaikan kisah pemuda yg bernama Bal’am bin Ba’ura. Bapa Awadah, En Mohd Adli b. Mohd Daud, yang juga merupakan seorang guru merakamkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Cikgu Rabiatul Adawiyah Mohd Yusof serta guru-guru PASTI Ibnu Sina yang telah mencungkil bakat adik Awadah, bekerja keras untuk menyediakan skrip cerita yang mantap serta gigih melatih Awadah sehingga berjaya.
Justeru itu, Adik Awadah merupakan salah seorang ikon cilik PASTI yang akan meneruskan pendidikannya di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) di Cawangan Melaka. SRITI merupakan satu kesinambungan sistem pembelajaran daripada Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI)yang dikelolakan sepenuhnya dibawah Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Akhir sekali, Penghargaan juga ditujukan khas kepada Pengarah Pasti Melaka, En. Mazuan b. Hassan dan seluruh Ahli Lembaga Pengarah PASTI Negeri Melaka dan Jawatan kuasa Kontijen kerana telah memberikan sokongan padu dan membantu Awadah secara langsung atau tidak langsung dalam pertandingan kali ini.
Kejayaan Awadah diharap dapat dijadikan contoh untuk rakan-rakan yang lain untuk berjaya dan membina keyakinan diri untuk berada di hadapan penonton. Siapa sangka pelajar yang kecil molek ini mampu berhadapan dengan ribuan penonton berseorangan tanpa rasa gugup sedikit pun. Ini menunjukkan, sistem pendidikan kanak-kanak di PASTI nyata mampu melahirkan pelajar yang bijak, berkualiti dan berbakat serta pintar ilmu ukhrawi dan duniawi.
Alam Ria PASTI peringkat kebangsaan telah diadakan di Negeri Wilayah Persekutuan pada tahun ini dan mempertandingkan beberapa acara seperti nasyid, kalam jama’ie, khutbah, azan, hafazan,sajak, dan pidato selain bercerita dan disertai oleh semua PASTI Negeri di seluruh Malaysia.