DAULAH ISLAMIYAH MELAYUWIYAH
Siri 43
KESULTANAN DEMAK: DAULAH MELAKSANA SYARIAT
PENEGAKKAN daulah Islam merupakan inspirasi terbesar para Wali Songo dalam rangka dakwah mereka di pulau Jawa. Setelah berjaya meng-Islamkan putera-putera Prabu Brawijaya V dan mentarbiyah Jimbun atau Raden Patah sehingga menjadi seorang ulamak, Sunan Ampel mengharapkan beliau akan bangkit membangunkan daulah Islam di Jawa, bermula dengan penubuhan pesantren di Glagahwangi yang dipimpin oleh Sunan Kota (Raden Patah). Apabila Prabu Brawijaya V mengangkat Raden Patah menjadi Adipati Demak Bintara, rencana untuk mewujudkan daulah Islam menghampiri matlamatnya, terutama setelah Prabu Brawijaya V terpaksa menghadapi krisis dalam keraton Majapahit dan banyak wilayahnya mulai memerdekakan diri. Langkah terawal ke arah pembentukan negara Islam ini ialah melalui pembinaan Masjid Agung Demak yang dibina pada 1388S (1466M/844H). Masjid ini dibina dengan ciri khusus yang memiliki empat tiang utama (saka guru) yang mewakili Sunang Bonang, Sunang Gunung Jati, Sunan Ampel dan Sunan Kalijaga. Atap limasnya menggambarkan gabungan iman, Islam dan ihsan yang menjadi teras ad-Diin. Ia juga mempunyai maksurah (khalwat) yang membawa tema ketauhidan Allah.
Menurut Naili Anafah, binaan Masjid Agung Demak mempunyai maksud majazi (kiasan) seperti yang digambarkan dalam babad-babad Jawa. Para Wali Songo yang bermesyuwarah bagi membina masjid ini telah menetapkan tiga perkara iaitu arah kiblat, mustaka (puncak) dan rencana membangunkan masjid. Menurut Atmodarminto yang didukung oleh Widji Saksono, bahawa maksud majazi dari pembinaan masjid ini adalah menegakkan daulah Islam. Membina masjid memberi maksud membina negara Islam, penentuan arab kiblat ialah menentukan dasar negara yang berasaskan al-Quran dan Sunnah, mustaka (puncak) ialah ketua negara (khalifah) yang berpegang dengan syariat dan pakaian taqwa, manakala rencana membangunkan masjid adalah rancangan dan strategi menegakkan daulah tanpa kekerasan ke atas Majapahit. Setelah Majapahit jatuh diserang oleh raja Kediri, para Wali Songo segera memproklamasikan penubuhan negara Islam Demak dengan Raden Patah sebagai mustaka (khalifah)nya. Bertolak dari prinsip inilah, sebuah daulah yang melaksanakan syariat dibangunkan di Demak.
Panatagama: Kuasa Perundangan Wali Songo
Sistem perundangan kerajaan Demak amat menarik untuk dikaji kerana para wali diketuai Sunan Giri telah diberikan kedudukan khusus sebagai pujangga, ngiras kinarya pepunden dan jaksa yang “mengku perdata” iaitu penjaga undang-undang. Para Wali berperanan mengawasi raja-raja supaya berada di landasan Islam seperti mana Majlis Permesyuaratan Agung atau dewan perundangan. Sunan Giri yang menjadi Patanagama berkuasa menyusun segala peraturan ketataprajaan dan pedoman tatacara keraton. Sunan Kudus pula membantu beliau dalam soal pengadilan, mahkamah dan hukum acara (procedure law), manakala Sunan Ampel pula membantu dalam undang-undang keluarga, sedangkan Sunan Kalijaga dan Sunan Kudus berperanan dalam bab ibadat. Mereka bertanggungjawab menggubal undang-undang yang terkandung dalam serat-serat undang-undang berdasarkan syariat dan juga melaksanakan semua hukum tersebut. Ia meliputi hukum acara, hukum perdata (sivil law) dan hukum pidana (criminal law). Biasanya, satu kes jenayah akan dihadapkan kepada Dewan Wali Songo atau terus kepengadilan yang diadakan di Masjid Agung Demak, sebelum jaksa menjatuhkan hukuman berdasarkan syariat.
Berdasarkan beberapa serat undang-undang yang digubal, ternyata kerajaan Demak telah menguasatkuasakan undang-undang siyasah jinayat meliputi hudud, qisas dan takzir; aqdiyah (kontrak); syahadah (kesaksian); imamah (kepemimpinan); siyasah (politik); jihad (perang agama); kompetisi, penahanan, janji (nazar), perbudakan, perburuhan, penyembelihan, aqiqah, makanan dan amalan bid’ah yang terdapat dalam Primbon I dan Primbon II. Undang-undang munakahat (perkahwinan) meliputi soal khitbah (peminangan), nikah-talak-rujuk, pembentukan usrah, penjagaan (hadhanah), perwalian, pengawasan dan faraid (mawaris) turut diwujudkan sebagai lembaga sosial yang diawasi oleh Sunan Ampel. Primbon II turut menetapkan undang-undang berkait muamalat termasuk jual beli, perdagangan, persyarikatan dan talabul ilmi (menuntut ilmu). Dalam soal ibadat juga, beberapa serat seperti Kraemer dan Ringkes VI menetapkan hal berkait taharah, niat, syahadah, solat, zakat dan haji. Selain Sunan Kalijaga yang bertanggungjawab dalam urusan ibadat, Sunan Kudus mempunyai tanggungjawab khusus sebagai amirul hajj.
Contoh kes paling masyhur tentang sistem pengadilan dan perlaksanaan hukum syariat ialah hukuman mati yang dijatuhkan terhadap Sheikh Siti Jenar, seorang anggota Wali Songo yang menganut faham wehdatul wujud, iaitu fahaman yang bercanggah dengan Ahli Sunnah wal Jamaah (sama seperti kes Sheikh Hamzah Fansuri di Aceh). Dalam kes ini, Sheikh Siti Jenar didapati telah menganut fahaman tersebut jauh lebih awal dari berdirinya kerajaan Demak, tetapi tindakan tidak diambil sehingga berdirinya sebuah daulah dan berlakunya undang-undang syariat. Sheikh Siti Jenar seperti yang disebut oleh Serat Sheikh Siti Jenar, bahawa tindakan beliau tidak melakukan solat Jumaat dan mengganggu kestabilan negara dianggap sebagai peminggiran syariat dan penyebaran ajaran sesat. Berdasarkan kaedah syariat, beliau diajak bermuzakarah oleh Dewan Wali Songo supaya bertaubat, kemudian dibicarakan dihadapan sultan, sebelum para jaksa memvonisnya dengan hukuman mati. Dalam Serat Negara Kertabumi, disebutkan eksekusi kematian Sheikh Siti Jenar dijalankan sendiri oleh Sunan Kudus. Kisah Sheikh Siti Jenar ini disebut dalam Serat Sheikh Siti Jenar, Suluk Sheikh Siti Jenar, Wawacan Sunan Gunung Jati, Babad Demak, Serat Negara Kertabumi, Suluk Wali Songo dan lain-lain.
Institusi Syariat di Demak
Dengan tertegaknya daulah Islam di Demak, perlaksanaan undang-undang syariat sangat bergantung kepada kewujudan institusi-institusi syariat di sana. Selain sultan yang menjadi khalifah dan amirul mukminin, baginda diberikan gelaran kebesaran khusus oleh Wali Songo. Sebagai contoh, Raden Patah digelar sebagai Sultan Fattah Syeh Alam Akbar Panembahan Jimbun Abdul Rahman Sayyidin Panatagama Sirullah Khalifatullah Amiril Mukminin Hajjuddin Khamid Khan Abdul Suryo Alam. Gelaran ini meletakkan sultan sebagai institusi agama yang tertinggi di Demak. Baginda kemudian dibantu oleh para Wali Songo yang menjadi Panatagama seperti Sunan Giri, Sunan Gunung Jati, Sunan Kudus, Sunan Ampel dan lain-lain. Mereka memegang jawatan agama sebagai mufti, imam besar Masjid Agung, hakim, jaksa dan juga anggota Dewan Wali Songo yang menjalankan syariat. Dalam kata lain, di Demak telah wujud institusi perundangan Islam seperti dewan pemesyuawaratan dan majlis fatwa, kehakiman Islam dan kuasa-kuasa perlaksanaan Islam yang lain sehingga seluruh undang-undang syariat dapat diberlakukan.
Dewan Wali Songo telah menjadi penggubal undang-undang, penasihat sultan dan dewan muzakarah berkait hukum agama, selain menjalankan gerakan dakwah ke seluruh Nusantara. Individu-individu khusus seperti Sunan Giri mempunyai kedudukan sebagai ketua Wali Songo, sekali gus mempunyai bidang kuasa seperti mufti dan qadhi al-quda’ (ketua hakim). Masjid Agung Demak pula tidak hanya menjadi pusat ibadat dan dakwah, sebaliknya menjadi pusat pentadbiran negara dan mahkamah yang mengadili kes jenayah dan sivil. Salah satu jawatan yang penting ialah senoepati (panglima perang) yang pada awalnya dipegang oleh Pati Unus, tetapi sejak kesyahidannya di Melaka pada 1521M, jawatan tersebut dipegang oleh Sunan Fatahillah yang mengetuai hampir keseluruhan gerakan jihad ke atas Padjajaran, Portugis dan Blambangan. Kewujudan daulah Islam ini kemudiannya memunculkan konsep darul Islam (Demak) dan darul harb, di mana kuasa-kuasa kuffar yang menolak dakwah Islam atau musuh Islam seperti Portugis akan dihadapi melalui jihad fi sabilillah. Wilayah-wilayah Hindu yang dikuasai dan di-Islamkan akan dijadikan kesultanan Islam seperti yang berlaku di Ceribon dan Banten pada 1526M.
Undang-undang Syariat: Dari Moh Lima ke Salokantara
Selain daripada peraturan-peraturan syariat yang digubal melalui kuasa panatagama yang dipegang oleh Sunan Giri sebagai yang terkandung dalam beberapa primbun, kraemer dan ringkes, terdapat empat teks undang-undang penting di Demak yang menunjukkan tertegaknya undang-undang syariat di Jawa. Sebelum tertegaknya daulah Islam, para Wali Songo terutama Sunan Bonang seperti yang tercatat dalam Serat Sunan Bonang (Het Boek van Bonang) telah menegaskan supaya orang Islam jangan diangkat orang kafir sebagai pemimpin, meninggalkan ajaran sesat dan amalan bid’ah, sedangkan terlebih dahulu Sunan Ampel telah memperkenalkan falsafah “Moh Lima” untuk menolak kemungkaran masyarakat. “Moh Lima” bermaksud tidak akan melakukan lima hal yang tercela. Kelima hal tersebut adalah moh main (tidak mahu judi), moh ngombe (tidak mahu mabuk), moh maling (tidak mahu mencuri), moh madat (tidak mahu menghisap candu), dan moh madon (tidak mahu berzina). Falsafah ini bertujuan menjawab problem kemerosotan moral warga Majapahit waktu itu.
Dari latar belakang ini, sebaik sahaja kerajaan Demak dapat didirikan pada 1478M, Raden Patah telah memperkenalkan empat set undang-undang yang menjadi peraturan dasar kerajaan berasaskan syariat, iaitu Salokantara, Jugul Muda, Serat Anger-anger Surya Alam dan Serat Surya Alam. K. Subroto mendakwa Salokantara, Jugul Muda dan Serat Anger-anger Surya Alam adalah tiga set undang-undang yang mengkodifikasikan syariat Islam yang mengakui semua manusia adalah khalifah Allah di muka bumi. Naili Anafah yang mengkaji kedua-dua serat Surya Alam itu pula, mengatakan ia adalah undang-undang Demak tentang hukum acara, hukum perdata dan hukum pidana berasaskan syariat Islam, yang kemudiannya menjadi sumber bagi pembinaan hukum dalam kerajaan Pajang dan Mataram yang muncul selepas Demak. Sebagai mana Melaka yang memiliki Hukum Kanun Melaka, Aceh dengan Kanun Mahkota Alam dan Brunei dengan Hukum Kanun [Brunei], Demak juga memiliki set undang-undangnya sendiri yang berasaskan syariat, sekali gus membuktikan bahawa semua kerajaan Islam di Nusantara melaksanakan syariat Allah sebelum kedatangan penjajah.
MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
14 Zulqaedah 1439 / 28 Julai 2018