Home Berita PAS Pahang

‘Di bawah cahaya bulan’

638
SHARE

 

Oleh ROSLI ABDUL JABAR

 

PAS telah menelusuri perjuangan yang panjang bersama agenda Islam di tengah kepesatan pembangunan jiwa insan yang terbina dengan sistem pendidikan sekular dan juga pembentukan biah (persekitaran) acuan pemimpin yang bermazhabkan sistem penjajah.

 

PAS melalui jalan yang sangat sukar dan kadangkala begitu getir dengan tindakan dan serangan pembencinya, kecaman, tuduhan, fitnah malahan sehingga meragut nyawa. Di tanah perkuburan Kampung Parit Panjang, Kedah telah bersemadi kujuran 14 tubuh insan yang menjadi antara bukti begitu sadisnya perjalanan perjuangan PAS.

 

Di atas nama Islam PAS berjuang, di atas nama itulah juga PAS berhadapan dengan mehnah dan tribulasi perjuangannya. Pembencinya bagaikan pewaris hantu raya, silih berganti sejak PAS ditubuhkan sehingga kini, sepertin tiada pernah sesaat pun mereka tidur atau berehat daripada menghisap darah, hati dan jiwa ahli PAS.

 

Tuduhan purbakala bahawa PAS adalah penunggang agama, ortodoks, jumud dan sinetron ini sambung-menyambung seperti tiada penghujung. Pembawa fitnah terhadap PAS seperti hantu raya yang semakin gemuk, segar dan tegar dengan fitnah politik terhadap PAS walaupun tiada bukti.

 

Namun ayat-ayat Al Quran dan Hadis Nabi saw yang menjadi dasar perjuangan PAS adalah penawar paling mujarab untuk menghalau gangguan hantu fitnah tersebut, ahli PAS yang sentiasa di tarbiyyah dan ikhlas dalam perjuangan tidak terkesan dan sanggup bergelut mendepani cabaran musuh.

 

Kekuatan yang dimiliki oleh PAS bukan harta, bukan juga kerana kepakaran memfitnah musuh tetapi kerana Islam yang menjadi dasarnya dan juga kerana PAS dipimpin oleh mereka yang memahami Islam. PAS membina tembok kekuatan ahlinya untuk bersabar dan Istiqamah dalam perjuangan, tidak pernah berputus asa walau apa juga keputusan pilihanraya.

 

Hidupnya PAS kerana Islam, selagi Islam itu ada dan PAS tetap berpegang kepadanya, maka PAS akan terus hidup dengan Islam. Melainkan jika PAS mencabut Islam itu dari dasarnya. Selagi PAS masih menggigit kuat Islam itu dengan gerahamnya, maka orang yang mengharapkan PAS itu mati pasti akhirnya akan mati akalnya.

 

Ustaz Rosli Abdul Jabar ialah

Pesuruhjaya PAS Pahang

Adun Tanjung Lumpur