Kenyataan Media
KERAJAAN WAJAR PERTIMBANG PEMBINAAN LEBUHRAYA PANTAI TIMUR 3
Oleh: YB DATO’ HAJI CHE ABDULLAH BIN MAT NAWI
Ahli Parlimen Tumpat
1. Saya menggesa kerajaan mempertimbangkan langkah pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) yang akan menghubungkan tiga negeri Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan.
2. Pembinaan tersebut telah terangkum dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) (2016-2020) dibawah Strategi A1 : “Mengutamakan Ketersambungan Wilayah Melalui Lebuh Raya Baharu” yang menyebutkan;
“Penerusan pembangunan Central Spine Road, Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai, dan Lebuh Raya Pantai Timur akan menambah baik ketersambungan di Semenanjung Malaysia dan memangkin pertumbuhan di wilayah Pantai Timur.”
3. Ini menunjukkan secara dasarnya kerajaan terdahulu telah bersetuju dengan pembinaan LPT3 di mana ketika ini hanya melibatkan dua negeri Pantai Timur sahaja. Sewajarnya pihak kerajaan tidak membuang masa untuk mengkaji sesuatu yang telah dikaji dan diputuskan demi memberi manfaat kepada rakyat Kelantan yang telah sabar menunggu sejak sekian lama.
4. Pembinaan LPT Fasa 1 dan 2 telah berjaya diselesaikan masing-masing pada 2004 dan 2014. Namun, sehingga kini, lebuhraya tersebut masih tidak dihubungkan secara terus ke Kelantan menjadikan Kelantan satu-satunya negeri di Semenanjung yang tidak mempunyai lebuhraya.
5. Saya mengharapkan agar pembinaan LPT3 tidak akan dilupakan dalam penilaian pertengahan RMK11 yang dijangka dibentangkan oleh pihak kerajaan hujung tahun ini. Ini supaya hasrat rakyat di Pantai Timur khususnya di Kelantan yang telah lama menunggu dapat direalisasikan menjelang 2020 kelak.
6 Ogos 2018 | 24 Zulkaedah 1439H