Home Berita PAS Wilayah

Memperkukuh Tarbiyah, Memperkasa Dakwah, Melestari Kebajikan

865
SHARE

UCAPAN TEMA
KETUA DEWAN MUSLIMAT PAS WILAYAH PERSEKUTUAN
Ustazah Nuridah bt Hj Mohd Salleh

“Memperkukuh Tarbiyah, Memperkasa Dakwah Melestari Kebajikan”

Alhamdulillah pada tahun ini kita dapat berhimpun bagi melaksanakan tanggungjawab tahunan kita dalam organisasi yang kita kasihi ini bagi meneruskan muhasabah dan menilai semula kekuatan serta kelemahan kita. Mudah-mudahan usaha kita ini diberkati oleh Allah dan membuka lembaran baru buat Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP) bagi meneruskan agenda dakwah, siasah dan tarbiyah dalam masyarakat.

Kita berhimpun pada tahun ini dalam suasana pasca PRU-14. Pilihan raya ini mencatat sejarah tersendiri apabila kerajaan UMNO/BN yang selama ini mencengkam politik Malaysia, akhirnya tumbang dan tersungkur akibat keangkuhan dan kealpaan sendiri. Orang Melayu yang dahulunya dilihat terbelenggu dengan ‘khurafat’ bahawa UMNO dan BN tidak boleh disingkir dari persada kuasa, rupa-rupanya memberi boleh ruang kepada parti lain untuk mengambil alih kuasa. InsyaAllah perkembangan ini merupakan satu peluang yang membuka jalan kepada PAS selaku parti teras orang Melayu untuk bangkit sebagai parti utama orang Melayu untuk memimpin negara suatu hari nanti.

Alhamdulillah dalam PRU lepas PAS dapat mengekalkan kuasa di Kelantan dengan jumlah kerusi yang lebih besar, memimpin kembali Terengganu, dan menambahkan bilangan kerusi di Kedah serta Pahang. Walau bagaimana pun jumlah kerusi yang dimenangi PAS di negeri-negeri lain secara umumnya adalah menurun. Perlu diingat bahawa dalam PRU lepas, PAS menyertai persaingan politik tiga penjuru tanpa kerjasana dengan parti-parti utama lain. PAS menggerakkan gabungan Gagasan Sejahtera bersama parti-parti kecil, NGO dan beberapa tokoh negara berjaya menembusi meraih sokongan yang memberangsangkan dari sudut undi popular iaitu sebanyak 19.3% iaitu lebih 2 juta undi keseluruhan. Walau pun jumlah kerusi Dewan Rakyat adalah menurun, jumlah kerusi DUN yang dimenangi PAS adalah meningkat.

Keputusan PRU ini merupakan salah satu ukuran bagi menilai kekuatan, kelemahan, tahap gerakerja dan keberkesanan strategi yang digunakan oleh PAS. Senario jurang sokongan kepada PAS di Pantai Timur dan Kedah berbanding negeri-negeri lain perlu dilihat secara menyeluruh. Keperluan PAS untuk memberikan perhatian serius kepada negeri-negeri yang besar seperti Selangor, Johor, Perak, dan juga Wilayah Persekutuan tidak dipandang enteng. Muhasabah atau post moterm yang diperlukan bukan sekadar melihat kepada faktor menang dan kalah, tetapi perlu juga melihat kepada halatuju dan pendekatan parti termasuklah dalam menentukan rakan dan lawan dalam persaingan siasah.

Sidang perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekalian,

PAS mempunyai pengalaman panjang dalam amalan demokrasi dan pilihan raya. Di saat rakan-rakan gerakan Islam lain baru berkenalan dengan amalan pilihan raya, PAS telah terlebih dahulu terlibat secara rasmi dengan penyertaan PAS dalam pilihan raya umum sebelum merdeka pada tahun 1955. Pas sudah ada pengalaman mempunyai ahli parlimen sejak tahun 1955, dan mempunyai pengalaman memerintah negeri melalui saluran demokrasi sejak 1959.

Sejak dari awal penglibatan PAS, pilihan raya dijadikan wasilah atau wahana untuk mendapatkan kuasa bagi melaksanakan Islam. Bahkan penyertaan dalam persaingan pilihan raya, termasuklah melalui kempen politik dan suara dalam Parlimen, adalah merupakan satu jalan dakwah bagi meluaskan seruan Islam. Tegasnya, PAS terlibat dalam pilihan raya bukan semata-mata untuk kuasa dan kerusi, tetapi juga untuk meluaskan pengaruh Islam melalui kesedaran awam dan kefahaman siasah.

Selain itu, penglibatan PAS dalam siasah adalah berlandaskan garisan syariah yang menjadi sempadan bagi menjaga ketulenan perjuangan Islam. Sebagai sebuah gerakan Islam yang berprinsip, PAS sama sekali tidak akan menggadaikan prinsip. Setiap langkah penjuang diatur dengan kemas berpaksikan Al-Quran dan Al-Sunnah dan bersendikan akhlak Islamiah. Strategi politik yang kotor seperti perang saraf berunsur fitnah, propaganda murahan membangkitkan sentimen jahiliyah dan seumpamanya ditolak jauh-jauh bagi menjadi rahmat dan keberkatan dalam perjuangan.

Bagi PAS konsep kemenangan bukan sahaja berjaya meraih jumlah kerusi yang besar semata-mata, bahkan lebih luas dari itu. Kemenangan adalah apabila keindahan Islam melalui Tauhid, Syariat dan Adab Islami tersebar luas kepada umat manusia. Bila Islam dijunjung, maka itulah kemenangan buat PAS—walau pun mungkin ia berlaku melalui tangan-tangan pihak lain. Bahkan kemenangan terbesar bagi amilin PAS di semua peringkat adalah apabila amal soleh dalam perjuangan ini diterima oleh Allah azzawajalla.

Oleh itu, kita sama sekali tidak boleh rasa terpukul dan terpaku dengan keputusan pilihan raya ini. Perjalanan perjuangan PAS masih jauh. Kita tidak perlu menunggu 4 atau 5 tahun lagi untuk berjuang. Medan perjuangan dakwah, siasah dan tarbiyah kita sentiasa terbuka luas.

Sidang perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekalian,

Oleh yang demikian, saya ingin mengajak seluruh hadirat pada hari ini untuk bersama-sama mengukuhkan PAS khusunya DMPWP ini. Di sini saya ingin membentangkan tiga aspek pengukuhan utama yang berteraskan seruan: Memperkukuh Tarbiyah, Memperkasa Dakwah, Melestari Kebajikan rakyat.

Tarbiyah merupakan kunci kekuatan PAS. Tarbiyah mampu melahirkan petugas parti yang setia dan tidak mengharapkan harta benda. Ketika parti-parti politik lain bergantung kepada kekuatan material, PAS mampu bertahan dengan bertanding hampir seluruh negara dengan sumber kewangan yang terhad. Walau pun difitnah dengan pelbagai tuduhan, hakikatnya perbelanjaan PAS ditanggung oleh ahli-ahliyang yang ikhlas memberikan sumbangan. Manakala jentera sumber manusia pula mampu bergerak berbekalkan janji-janji Allah bagi mereka yang berjuang.

Oleh yang demikian, kalah menang dalam pilihan raya sama sekali tidak menjejaskan keyakinan perjuangan. Hasil tarbiyah yang mantap, para pemimpin yang menang tidak akan sombong tetapi merasakan bahawa kemenangan itu adalah kurnia Allah bagi menguji hambanya, sama ada bersyukur atau kufur. Manakala mereka yang kalah pula meganggap bahawa kekalahan yang berlaku itu adalah satu bentuk tarbiyah bagi menambahkan rasa pergantungan dan harap kepada Allah azza wajalla.

Selain itu, ahli PAS amnya, dan DMPWP khasnya perlu menggandakan usaha untuk mempersadakan dakwah. Perlu difahami bahawa, dakwah bermula dengan mengislahkan diri, diikuti dengan dakwah di kalangan ahli keluarga dan juga komuniti terdekat. Seterusnya ialah sasaran dakwah umum yang melibatkan pelbagai kelompok masyarakat. Kelompok sasaran termasuklah non-muslim, pekerja industri, suri rumah, para ibubapa, guru-guru, kakitangan awam dan swasta, penghuni pangsapuri, artis, karyawan, golongan kurang upaya, dan bermacam-macam lagi.

Para muslimat perlu dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk usaha dakwah. Kita perlu lahirkan para pendakwah yang mahir menguasai pelbagai pendekatan dakwah. Dari sudut organisasi, kemahiran mengurus, kemahiran memimpin dan mengendali aktiviti juga termasuk kemahiran yang diperlukan. Kita juga akan berusaha untuk melahirkan pemidato, penceramah serta pengkuliah yang dapat menarik perhatian khalayak melalui ilmu, keikhlasan dan kepetahan dalam berbicara.

Seterusnya agenda DMPWP yang ketiga ialah untuk melestarikan kebajikan rakyat. Program kebajikan PAS, bukannya program lakonan politik untuk meraih undi, tetapi satu usaha berterusan yang membantu mereka yang susah, dilakukan dari hati yang tulus dan kasih kerana tuntutan agama. Program kebajikan adalah medan untuk melatih jiwa pemimpin dan ahli PAS agar menghayati kesusahan yang dialami oleh orang lain. Ia juga satu bentuk persediaan penting sebelum PAS ditakdirkan oleh Allah menjadi peneraju kerajaan Malaysia nanti.

Teladan budaya berkebajikan sudah terlaksana melalui usaha-usaha positif dalam membantu rakyat yang susah di bawah PAS di Kelantan dan Terengganu. Usaha dua kerajaan negeri ini akan menjadi penanda aras kesungguhan PAS dalam menangani isu kebajikan. Seterusnya, budaya berkebajikan dilaksanakan melalui kebajikan kepada jentera parti termasuklah petugas institusi pendidikan, dan lain-lain. InsyaAllah, DMPWP akan memastikan para muslimat yang berbakti secara langsung melalui pelbagai jentera parti akan dibela melalui prgram-program kebajikan dalaman.

Seterusnya, kita akan membangunkan budaya mesra, cakna dan berkasih sayang. Budaya ini akan dipupuk agar seluruh muslimat PAS terutamanya di Wilayah Persekutuan ini sentiasa mengamalkan budaya berbakti dengan penuh keikhlasan. InsyaAllah kerja-kerja kebajikan ini akan dilaksankan sama ada melalui jentera parti sendiri, mahupun melalui wadah NGO yang bersama kita.

Marilah kita jadikan perhimpunan kita ini sebagai pembakar semangat untuk kita bangkit di Wilayah Persekutuan ini sebagai satu jamaah yang padu serta mendapat sokongan rakyat.