Home Berita PAS Pulau Pinang

Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang Meriah

976
SHARE

Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang Meriah
Oleh : Sarfaraz Ahmad

TASEK GELUGOR – 15 Julai 2018, : Berlangsung dengan jayanya Muktamar Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang (DPPNPP) kali ke-38 di Pusat Pengajian Darul Hadis. Dengan masuknya kali ke-38 Muktamar, menandakan bahawa Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang telah lalui fasa yang matang dan akan terus mara menuju cita.

Muktamar mendapat sambutan yang amat baik apabila dewan dipenuhi dengan kehadiran perwakilan pemuda dari kawasan-kawasan serta pemerhati yang turut hadir memeriahkan muktamar DPPNPP bagi tahun ini.

Majlis diserikan dengan tetamu terhormat yang hadir antaranya Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff (Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang), Tuan Bukhori Ghazali (Pengarah Pilihanraya PAS Negeri Pulau Pinang), YB Ustaz Yusni Bin Mat Piah (ADUN Penaga), Ustaz Hanif Harun (Mudir Darul Hadis), Ustaz Yusof Khazali (Yang Di Pertua PAS Kawasan Bagan) serta Ahli Jawatankuasa Kerja Harian Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang.

Ustaz Mohd Fauzi dalam ucapannya perasmian beliau berkata, ‘Selagi kita berpegang dengan prinsip islam, kejayaan pasti akan jadi milik kita dengan izin dari Allah.

‘Kita akan terus berjuang kerana matlamat kita bukan untuk menang, matlamat kita untuk memperjuangkan Islam. Apalah ertinya jika kita dapat ke Putrajaya jika Islam tidak dapat kita martabatkan’ katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan mengenai memperkasakan organisasi dan buang sikap culas dan futur dalam melakukan gerak kerja jamaah serta aktif dalam program tarbiyah haraki dan ruhiyah seperti rajin membaca Al-Quran.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Afnan Hamimi dalam ucapan ucaptamanya juga menyentuh mengenai melaksanakan BPMS secara menyeluruh tanpa mengira parti politik bahkan ianya harus dilaksana kepada masyarakat Melayu Islam secara menyeluruh.

Ujarnya lagi, perkaderan pelapis juga adalah penting dalam memastikan kesinambungan pemuda terus utuh dalam mendepani cabaran di Pulau Pinang.

Beliau juga turut menekankan aspek pembinaan sahsiah serta integriti dalam usaha menjadi pemuda-pemuda yang terus dekat dengan anak muda serta menjadi agen perubah masyarakat.

Perasmian muktamar telah disempurnakan oleh Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang merangkap ADUN Penaga, Ustaz Yusni Bin Mat Piah.

Ustaz Mohd Yusni dalam ucapan perasmian beliau berkata, ‘Musuh Utama Kerajaan Pakatan Harapan yang seterusnya adalah PAS bukan lagi Barisan Nasional, maka kita harus berada dalam keadaan siap sedia sentiasa’.

Selain itu, beliau juga turun menyarankan bahawasanya Muktamar adalah medan muhasabah untuk terus utuh dan bergerak ke hadapan dalam perjuangan.

Kehadiran Pemuda kali ini pada pentas perbahasan sarat dengan hujah dan fakta apabila perwakilan setiap kawasan diberi ruang untuk menyediakan segala bahan lebih awal demi memastikan perjalanan muktamar berjalan lancar dan efektif.

Muktamar bersidang dengan baik dan sikap matang telah ditunjukkan dalam setiap ucapan perbahasan dan penangguhan serta mendapat pengiktiarafan sebagai perjalanan muktamar yang terbaik daripada Ketua Pemuda, Ustaz Afnan Hamimi.

Ketua Pemuda, Ustaz Afnan Hamimi dalam ucapan pengulungan turut memperkenalkan konsep 5T iaitu Tarbiah, Turun Padang, Tular, Tulis dan Tawakal yang perlu dilaksanakan sebaik boleh dalam usaha memberi faktor kemenangan pada Islam.

Muktamar bermula dalam jam 9.00 pagi dan tamat dengan jayanya pada jam 5.30 petang.