Home Berita PAS Pulau Pinang

Hubungan Dakwah PAS P.Pinang Merentas Sempadan Agama

897
SHARE

Oleh : UMMU AL-FATEH

KEPALA BATAS: Hubungan baik PAS dengan agama dan bangsa lain di Malaysia perlu diteruskan sebagai medan berbincang dan bertukar pandangan demi kebaikan serta kesejahteraan masyarakat majmuk di Malaysia.

Demikian sedutan ucapan Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dalam Majlis Mesra Aidil Fitri anjuran Lajnah Dakwah PAS Negeri bersama para pimpinan gereja Katholik Pulau Pinang di Penang Golf Resort pada 1 Julai 2018.

“Islam adalah rahmat untuk semua. Justeru PAS komited merealisasaikan Islam sebagai rahmat kesejahteraan yang seharusnya dikongsi bersama masyarakat pelbagai agama di Pulau Pinang dan Malaysia.

“Kita menghormati hak kebebasan beragama sebagaimana Islam mengekalkan gereja-gereja kuno ketika memasuki Rom sehingga gereja-gereja tersebut boleh dilihat hingga ke hari ini,” ujar beliau lagi.

Beliau merakamkan penghargaan kepada pihak gereja atas kepercayaan yang diberikan serta berpesan agar mereka tidak terpedaya dengan golongan yang tidak berpegang dengan ajaran Islam sebenar hingga memberi imej yang salah tentang Islam.

Sambil mengalu-alukan kedatangan semua hadirin, Haji Amir Hamzah selaku Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Negeri telah memperingatkan tanggungjawab yang diamanahkan kepada setiap muslim menyampaikan dakwah Islam kepada non-muslim walaupun tidak ada paksaan untuk memeluk Islam.

“Untuk menyampaikan dakwah dan mesej politik Islam, kita perlu membina hubungan baik terlebih dahulu serta bekerjasama dalam apa jua bentuk perkara kebajikan,” tambah beliau.

Sementara itu Datuk Bishop Sebastian Francis Ketua Gereja Katholik Utara dan Kelantan dalam ucapannya mengucapkan syabas kepada PAS atas kemenangan di Kelantan dan Terengganu dalam PRU 14.

“Rakyat negeri Kelantan dan Terengganu ternyata berpegang teguh dengan adat tradisi serta amat mementingkan nilai-nilai spiritual berbanding nilai-nilai duniawi, “ sambung beliau lagi.

Selain itu, beliau memberikan penghargaan kepada PAS negeri Pulau Pinang yang berusaha menjalinkan hubungan baik dengan rakyat berlainan bangsa bagi mewujudkan suasana damai di Malaysia.

Majlis Mesra Aidil Fitri ini juga dihadiri oleh YB Ustaz Yusni Mat Piah ADUN PAS Penaga, YB Ustaz Ahmad Fadzli Hashim ADUN PAS Pantai Merdeka, Ustaz Abdul Malik Abdullah dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri P. Pinang serta Brother Kamarudin Abdullah Presiden Islamic Propagation Society International (IPSI).

Kehadiran tetamu komuniti Kristian Katholik turut melibatkan penyertaan kaum wanita. Mereka gembira diberi peluang berkenal-kenalan merentas agama, dalam program santai tetapi meriah dengan pelbagai juadah jamuan hari raya.

Mereka mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri sambil mengenali hakikat sebenar hari raya menurut Islam.

Majlis yang bermula jam 8 malam berakhir pada jam 10.15 malam dengan penyampaian cenderamata kepada semua hadirin serta sesi bergambar kenangan Mesra Aidil Fitri 2018.

Program seumpama ini adalah antara usaha Lajnah Dakwah PAS Negeri Pulau Pinang yang secara konsisten mengatur pelbagai program bersama non-muslim sebagai jambatan menyampaikan dakwah Islam kepada mereka.