Home Artikel PAS Pusat

PASTI Malaysia Sertai Sesi Perbincangan Kurikulum di UPSI

414 views
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

TANJUNG MALIM : Satu sesi perbincangan berkenaan Penambahbaikan Kurikulum Pendidikan Awal Kanak-Kanak telah diadakan pada 2 Julai 2018, bertempat di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

PASTI Malaysia adalah antara pihak yang dijemput menghadiri sesi perbincangan yang telah dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UPSI, Prof. Dr. Mohd Sahandri Gani bin Hamzah.


Sesi tersebut diadakan bagi mendapatkan pandangan serta maklumbalas daripada pihak-pihak yang terlibat dengan program pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia memandangkan UPSI telah diberikan tanggungjawab oleh kerajaan bagi melaksanakan penambahbaikan ke atas kurikulum pendidikan awal kanak-kanak agar selari dengan keperluan pembelajaran abad ke 21 dan revolusi industri 4.0.

Menurut Ketua Pengarah PASTI Malaysia, YB Ustaz Mohd Azam Abd Samat, PASTI Malaysia telah mengemukakan beberapa cadangan di dalam perbincangan tersebut, antaranya memberi penekanan terhadap aspek adab dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta memperkenalkan aktiviti hafazan surah pendek dan doa harian kepada murid-murid.

Turut dicadangkan adalah penambahbaikan ke atas program-program latihan guru bagi melahirkan para pendidik yang bersahsiah tinggi dan berkemahiran dalam melaksanakan kurikulum tersebut serta pelaksanaan program 5M iaitu Menulis, Mengira, Membaca, Menghafaz dan Mengamal.

Pada sesi tersebut juga, PASTI Malaysia turut menerima beberapa cadangan yang dikemukakan oleh peserta-peserta perbincangan yang boleh dilaksanakan bagi memantapkan pengurusan dan proses pengajaran di institusi-insitusi milik PASTI di seluruh negara.

PASTI Malaysia turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak UPSI atas jemputan menghadiri sesi perbincangan tersebut.