DAULAH ISLAMIYAH MELAYUWIYAH
Siri 7
KEDATANGAN ISLAM: ULAMAK DAN PEMBENTUKAN KADER DAKWAH
DAKWAH mempunyai agenda besar untuk membawa manusia mengabdikan diri secara menyeluruh kepada Allah. Masyarakat Melayu yang dahulunya beragama Hindu-Buddha perlu di-Islam secara menyeluruh dengan penuh hikmah, terutama setelah kejayaan dakwah kepada raja-raja Melayu yang menyaksikan sejumlah kerajaan telah berjaya di-Islamkan dalam tempoh antara 650 hingga 1000M. Awalnya, orang Melayu bergantung kepada usaha keras para ulamak dari luar untuk menyebarkan Islam, maka untuk mengukuhkan lagi gerakan dakwah, perlu ada pendakwah tempatan yang berperanan dengan lebih gigih. Orang-orang Melayu yang lebih memahami bahasa, budaya dan agama tradisi mereka sendiri adalah lebih berkesan dalam mengajak kepada Islam.
Dalam hal inilah, antara sumbangan besar para ulamak dan pendakwah dalam memperkasakan kedudukan Islam di Alam Melayu, iaitu melahirkan kader-kader ulamak dan pendakwah Melayu. Memang tidak dapat dinafikan, bahawa kesultanan-kesultanan di Aceh (Perlak, Samudera-Pasai dan Aceh) sebagai tempat terawal berdirinya daulah Islam, menjadi pusat perkaderan ulamak yang terpenting di Nusantara, sebelum munculnya Pattani, Jawa dan Kelantan pada abad-abad berikutnya. Penubuhan institusi-institusi pendidikan tinggi Islam, penghasilan karya-karya Islam dan jemputan ke atas ulamak-ulamak Arab, India dan Parsi telah membolehkan proses pembinaan perkaderan berlaku dengan berkesan. Pada abad ke-15M, telah terlihat hasil kader dakwah Aceh dalam pengembangan Islam di Jawa, sebelum mereka berpengaruh di Pattani, Terengganu, Palembang, Banjar, Makasar dan Banten pada abad berikutnya.
Sumbangan Ulamak Luar Terhadap Dakwah Islam
Gerakan dakwah peringkat pertama (650-1000M) dan separuh pertama peringkat kedua (1001-1250M) boleh dikatakan dikuasai sepenuhnya oleh ulamak-ulamak asing. Hampir tiada orang Melayu yang berperanan sebagai pendakwah, melainkan para ulamak dari Arab, Parsi, India dan China. Kerana itu, orang Melayu terhutang budi kepada bangsa-bangsa tersebut dalam konteks pengembangan Islam dan pembinaan daulah Islam di Alam Melayu. Antara peranan ulamak asing di Nusantara ialah:
i. Menyebarkan Islam kepada raja dan rakyat
Salah satu peranan terbesar para ulamak-pendakwah asing di Nusantara ialah menyebarkan Islam kepada raja-raja dan rakyat secara umumnya, sehingga Islam diterima secara meluas oleh orang Melayu selepas itu. Sejak kedatangan Sheikh Rukunuddin, Sheikh Ismail, Faqir Muhammad dan Nakhoda Khalifah, Islam mula berkembang di Alam Melayu.
ii. Mengajarkan ilmu agama
Di samping mengajak kepada Islam, para ulamak telah mengajarkan ilmu asas Islam kepada raja, kaum kerabat istana, pembesar dan rakyat. Bermula dari anjung istana, kemudian surau dan masjid dijadikan pusat pengajaran agama sehingga proses pemupukan kehidupan beragama dan bersendi syariat dapat dilaksanakan.
iii. Menubuh dan menggerakan institusi pendidikan
Tidak memadai dengan pengajaran-pengajaran ilmu agama secara tidak formal, telah ditubuhkan institusi pendidikan bermula untuk peringkat asas dengan penubuhan Dayah Bukit Ce Breek, kemudian untuk peringkat tinggi melalui Dayah Cot Kala, sebelum jamiah (universiti) diwujudkan pada zaman Sultan Mahkota Alam (1593-1636M) iaitu Jamik Baitulrahman.
iv. Menghasilkan karya-karya agama
Walaupun belum ada pembuktian yang jelas tentang manuskrip Melayu yang dihasilkan oleh ulamak sebelum abad ke-16M, tetapi penemuan karya Sheikh Abdullah Arif, pengasas Dayah Kuenue’uen yang berjudul Bahr al-Lahut, bertarikh 1177M telah memberi isyarat bahawa budaya menulis telah bermula awal. Walaupun teks asal Bahr al-Lahut dalam bahasa Arab, teks ini telah diterjemah ke bahasa Melayu, dan dianggap karya tertua di Alam Melayu. Selepas penghasilannya, dipercayai masih banyak karya lain ditulis, diterjemah atau disadur dalam tempoh tersebut, tetapi mungkin telah hilang.
Antara ulamak asing yang berperanan besar di Nusantara sehingga 1500M ialah Sheikh Rukunuddin, Nakhoda Khalifah, Sheikh Ismail dari Arab (di Aceh), Faqir Muhammad dari India (di Aceh), Sheikh Abdullah Arif dari Palestin (di Aceh), Syed Abdul Aziz dari Jeddah (di Melaka dan Sulu), Maulana Malik Ibrahim dari Parsi (di Jawa), Sheikh Abdullah al-Qumairi dari Arab (di Kedah), Sheikh Mansur dari Arab (di Tidore) dan keturunan Syed Jaafar as-Sodiq dari Arab (di Tidore, Bachan, Ternate dan Jailolo). Beberapa ulamak Arab seperti Sheikh Abu Bakar dan Syarif Kebungsuwan menyebarkan Islam di Mindanao dan Sulu, sedangkan Syarif Ali juga dari Arab tetapi bergiat di Brunei. Manakaka Syed Hussein Jamadil Kubra dan Syed Thanauddin (Sheikh Saman) bergerak di Kelantan dari India, sedangkan Syed as-Syirazi dari Syiraz, Iran bergerak di Pasai.
Institusi Perkaderan Dakwah Nusantara
Dalam menggerakkan dakwah di Nusantara, para ulamak telah mewujudkan institusi-institusi khususnya untuk melahir kader-kader dakwah tempatan. Strategi ini sangat penting supaya orang Melayu tidak lagi perlu bergantung kepada ulamak luar dalam membangunkan sebuah daulah Islam. Pada peringkat awal, para ulamak telah menjadikan anjung-anjung istana, masjid dan surau untuk mengajarkan tentang Islam, dalam suasana orang Melayu belum lagi mengenali Islam secara mendalam. Pengajaran ilmu asas agama tidak memadai untuk melahirkan pendakwah-pendakwah dan ulamak tempatan, melain bumi Melayu mesti mempunyai institusi pendidikan tinggi yang berkualiti seperti Madrasah Zaytuna di Qairuwan, Jamik Qurtabah di Cardova, Jamik al-Azhar di Kaherah dan Madrasah Nizamiyah di Baghdad.
Bagi melahirkan kader-kader pendakwah, dengan sokongan istana khususnya Sultan Syed Maulana Abdul Rahim, dibangunkan Dayah Bukit Ce Breek pada 864M di Perlak, yang merupakan pondok yang pertama di Nusantara. Selepas itu, Perlak terus menjadi pusat perkaderan pendakwah apabila dibangunkan pondok yang lebih besar dan menyediakan pengajian yang lebih tinggi, iaitu Dayah Cot Kala yang dibangunkan oleh Tuengku Mohammad Amin pada 888M. Terdapat beberapa dayah baru yang dibuka di Perlak pada abad ke-11 dan 12M antaranya Dayah Sueruele (1012M) yang dibangunkan oleh Tuengku Sirajuddin, Dayah Blang Peuriya (1153M) oleh Tuengku Yaakob, Dayah Batu Karang oleh Teungku Ampon Tuan dan Dayah Kuenue’uen (1196M) yang diasaskan oleh Sheikh Abdullah Kan’an dari Palestin. Dayah-dayah di Perlak ini telah berjaya melahirkan ulamak-ulamak besar Nusantara termasuk sebahagian daripada Wali Songo seperti Syarif Hidayatullah, Maulana Ishak (Sunan Giri) dan Sunan Ampel yang menyebarkan Islam dan mendirikan daulah Islam di Jawa.
Ulamak Tempatan Melanjutkan Perjuangan
Pada peringkat awal, khususnya abad ke-13 dan 14M, sudah ada di kalangan orang Melayu yang menjadi pendakwah-pendakwah dalam mengembangkan Islam. Selain putera-putera Perlak seperti Tuengku Mohammad Amin, Tuengku Yaakob dan Tuengku Ampon Tuan, beberapa putera Padjajaran seperti Prabu Munding Sari dan Haji Purwa juga turut menjadi pendakwah. Kemudian, para Wali Songo yang merupakan keluaran daripada Dayah Cot Kala yang dikatakan enam daripada sembilan telah menjadi pendakwah yang penting di Jawa. Menurut Prof Hamka, dalam gerakan dakwah memasuki abad ke-15M, dua etnik orang Melayu yang aktif berdakwah ialah Minangkabau dan Bugis.
Sebahagian besar dari kejayaan dakwah di Jawa adalah dipengaruhi oleh keberkesanan gerakan institusi Wali Songo yang diwujudkan oleh Maulana Malik Ibrahim pada awal abad ke-15M. Sedangkan di Aceh dan Pattani, institusi pondok atau dayah menjadi sangat penting dalam melahirkan kader dakwah. Pondok terawal di Pattani dikatakan dibuka oleh Sheikh Faqih Wan Musa di Legeh, sedangkan di Jawa, pondok (pasentren) yang terawal dikatakan dibina oleh Syarif Hidayatullah, namun ada pendapat lain mengatakan ia dimulai oleh Sheikh Abdullah Qutbuddin di Candirejo, Jawa Tengah. Di Malaysia pula, Pondok Sheikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis) di Terengganu dikatakan antara yang terawal. Tokoh-tokoh ulamak ternama Nusantara pada generasi abad ke-17M seperti Sheikh Abdul Malik Pulau Manis, Sheikh Yusof al-Makasari, Sheikh Daud al-Fathani, Sheikh Abdul Rauf Singkel dan Sheikh Mohd Arsyad al-Banjari adalah antara kader ulamak Aceh pada generasi Sheikh Nuruddin ar-Raniri yang berasal dari Gujerat, India.
Pada generasi ini juga telah memperlihatkan penglibatan besar-besaran para ulamak dalam pengukuhan kehidupan bernegara. Sebahagian ulamak Melayu menjadi pentadbir negara sama ada sebagai raja atau pembesar utama, sebahagian lain menjadi pahlawan yang mempertahankan negara, dan sebahagiannya menulis karya-karya kenegaraan Islam yang penting. Di kalangan raja-raja muncul Sunan Fatahillah di Demak dan Sultan Wan Bo Tri Tri di Champa, sebagai pembesar pula bangkit Tok Ketitir di Pattani dan Syed Hussein al-Farizd di Perak. Sedang Sheikh Wan Mustafa yang menjadi Wazir Harbi (Menteri Pertahanan) Pattani menyertai Imam Bonjol di Minangkabau dan Diponegoro di Jawa, manakala Sheikh Nuruddin ar-Raniri dengan Bustanus Salatin dan Bukhari al-Jawhari dengan Taj as-Salatin menuliskan karya-karya kenegaraan. Ini adalah sebahagian daripada contoh kader-kader yang dilahirkan dalam melanjutkan dakwah dan mengukuhkan daulah di Alam Melayu.
MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
8 Syawal 1439 / 22 Jun 2018