Tadabbur Al Quran Siri 29/2018
Surah Al-Mulk: Ayat 1-5: Tuhan Yang Menguasai Pemerintahan
? Firman Allah serta terjemahannya:
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ١
Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu;
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ ٢
Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);
الَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ طِبَاقًا ۖ مَا تَرَىٰ فِي خَلْقِ الرَّحْمَٰنِ مِنْ تَفَاوُتٍ ۖ فَارْجِعِ الْبَصَرَ هَلْ تَرَىٰ مِنْ فُطُورٍ ٣
Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan (mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?
ثُمَّ ارْجِعِ الْبَصَرَ كَرَّتَيْنِ يَنْقَلِبْ إِلَيْكَ الْبَصَرُ خَاسِئًا وَهُوَ حَسِيرٌ ٤
Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia).
وَلَقَدْ زَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِمَصَابِيحَ وَجَعَلْنَاهَا رُجُومًا لِلشَّيَاطِينِ ۖ وَأَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابَ السَّعِيرِ ٥
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.
? Tafsir ringkas:
1. Ayat ini dimulai dengan lafaz _tabaaraka_ ( تَبَارَكَ ) iaitu kalimah yang menggambarkan keagungan dan kemuliaan Zat Allah SWT yang penuh dengan keberkatan lantaran sentiasa melimpah ruah dan berkembang kebaikan dariNya, bertambah-tambah kurnia dan pemberianNya serta tidak terhingga rahmatNya.
2. Kalimah (تَبَارَكَ ) ini hanya layak disandarkan kepada Allah SWT sahaja. Ia diambil dari kalimah (البركة) yang bermaksud kebaikan yang melimpah ruah, bertambah dan berkembang. Maka, hanya Allah sahaja yang Maha Berkat dan Dia sahaja yang layak dan mampu memberikan keberkatan kepada hamba-hambaNya yang taat.
3. Dengan keagunganNya yang penuh keberkatan Allah SWT menguasai kerajaan yang luas tidak terperi yang semuanya di dalam tangan atau genggamanNYa. Tidak ada satu kuasa pun selain kuasa Allah SWT. Dialah satu-satunya pemilik segala kerajaan yang meliputi kerajaan dunia dan akhirat dan tiada sekutu baginya. Qudrat dan IradahNya tidak bergantung pada mana-mana batas dan ikatan tertentu.
4. Pada ayat kedua memaparkan sebahagian fenomena keagungan dan kekuasaan Allah SWT sebagai Penguasa kerajaan dunia dan akhirat iaitu Dialah yang mencipta kematian dan kehidupan. Hanya Dia sahaja yang menentukan saat kematian sesuatu makhluk. Jika saat kematian itu telah tiba, tidak ada sesuatu pun yang dapat mempercepat atau memperlambatkannya walau sesaat. Demikian pula keadaan makhluk yang akan mati itu, tidak ada sesuatupun yang dapat mengubahnya dari yang telah ditentukan-Nya. Hikmah Allah SWT mencipta kematian dan kehidupan ini adalah semata-mata untuk menguji sekalian manusia untuk menetapkan darjat dan martabat mereka di sisi Allah.
5. Manakala ayat ketiga pula memaparkan fenomena keagungan kekuasaanNya yang terbentang pada alam semesta iaitu kehebatanNya pada penciptaan langit dimana Dialah yang menciptakan tujuh lapis langit; sebahagian lapisan langit itu berada di atas lapisan yang lain di alam semesta. Tiap-tiap lapisan itu seakan-akan terapung kukuh di tengah-tengah jagat raya, tanpa ada tiang-tiang yang menampung dan tanpa ada tali-temali yang mengikatnya.
6. Ayat seterusnya Allah SWT bertanya kepada kita jika ada kekurangan pada penciptaanNya namun difahami dari ayat-ayat Nya bahawa tidak ada seorangpun di antara manusia yang sanggup mencari kekurangan tersebut.
7. Setelah Allah SWT menyatakan bahawa tidak terdapat kekurangan sedikit pun dalam ciptaan-Nya, Dia menegaskan bahawa Dia-lah Tuhan yang menghias langit dengan gugusan bintang yang antara tujuannya untuk menghiasi langit, untuk merejam syaitan dan untuk menjadi petunjuk dan alamat bagi para musafir yang sedang berada dalam perjalanan, baik di darat, di laut mahupun di ruang angkasa.
? Pengajaran:
1. Kita hendaklah beramal dengan surah Al-Mulk, kerana beramal dengan surah ini dapat menyelamatkan seseorang daripada azab kubur, di samping surah tersebut juga akan menjadi juru cakap yang mempertahankan pembacanya pada hari akhirat.
2. Kita hendaklah menyakini bahawa Allah tuhan yang menghidup dan mematikan semua makhluk yang bernyawa di atas muka bumi ini. Oleh itu, kita sebagai hambanya mestilah sentiasa mempersiapkan diri kita untuk bertemu dengan Pencipta kita.
Antaranya :
i. Jangan biarkan hati lalai. Sentiasalah merangsang hati supaya memerhatikan dan meneliti kejadian yang serba tersergam di hadapan dan di dalam kehidupan kita sehari-hari, juga di dalam tubuh kita sendiri.
ii. Disiplinkan jiwa agar membudayakan kehidupan seharian dengan amalan bersyukur serta mengenangkan sekian banyak nikmat Allah SWT yang melingkari hidup kita. Jauhkan diri dari suka mengeluh, merungut dan buang perasaan sentiasa merasa tidak berkecukupan.
iii. Larutkan diri dalam amalan zikir dengan nama-nama Allah yang menjadi tema pada ayat yang pertama ini. Antaranya _al-Malik_ dan _Malik al-Mulk._ Serulah dengan _Ya Malik_ atau _Ya Malikal Mulk_ (يَا مَالِكَ المُلْكِ). MemujiNya dengan nama ini mestilah disertai dengan pengakuan dan ketundukan kepada kekuasaanNya melalui sikap rendah hati, saling mengasihi dan menyayangi kerana Allah SWT, serta menjauhkan diri dari sifat sombong dan rasa tinggi diri.
3. Surah al-Mulk mengajarkan kita tentang konsep berkerajaan dan bernegara. Setelah memahami hakikat kerajaan Allah, lihat dan renung pula tatacara kerajaan dunia yang dikuasai oleh manusia. Paling kurang setelah memahami surah al-Mulk kita mesti peka dan cakna tentang hal kehidupan bernegara serta celik dengan politik dan isu semasa, lebih-lebih lagi dalam masalah siapa memegang kerajaan, siapa yang memerintah dan siapa yang menguasai dunia.
? Rujukan:
Tafsir Pimpinan al-Rahman
Tafsir Ibnu Kathir
Tafsir Fi Zilalil Quran
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
14 Jun 2018_ / _29 Ramadhan 1439