Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Kelebihan Orang yang Bertaqwa

7769
SHARE

Sedarkah kita bahawa puasa ini sebenarnya mengajar dan mendidik kita supaya menjadi orang yang bertaqwa sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu supaya kamu bertaqwa” [Q:S. Al-Baqarah : 183]

Justeru, terlalu banyak sebenarnya kelebihan orang yang bertaqwa agar ianya menjadi pemangkin kepada kita semua terutama ahli PAS untuk mengejar nilaian taqwa.

KELEBIHAN ORANG YANG BERTAQWA

1. Paling mulia di sisi Allah S.W.T
“….. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya antara kamu” [Q:S. Al Hujurat : 13]

2. Diterima amalannya
“Hanyasanya Allah menerima daripada mereka yang bertaqwa” [Q:S. Al Maidah : 27]

3. Allah S.W.T menjadi pembela mereka
“….. dan Allah menjadi penolong dan pelindung bagi mereka yang bertaqwa” [Q:S. Al Jathiyah : 19]

4. Bagi mereka, jalan keluar terhadap masalah
“….. sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan menyediakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya);” [Q:S. At Talaq : 2]

5. Kepada mereka, rezeki daripada jalan yang tidak disangka-sangka
“Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya” [Q:S. At Talaq : 3]

6. Dipermudahkan urusan
“….. dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan memudahkan baginya segala urusannya” [Q:S. At Talaq : 4]

7. Akan dihapuskan segala kesalahan serta dibesarkan pahala
“….. dan (ingatlah) sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahannya, dan akan membesarkan pahala balasannya” [Q:S. At Talaq : 5]

8. Taqwa sebagai sebaik-baik bekalan
“….. kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah taqwa…..” [Q:S. Al Baqarah : 197]

9. Taqwa menjadi sebaik-baik pakaian
“….. dan pakaian taqwa itulah yang sebaik-baiknya” [Q:S. Al A’raf : 26]

10. Allah S.W.T akan memberikan ilmu
“….. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan Allah mengajar kamu…..” [Q:S. Al Baqarah : 282]

11. Memperoleh keberkatan
“Sekiranya penduduk negeri itu, beriman dan bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu kurnia) yang melimpah-limpah berkatnya” [Q:S. Al A’raf : 96]

12. Terlepas dari tipu daya musuh
“….. dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun…..” [Q:S. Ali Imran : 120]

Dan sesungguhnya sudah barang pasti, Allah S.W.T mencintai orang yang bertaqwa dan akan menyediakan sebaik-baik balasan di akhirat nanti.

اللهم اجعلنا منهم

“Ya Allah… Jadikan kami dalam kalangan mereka (yang bertaqwa”

Dikeluarkan oleh,
Sekretariat
Dewan Muslimat PAS Malaysia
13 Jun 2018 bersamaan 28 Ramadan 1439