Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Semarak Kasih Ramadhan : Berbahagi Bahagia

563
SHARE

9 Jun 2018, Johor : Menyantuni orang-orang yang lemah dan tidak berdaya lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini dijanjikan oleh Allah SWT akan pahala yang berlipat kali ganda.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

إنَّما الدنيا لأربعة نفر: عبد رزقه الله مالاً وعلماً فهو يتقي فيه ربه ويصل فيه رحمه، ويعلم لله فيه حقاً فهذا بأفضل المنازل

“Dunia itu untuk 4 jenis hamba: Yang pertama, hamba yang diberikan rezeki oleh Allah serta kefahaman terhadap ilmu agama. Ia bertaqwa kepada Allah dalam menggunakan hartanya dan ia gunakan untuk menyambung silaturahim. Dan ia menyedari terdapat hak Allah pada hartanya. Maka inilah kedudukan hamba yang paling baik.” (HR. Tirmidzi, no.2325, ia berkata: “Hasan shahih”)

Justeru, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Negeri Johor (DMPNJ) dengan kerjasama Dewan Muslimat PAS Kawasan Mersing (DMPKM) telahpun menyempurnakan program Semarak Kasih Ramadhan dengan jayanya, di sekitar DUN Endau, Parlimen Mersing pada 5 Jun 2018 baru-baru ini.

Program seperti ini sudah pastinya sukar dijalankan tanpa sokongan dan sumbangan daripada orang ramai yang dermawan dan prihatin terhadap golongan masyarakat yang dalam kesusahan.

Alhamdulillah, dengan sumbangan yang memberangsangkan, maka sumbangan tersebut telahpun sampai ke tangan mereka yang memerlukan. Penerima sumbangan tersebut adalah terdiri daripada orang sakit, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU) dan mualaf yang tinggal di sekitar DUN Endau.

Turut hadir dalam program Semarak Kasih Ramadhan ini ialah Puan Hajjah Atiah Binti Ahmad selaku Ketua DMPNJ, Puan Arbakyah Binti Kassman selaku Ketua LKK DMPNJ serta ahli jawatankuasa LKK DMPNJ merangkap ketua LKK DMPKM.