Oleh : Farhani Fuad
BUKIT MERTAJAM, 3 JUN : Dewan Muslimat PAS Kawasan Bukit Mertajam (DMPKBM) meneruskan aktiviti kebajikan dengan menganjurkan program Sumbang Kasih Ramadhan. Program ini telah diadakan di Markaz PAS Kampung Kijang, Bukit Mertajam.
Seramai 25 orang telah disenarai sebagai penerima yang terdiri daripada faqir, miskin, OKU dan yang kurang berkemampuan.
Majlis dimulakan dengan ucapan Ketua Muslimat DMPKBM, Noriah Ibrahim. Beliau mengingatkan semua agar sama-sama menjaga dan menguatkan aqidah.
“DMPKBM tetap istiqamah menjalankan kerja-kerja kebajikan. Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, tetapi ia menunjukkan ingatan kepada insan yang memerlukan untuk menguatkan ukhuwwah”, katanya.
Turut hadir, ADUN Penaga, YB Mohd Yusni Mat Piah. Beliau dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada muslimat kerana dapat melaksanakan agenda kebajikan PAS.
” Sumbangan yang diberikan berbentuk barang keperluan makanan, sepertimana janji baginda Rasulullah dalam sebuah hadis, ganjaran pahala bagi orang yang memberi makan kepada orang yang berpuasa adalah sama banyak.
” Bersamalah mempertingkatkan amalan di dalam bulan Ramadhan ini.Berdoalah agar kita semua dipertemukan dengan malam al-qadar, satu malam yang setiap amalan akan diganjarkan menjadi 1000 kali ganda”, ujar beliau.