Oleh : Hana Fadzil
2 Jun | Sabtu | Permatang Pauh – Alhamdulillah Ameerah Permatang Pauh sentiasa bersedia berkhidmat menyantuni wanita muda yang kurang berkemampuan dengan memberi pek sumbangan ‘Ameerah Care’ sebagai tanda ingatan dari muslimat muda PAS.
Ameerah Permatang Pauh adalah terdiri dari golongan muslimat muda Dewan Muslimat PAS Kawasan Permatang Pauh.
Bersempena bulan ramadhan yang mulia ini, mereka mengambil inisiatif untuk mengadakan konvoi ‘Ameerah Care’ serentak ke tiga-tiga DUN dalam Parlimen Permatang Pauh, iaitu DUN Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti.
Sebanyak 10 buah kereta terlibat dalam konvoi ini untuk menyantuni 30 orang wanita muda terpilih di kalangan ibu tunggal, ibu tinggal, OKU, mempunyai bilangan isi rumah yang ramai dan ada ahli keluarga yang sakit. Konvoi bermula pada jam 9 pagi dan berakhir pada jam 11.45 pagi.
Program ini turut mendapat kerjasama yang erat dari barisan pimpinan Dewan Muslimat PAS kawasan Permatang Pauh.
Ahli Ameerah turun ke lapangan sebegini untuk melihat sendiri kesusahan golongan wanita muda yang terpaksa mengahadapi ujian di usia yang muda. Mereka turut memberikan kata-kata semangat dan berkongsi cerita bersama penerima sumbangan.
Pasukan konvoi menyerahkan pek sumbangan barangan asas rumah dan mini buku Mudahnya Menjemput Rezeki beserta risalah kekeluargaan dari Ameerah bagi meringankan sedikit bebanan penerima sumbangan.
Majlis perasmian, bacaan doa selamat dan pelepasan konvoi telah disempurnakan oleh Ustazah Norhapiza Saad selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Permatang Pauh. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada jawatankuasa di atas kesungguhan dalam menjayakan misi kebajikan sebegini dengan baik dan teratur.
Penerima sumbangan melahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih di atas sumbangan yang telah diberikan.
Program ‘Ameerah Care’ akan berjalan sepanjang tahun mengikut keperluan dan kesesuaian.