Semarak Kasih Ramadhan Di Melaka Raikan Ibu Tunggal
27 Mei 2018, Melaka: Abu Hurairah r.a. berkata, Nabi SAW bersabda maksudnya : ”Orang yang berusaha membantu wanita janda dan orang miskin, mendapat pahala sama seperti pahala orang berjuang di jalan Allah, atau seperti pahala orang yang selalu qiamullail (bangun sembahyang malam) dan berpuasa di siang hari.( Hadis riwayat Bukhari).
Daripada hadis tersebut, justeru membantu dan memberi perhatian kepada ibu tunggal yang berada di Malaysia ini merupakan salah satu program wajib dalam agenda yang dibawa oleh Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Malaysia (LKK DMPM).
Semalam, 26 Mei 2018, telah berlangsung dengan jayanya program Semarak Kasih Ramadhan peringkat Negeri Melaka melalui LKK DMP Negeri Melaka. Lokasi yang dipilih pada tahun ini ialah di Taman Sri Pengkalan Jaya, Alor Gajah Melaka, bertempat di rumah Puan Zaleha Bt Saad yang juga merupakan seorang ibu tunggal. Puan Zaleha juga adalah ibu kepada 10 orang anak dan Guru Al-Quran yang bertauliah dan banyak mengajar di surau dan di rumah.
Program yang bermula dari pukul 9 pagi sehingga 11.30 pagi semalam telah menghimpunkan ibu-ibu tunggal yang layak untuk menerima bantuan di DUN tersebut. Tetamu jemputan yang hadir bagi menyempurnakan program semalam ialah Ustaz Hj. Wan Zahidi Wan Ismail selaku Timbalan Pesuruh Jaya 1 PAS Negeri Melaka merangkap Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Alor Gajah dan juga Matan Calon PAS DUN Machap Jaya PRU 14 Alor Gajah baru-baru ini. Sebelum majlis penyampaian sumbangan bermula, majlis diserikan dengan ucapan dan kata-kata aluan oleh Pengerusi LKK DMP Negeri Melaka dan Ketua Muslimat DMP Kawasan Alor Gajah. Selain itu juga, seperti biasa dan menjadi kewajipan di program-program anjuran PAS, sebagai penambahan untuk keberkatan program, majlis disajikan dengan penyampaian tazkirah oleh Ustaz Wan Zahidi.
Majlis kemudiannya disusuli dengan acara penyampaian sumbangan kepada ibu tunggal yang hadir. Alhamdulillah, seramai 6 orang ibu tunggal di DUN tersebut telah menerima sumbangan berbentuk keperluan dapur dan keperluan Hari Raya.
Turut hadir memeriahkan lagi program Semarak Kasih Ramadhan semalam selain daripada para penerima sumbangan sekeluarga ialah, barisan kepimpinan yang telah banyak berusaha, berkorban masa, tenaga dan wang ringgit bagi menjayakan program iaitu; Puan Anida H. Haron selaku Pengerusi LKK DMPN Melaka, Puan Shaariah Omar, Ahli Jawatankuasa LKK DMPN Melaka, Puan Nuriah Sudin selaku Ketua Muslimat DMP Kawasan Alor Gajah, Puan Aslina Masud selaku Timbalan Ketua Muslimat DMP Kawasan Alor Gajah dan Muslimat PAS Kawasan Alor Gajah Melaka.